Beriringan ke Syurga~

Saturday, January 16, 2010

Manusia penghukum.

Palu Pictures, Images and Photos

“ dahlah tak pakai tudung, jalan tergedik- gedik, nak jadi apa manusia sekarang ni” bisik alia kepada temannya, jelik melihat wanita yang berjalan dihadapannya.
“ Ya Allah, pegang tangan dengan lelaki, dekat kampus, nampak macam alim, siap naqibah lagi”terbuntang mata si Mira, maka cepat- cepat dia sampaikan apa yang dia lihat di shopping Mall petang itu pada nani sebaik pulang ke kampus.

“eh, tu kan si lili, kenapa pakai tudung pendek pula, biasanya tudung labuh” pelik si sara melihat Aminah yang nampak alim itu, tidak percaya apa yang dilihatnya kini.



Jadi manusia, jangan terlalu lekas menghukum, biarpun dihadapan anda seorang pembunuh yang sangat kejam. saya makin bingung dan pelik, manusia sekarang lekas benar menghamburkan ketidakpuasan hati.



saya pun tidaklah terlalu sempurna, terkadang juga boleh menjadi manusia penghukum, Cuma nampaknya, bila diri merasa sangat mulia, maka iman sudah diletakkan di tahap lutut, mengumpat itukan dosa besar, benar, dalam hadis ada disebut, selemah- lemah iman adalah bila anda membenci dosa dalam hati bila ada yang melakukan kemungkaran didepan anda, namun, bernilaikah tindakan selemah- lemah iman itu bila anda mengkembarkannya dengan kutukan dan hamburan ketidakpuasan hati seolah- olah andalah manusia paling sempurna .

Saya teringat dengan puisi yang saya nukilkan bertajuk, bila merasa terlalu mulia.

Kerana merasa lebih Mulia..

Kerana merasa lebih Mulia,
Kita merasa puasa kita lebih sempurna,
Malah memandang rendah pada yang menjamu selera,
Kerana merasa hebat menahan lapar dan dahaga.

Kerana merasa lebih Mulia,
Kita merasa tahajjud kita terlalu istimewa
Malah memandang sinis pada yang sedang lena,
Kerana merasa munajat kita lebih diterima.

Kerana merasa lebih Mulia,
Kita bahagia dikelilingi sahabat sefikrah
Malah memandang rendah pada yang melawan fitrah.
Kerana senang punya sahabat yang hadam erti ukhwah.

Oh, kerana merasa diri lebih Mulia.
Kita senang berjalan dilitupi pakaian yang cukup syaratnya.
Malah jelek melihat mereka yang terbuka sini sana
Kerana kita merasa diri lebih terpelihara.

Kerana merasa diri lebih Mulia,
kita gembira melaksanakan kerja Islam sepanjang masa
malah benci melihat sahabat yang berehat seketika.
kerana kita merasa diri lebih ikhlas dalam amal kerana-Nya.

Kerana merasa lebih mulia
Kita ralit menatap buku tanpa jemu
Malah jengkel dengan yang berhibur tanpa malu
Kerana merasa ilmu kita sudah menderu-deru.

Kerana merasa diri lebih mulia
Kita leka Perintah Tuhan Yang esa.
Menjaga hati dari merasa selesa dengan hidup sempurna
Takut-takut kita diheret ke Neraka,
Hanya kerana didunia,
Kita merasa lebih Mulia!



Bila manusia merasa diri lebih mulia, maka wujudlah dinding yang amat tinggi dan tebal dalam dakwah, anda akan mula merasakan andalah ahli syurga dan anda mahu menarik mereka bersama anda ke syurga kerana mereka calon ahli neraka!, ya, memang itulah tujuan dakwah, memperkenalkan mereka dengan Islam, dan kemudian mengajak mereka berkerja menjadi pendokong islam untuk sama- sama merebut syurga idaman, namun, apakah yang akan anda dapat dari dakwah yang tidak ikhlas, saya tidak tahu apa method dakwah yang akan menempias dari diri anda, bila anda merasakan andalah lebih mulia dari mad’u yang sedang anda dakwahkan, gambarannya mungkin lebih kepada ini.

” saya nak bawa anda bersama saya ke syurga, jadi anda haruslah kembali pada islam yang sebenar, bukan pakai macam nak balut nangka macam ni, dah macam tak pakai baju dah saya tengok”


Dalam gerakan juga selalu terjadi isu ini, bila anda merasakan andalah lebih kuat bekerja untuk islam, bila ada sahabat yang sedikit terbatas kemampuannya untuk ke meeting dan sebagainya, maka ada akan merasa lebih mulia, macam- macam tanggapan negatif dihamburkan kepada si teman itu, bijakkan si syaitan mengatur strategi, supaya anda merasa bangga dengan pengorbanan anda, maka sia- sialah apa yang anda lakukan.jadi pendokong gerakan islam, bukan untuk menjadi si penghukum, kita tidak pernah diajar untuk bersangka buruk, mari sama- sama koreksi diri, termasuk diri saya sendiri, bila penat, maka kita akan mudah bandingkan kerja kita dengan orang lain.

Saya ingin membawa anda mengenang satu kisah, betapa pentingnya ilmu dalam hidup sehingga mampu membuat kita menjadi seorang yang bijak dalam menghadapi situasi berhadapan dengan manusia yang berbuat salah, tanpa begitu mudah menghukum.

Masih ingat kisah si seorang hamba Allah yang telah pun membunuh 99 manusia dan bertemu dengan Abid kerana ingin ditunjukkan jalan untuk bertaubat, maka sang abid begitu mudah menghukum dengan menyatakan dia tidak layak untuk diampuni, maka si hamba Allah terus membunuh sang abid (hamba yang kuat beribadah)dan genaplah mangsanya keangka yang ke-100, maka dia bertemu dengan sang Alim( Hamba Allah yang berilmu), maka diarahkan pemuda itu menuju sebuah kampung, maka sewaktu perjalanan si hamba Allah yang berbuat dosa tadi meninggal dan berlakulah perselisihan diantara malaikat samaada untuk mencatatkan ke syurga atau neraka, maka dihitung langkahnya dan Akhirnya dia ditempatkan ke syurga, kisah ini hampir semua orang tahu, maka jelaslah menuntut itu amatlah penting supaya kita menjadi manusia yang tidak terlalu mudah menghukum.







Read More

Friday, January 15, 2010

Sebagai Kekasih~



Malam ini terasa panjang dengan Air mata
Hatiku terasa pilu dengan derita yang mendera
Kutahan derita malam ini sambil menghitung bintang
Cinta membuat hati merasa terpotong- potong
Jika disana ada bintang yang menghilang
Mataku berpendar mencari bintang yang datang
Andai tidak kuingat jalinan antara kami
Kan kudapatkan hati ini memberontak tiada berkendali
Setiap kekasih tentu mengingatkan kekasihnya
Pertemuan setiap hari yang yang diharapkannya

- Syair yang dipetik dari buku bertajuk:
- cinta dan rindu menurut Al- Quran dan As- sunnah-
karya Ibnu Qayyim Al- Juaziyah



Dalam minggu ini juga, saya menerima berita tentang kematian Abang kepada seorang sahabat sefikrah di kampus, kemalangan, di ICU hampir seminggu dan akhirnya dijemput Illahi, saya cemburu dengan cara kematiannya, seorang Hafiz Al- quran lulusan Al- Azhar dan indah pekerti, namun yang amat mencarik- carikkan hati, Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang baru lapan bulan dikahwini dan sedang mengandung tujuh bulan! moga Allah mencampakkan rasa ketabahan yang tinggi dihati isterinya yang juga seorang Hafizah lulusan Al- Azhar, mesir, dua- dua insan yang hebat, kalaulah saya isterinya, pasti saya sedih mendengar syair diatas.

Sudah tercatat dalam Al- Quran, semua yang bernyawa pasti akan mati, bahkan Malaikat pencabut nyawa juga pasti akan mati satu ketika nanti, hanya yang kekal adalah Allah SWT, Selepas mati, ada kehidupan lain pula yang menanti, selepas kita melalui alam Barzakh, berkumpul di Mahsyar dalam keadaan yang sesuai dengan amalan yang kita lakukan, kita akan dihisab, dan kemudian menuju antara dua jalan, ke Syurga, atau Neraka, itulah yang wajib kita imani dan yakini.

Manusia mana yang mahu dimasukkan kedalam neraka, setiap manusia yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, pasti mengimpikan untuk mati sebagai kekasih-Nya, sebagai makhluk yang akan dapat melihat wajah Allah yang dirinduinya setiap detik dan ketika diAkhirat kelak, Ada manusia yang beribadat siang dan malam, namun ditentukan untuk mati dalam keadaan suul khatimah, mungkin kerana ibadahnya berisi riak dan takabbur, lantas Allah membalasnya dengan seburuk- buruk tempat itu, ada manusia yang leka dengan maksiat siang dan malam, namun dimasukkan kedalam Syurga dek taubat nasuha yang dilakukan disisa hidupnya, dan setiap manusia baik jahat atau baik, pasti inginkan syurga sebagai destinasi terakhir, kerana sudah didoktrin mindanya oleh ibu dan ayah sejak kecil, silapnya, terkadang ibu ayah hanya mengenalkan anak dengan Syurga, tidak pula pada Allah, sudah, terkapai-kapai pula si anak , mencari siapalah Kekasih Agungnya~

Ya, manusia yang cintakan manusia, pasti hidupnya hanya mahu bersama si kekasih hati, Ibu yang cintakan anak, mana mungkin mahu melihat anak mati, begitu juga dengan cinta makhluk dan Penciptanya, manusia yang cintakan Allah, pasti ingin mati sebagai Kekasih-Nya, Allah kasihkan hambanya yang taat akan perintah-Nya, Allah merindui hamba-Nya yang merindukan-Nya siang dan malam, selangkah makhluk mendekati dan mencari Allah, seribu langkah Dia didekatinya, SubhanaAllah~luasnya pintu yang Allah bukakan buat hambanya yang ingin bertaubat.

Anda pernah sedih mendengar berita kematian? Meskipun kematian insan yang anda tidak pernah bertemu dengannya, saya pernah, seorang yang saya hanya tahu kematiannya melalui beberapa blog sahabat, rupa- rupanya saya bukan sedih, tapi saya cemburu dengan kematiannya, sebagai seorang yang dikasihi semua pihak kerana Akhlaknya, nanti saya mati, adakah saya akan seperti itu? Mati sebagai kekasih semua manusia disekeliling saya, dan mati sebagai Kekasih Allah? Bila saya mati sebagai kekasih manusia yang kasihkan Allah, pasti mereka mendoakan saya mati sebagai kekasih-Nya!


Mahu mati sebagai kekasih Allah, jangan lakukan maksiat, mahu mati sebagai kekasih Allah, jalani segenap perintahnya, agar hati tenang mencintai-Nya, kerana perintah Kekasih hati sudah dilunasi, dan janjinya pasti ditepati!


Read More

Sunday, January 10, 2010

Menerjah Syurga!

color splash Pictures, Images and Photos



Hidup- penuh dengan warna, yang hitam, kelabu malah sesuci putih, tanpa
palit yang kotor, terkadang terus berwarna warni : bagai Pelangi, penuh rona,
terus berubah dan berubah, ada masanya mengecap rona yang terang, dan ada waktu
dipalit warna kusam walau diri tidak menginginkan kanvas hidup dicemari warna
yang tidak indah~

-Nessasyahirah

Huh!

Tanpa warna yang tidak indah, mana mungkin terhasil warna yang ceria, seperti hidup- tanpa dugaan, entah yang indah itu benar-benar indah atau tidak.

Warna : Cantik + Tak Cantik = sangat Cantik

Hidup: Suka + tidak suka = sangat suka.

Sifir hidup itu sangat mudah bukan, berputar dalam rutin yang sama, benarkah? Mungkin, jika hidup tidak memikirkan soal..

Syurga X neraka = ?

siapa kata semudah itu, hari ini menjadi pelaku dosa, esok bertaubat, kemudian membuat dosa, siapa yang dapat putuskan, yang nanti dia mati dengan jaminan Syurga yang tersangat indah.

Hari-hari manusia hidup dengan pakaian dosa, itulah hakikatnya, Cuma yang pelik, manusia itu yang masih tidak mahu bertaubat, sedangkan ruang untuk bertaubat itu dihampar seluas- luasnya oleh Allah.

Pagi tadi saya bangun dengan tekad tidak mahu membuat dosa, malangnya malam ini, sedar- sedar saya sudah pun berdosa, dengan matanya melilau kemana tanpa disedar, dengan fikirannya, dengan percakapannya, dan hari ini juga, sedar tak sedar saya dah pun buat seorang sahabat tersinggung dengan perbuatan saya, entah bila, bila difikir-fikir, hidup boleh bebas dari menjadi pengumpul dosa!

Tapi.

Manusia mana pula yang pagi-pagi sudah berangan- angan mahu mencipta dosa, atau..mungkin lagi ajaib, sampai nak tidur nanti, diri sangat suci tanpa dosa, seperti Malaikat.

Kali ini, saya bukan mahu kamu buat dosa secara berjemaah selepas baca entry saya ini, tapi, mahu kamu semua sedar satu perkara, yang saya akan bagitahu lepas kamu habis baca ini.

Biar saya ceritakan perihal saya, dan adik saya, yang sangat berbeza, macam langit-dan bumi, kata orang.

Adik perempuan saya, seorang yang lemah lembut, baik hati, pandai dan bijaksana, jarang buat mak dan Abah sakit hati, saya tak tahu kalau dia baca entry ini, dia akan riak atau tidak, mungkin dia akan beristighfar berkali-kali, sebab dia sangat baik, saya dan akak selalu gelarkan dia budak taat.

Dan saya, keras kepala, suka tidur, makan, malas belajar, tidak suka ikut peraturan dan sebagainya.

Hari tu kami sekeluarga hantar adik-adik saya ke kelantan.abaikan~

Adik saya kalau bagi alasan, jarang keluarkan dalil, dia hanya akan cakap:

”ye ke ko kak?”

saya pula, mungkin akibat suka sangat baca buku kononnya, apa yang saya tak puas hati, mulalah saya akan bagi dalil macam-macam, contohnya, selagi saya rasa tak turun Musolla awal waktu kat sekolah dulu tak menyalahi syariat, selagi tu saya akan buat sesuka hati saya.

Sampai satu masa, saya terfikir, bila saya akan bosan menjadi jahat seperti itu? Atau kadang- kadang saya selalu ’ nasihat’ kan adik saya supaya buat jahat sedikit, nanti tak rasa nikmat alam persekolahan.

Jadi? Betulkah manusia itu memang tak akan bosan buat dosa atau tak bosan buat baik?

Sebenarnya saya mahu ceritakan kisah pemuda yang dah bunuh 99 orang dan ingin bertaubat, tapi cerita itu sudah hadam dalam otak anda semua, dan saya juga mahu ceritakan tentang kisah adik dan abang yang baik dan jahat kemudian mati dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, tapi kisah itu panjang.



Sebenarnya begini, saya pernah terbaca:

”Manusia yang baik itu adalah manusia yang mahu berubah dari kejahatan dan mahu
menjadi baik, dan bukanlah manusia yang sememangnya baik”





tengok ni.

Tak baik + baik = sangat baik.

kesian adik saya, dia tak baik sebenarnya, sayalah yang baik itu.haha.

saya hanya mahu katakan, betul, hidup manusia pastinya akan berdosa, tidak banyak, akan ada walau sedikit, tapi, jangan menjadi manusia yang tertipu dengan diri sendiri, keluarkan segala hujah seperti, aku akan bertaubat bila rasa diri nak mati nanti sebab Allah itu Maha Pengampun, betul, tapi kita tak tahu kita akan mati bila, dan kadangkala, dosa yang kita buat seperti tunjuk ajar dari Allah untuk diri menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Seperti warna tadi, cantik/ pahala + tak cantik/ dosa= lebih cantik-bertaubat, dan diri akan menjadi lebih baik.

kesimpulannya, manusia memang tidak lari dari membuat dosa dalam hidup sehari- hari, yang penting segera bertaubat dan jangan pula menangguh-nangguh, dan jangan saja-saja membuat dosa, sebab kita tak pernah tahu kita akan mati bila, moga- moga syurga itu milik kita, moga bersama menerjah syurga dengan rahmat dan kasih Allah S.W.T, akhir kata terimalah syair arab yang saya ambil dari sebuah buku.

Wahai diri, celaka engkau
Tolonglah aku dengan berjalan bersamamu.
Dalam
kegelapan malam.
Semoga engkau berjaya pada hari Kiamat
Dengan kehidupan
yang menyenangkan
Disebabkan oleh pertolongan-Mu.

p/s: Saya bosan-maka saya tulis entry bosan ini, nanti bila dah tua dan bosan, saya akan tengok kembali entry bosan ini, supaya saya tak bosan sangat.oh~lama saya tak mengarut dlm blog.




Read More
Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena