Beriringan ke Syurga~

Wednesday, September 22, 2010

Bukan cinta biasa

picture by : singgittt204flatland-deviantart




Cinta itu bukan cinta biasa.

Cinta itu cinta keramat.

Yang tidak betah mendiam sepi.

Yang tidak bisa mengikut arus,

Peraturan- peraturan cinta biasa,

Cinta luar biasa,

Yang kita bercinta Sebelum aku mengenali wajah-Mu

Maka menjadi yang paling kuinginkan.

Adalah menatap wajah-MU.

Seluruh Makhluk tidak mampu mengenal cintaku.

Hingga saat dia melimpahkan seluruh jiwanya pada-MU.

Maka ia menjadi cinta luar biasa,

Yang Kau pilih untuk kurnia-MU.

Hingga saat aku melupakan cinta- cintaku yang lain,

Ketika cinta-MU Berjaya kurangkul.

Dan tidak sekali mahuku melepaskannya kembali.

Kerana cinta luar biasa itu,

Bukan cinta yang biasa.

Yang aku kenal kemudian menghilang,

Yang kukenal kemudian mendustakan,

Yang kukenal kemudian mengkhianati,

Maka kupilih cinta yang luar biasa,

Meski segalanya harus aku korbankan.

Kerana cinta-MU

Benar- benar luar biasa.


-Nessasyahirah

230910

Read More

Tuesday, September 21, 2010

demi cinta-MU ~(II)





Nuh kembali kebilik berseorangan, selesai kelas madah Fiqh jinayat dia segera memandu pulang kereta kenarinya, usai mandi, dia menyarung kemeja T dan selur jeans ketubuhnya, sempat dia tersenyum kecil, teringat bicara Amar.

”Jangan pakai seluar jeans mar..Ustazah- ustazah tu tak berkenan dengan enta nanti” Umar menggeleng kecil, ada- ada sahaja si Amar, tapi dia peduli apa, dia sudah ada yang berkenan dihati, sidianya tidak kisahpun!

Nuh keluar semula, pantas, dia ada janji dengan seseorang.

”Ustaz, macamana, boleh?” Nuh semangat, wajah Ustaz Ilyas dipandang dengan penuh pengharapan.

” enta exam kan, dua minggu lagi” berkerut dahi Ustaz Ilyas, Nuh mengangguk kecil.

”jadi?”

”Ustaz..” Nuh cuba memujuk.

”jadi?” Ustaz Ilyas hanya mahu menguji kesungguhan Nuh.

” saya boleh tangguh exam Ustaz, Insya Allah saya akan ambil balik semester tujuh ni semester hadapan” tekad Nuh, Ustaz Ilyas tersenyum, dia berpuas hati, baginya, semangat Nuh bukan semangat yang biasa- biasa, bukan retorik, semangat main- main, bukan semangat anak muda yang selang dua hari berdemonstrasi pelestin sudah meneguk milo ais!





”Baik, bersiap dengan pasport, misi kemanusiaan ke gaza tu minggu depan!” Nuh tersenyum lebar.

”Alhamdulillah”..


” Nuh, enta jangan main- main” Nuh terduduk dari baring, terkejut dengan suara Amar yang baru sahaja masuk kebilik.

” ha, kenapa?” soal Nuh.

”kita final exam tahu tak, bukan mid ke ape ke, enta yang pandai- pandai nak ikut ustaz Ilyas ke gaza tu buat apa, enta tahu kena repeat sem nanti” suara Amar meninggi, baginya keputusan ini adalah keputusan yang tidak berfikir panjang.

”oh~ okey- okey, baru aku faham, ustaz Ilyas dah bagitau kau neh” Nuh sengih, mahu mengendurkan panas dihati Amar.

”masih sempat enta nak ubah, lagipun tahun depan pun diorang pergi jugak, ha, enta pergi tahun depan ye” pujuk Amar, cuba mengubah keputusan Nuh.

”tengoklah” Nuh bangun, mengambil cawan dan diletak serbuk kopi radix, dan dituang air panas yang baru dimasaknya, kemudian dia menghulurkannya kepada Amar.

” sukahati enta lah, bercakap dengan orang degil ni susah, ekstrim sangat” Amar tidak menyambut, dia keluar semula, niatnya hanya mahu Nuh berfikir semula, semula dan berfikir.

Nuh tergelak kecil, air kopi radix disua ke mulut

”em..sedap..” dia duduk.

”ekstrim?” dia tiba- tiba teringat dengan bicara Amar.

”ya, memang aku ekstrim, ini soal agama aku, soal masjid aku, soal saudara aku, soal Nabi aku yang dihinjak- hinjak maruahnya, dan aku hanya umat yang sangat kecil yang cuba mempertahanku kekasih aku itu!” Nuh menjerit dalam hati, kopi Radix dirasa pahit, diletakkan ketepi, kemudian mencapai Al- Quran di atas almari, sejak akhir- lahir ini, ayat- ayat kalam Allah inilah yang sering mengubati hatinya, hatinya sebal, dia terasa ingin menangis lagi, itu baru bicara Amar, belum lagi Razif yang agak panas baran itu, entah dia mampu bertahan atau tidak, dia mohon Allah terus menguatkan hati miliknya.





Ada mesej baru masuk ke Telefon bimbit miliknya.

”Salam, Ateh, Kak Long dah beli baju untuk majlis nikah, warna putih, Kak Long berkenan sangat dengan baju tu, nanti sebelum ke Palestin, Ateh balik dulu ya, ateh cakap hari tu pergi minggu depan kan, Kak Long dah fikir dengan tenang, Kak Long Redha ateh kesana, biarlah kena repeat sem, Kak Long yakin itu keputusan ateh dengan petunjuk Allah, balik ya dik.”- Kak Long.

Nuh tersenyum, dia menarik nafas lega, menyambut hadiah dari Allah dengan rasa penuh kesyukuran, Kak Long, sejak pemergian Ayah dan Ibunya, Kak Long lah yang menjaganya, persis kasih Ibu dan Ayahnya, malah jiwa mujahidah milik Kak Long bukan yang biasa- biasa, Kak Long pernah menyuarakan hasrat untuk melihat Nuh menjadi seorang pejuang islam- sehingga menemui syahid dijalan-Nya.

”wa’salam, ha~ lambat lagi lah Kak Long lansungnya, ateh tak buat persediaan apa- apapun, terima kasih Kak Long, nanti InsyaAllah ateh balik sebelum berangkat ke sana”

cepat saja dia menekan punat menghantar mesej.

”Kak Long tak sabar nak dapat adik ipar baru..hehe, okey, Kak Long rindu ateh..”

Nuh menggeleng kecil, Kak Long memang mudah meluahkan rindu dan sayangnya kepada adik beradik.

”Rindu Kak Long juge.kirim salam pada Abang kamal dan anak- anak buah..”

usai, Nuh menyambung bacaan Al- Qurannya dengan hati yang tenang, dipujuk Kak Longnya.


Nuh duduk di meja belajarnya, angin malam masuk melalui tingkap yang terbuka luas disebelahnya, sesekali dia menjenguk keluar melihat pemandangan dari bangunan Asrama setinggi sepuluh tingkat itu, langit malam itu suram, tiada bintang yang menghiasi, kalau ada yang kelihatan pun, Cuma samar- samar, cahayanya malu, menyelindung dibalik cahaya- cahaya di atas bumi. Sudah hampir selesai kerja yang diberikan Ustaz Iman, esok harus dihantarnya, kemudian dia mencuri sedikit waktu lagi untuk menghirup kopi radix yang sudah semakin sejuk, lalu dia menghabiskannya terus tanpa sisa.

”Nuh!” terkejut,hampir terjatuh cawan yang dipegangnya mendengar suara halilintar milik Razif.

” kenapa ni Zif..” diletakkan cawan ke atas mejanya semula.

” enta ni kenapa, ana baru dapat tahu enta tak mahu ambil exam.” Razif duduk di atas katil dibelakang Nuh, Nuh malas mahu berpaling.

”Aku nak pergi Palestin tu” ujar Nuh

”alah~ tahun depan pun diorang pergi kan, enta ni kenapa, nak musnahkan masa depan sendiri, kalau tak kita dah boleh grad nanti sama- sama, lepas tu, enta nak duduk kat Palestin sana pun ana tak kisah, tapi tolonglah jangan degil, kita tinggal lagi dua minggu nak exam je tahu, cuba fikir, selama ni, tu, buku banyak- banyak atas meja enta tu kenapa, enta jaga setiap malam nak study tu kenapa, cubalah sabar sikit, setahun je lagi kita nak grad” terang Razif panjang lebar.

Sepi, Nuh tidak membalas apa- apa.

”Ana tahu, enta sayang sangat dengan bumi Palestin tu, tapi kena fikir juga, islam perlukan ramai orang yang macam enta sekarang ni, Malaysia ni lagi- lagi, enta tak nampak berapa ramai manusia yang dah jauh dari Allah sekarang ni, enta diperlukan disini, ni tak, ana tengok minda enta tu asyik palestin, palestin, palestin, menyesal pulak ana cadangkan nama enta untuk jadi president kelab Al- Quds ni, tengoklah enta sekarang.” Razif masih belum berhenti bercakap.

Darah Nuh tiba- tiba jadi panas, entah, pantang benar bila disebut bahawa perjuangannya kini seolah- olah sia- sia, seolah- olah tidak layak untuknya berjuang demi bumi suci kecintaannya itu.

” apa kau nak cakap sebenarnya ni..” Nuh mengeluh.

”ana nak sedarkan enta tu, cubalah berfikir waras sikit, kalau betul tak mahu ambil exam, kenapa tak tangguhkan saja semester, ni tak, lagi dua minggu nak exam baru nak buat keputusan entah apa- apa macam ni” lancar benar mulut razif berbicara, Nuh menggenggam tangannya.

” kau nak cakap yang kita mati- mati berjuang dalam kelab ni tak guna satu sen pun lah ye” Nuh bangun, marah benar dia.

”ya, kalau enta terus macam ni, tak fikirkan masa depan, buat keputusan melulu” Razif meneruskan ayat pedasnya.

Nuh hilang sabar, satu tumbukan hinggap di muka Razif, berpinar matanya, darahnya melonjak naik ke kepala, dia juga lelaki!

”kau nak kutuk aku takpe, tapi kalau kau nak cakap perjuangan aku ni perjuangan bodoh, kau silap” telunjuk Nuh mengarah ke wajah Razif, nafasnya turun naik menahan amarah.

” aku rasa kau ni memang dah gila, sedarlah diri tu Nuh..” Razif memegang pipinya yang terasa kebas, dia menahan dirinya dari membalas tumbukan Nuh, hasratnya Cuma satu, mahu Nuh kembali ke alam nyata.

Amar masuk, suara riuh dari luar bilik mengecutkan perut, segera dia membuka pintu.

”woi, korang ni dah gila ke, ikut sangat setan tu, setan suruh gaduh, gaduh, ” Amar berdiri antara keduanya.

Nuh beredar, lagi lama dia bimbang marahnya makin menggila.

Sebelum pergi, ditendangnya pintu sekuat hati, tidak pernah dia semarah itu!



Nuh menangis, bahunya terhinjut- hinjut, dia menyesal, menyesal yang amat sangat, mengikut hati yang marah, hingga sahabat akrabnya pun menjadi mangsa, oh~ nafsunya amarahnya sendiri tidak mampu ditandinginya, inikan pula hasratnya untuk mati dijalan Allah akan diterima- Nya, Ya Allah, Engkaulah yang memilih antara hamba- hamba- Mu yang akan mati sebagai kekasih-MU, maka Kau pilihlah aku, pilihlah aku ya Allah..

Ditengah stadium universitinya dia duduk memeluk tubuh, stadium sepi, minggu- minggu hampir peperiksaan ini, semua mahasiswa lebih gemar duduk berteleku di masjid atau perpustakaan untuk belajar. Cahaya spotlight yang terang menghidupkan suasana, bintang pun malu mempamerkan cahayanya. Selepas bertengkar dengan Razif sebentar tadi, dia berjalan laju ke padang, entah, dia tidak terfikirkan tempat lain, sebaik duduk, hatinya sebak, tidak sangka dia akan bertindak begitu.

Setelah tangisnya reda, Nuh bangun, menuju kepakir kereta di hadapan bangunan asrama siswa, dia menghidupkan enjin kereta dan memandu laju keretanya, dia harus segera pulang kerumah, bertemu dengan Kak Longnya, mahu menagih kata semangat!

Pintu utama rumah teres dua tingkat itu diketuk bertalu- talu, dia tahu agak kurang sopan dia mengetuk pintu rumah orang malam- malam buta begini, tentu sahaja, Kak Longnya dan Abang iparnya sudah tidur kerana mereka golongan yang bekerja, pasti keletihan dimalam hari, ah~tapi bukan siapa- siapa pun, darah dagingnya juga.

Mujurlah ketukannya tidak lama hingga boleh menganggu jiran, Kak Longnya membuka pintu dengan lengkap berjubah dan bertudung labuh, itulah Kak Longnya yang siap dengan pakaian menutup aurat bila- bila waktu pun ketika ingin membuka pintu.

”Assalamualaikum Kak Long” Kak Longnya nampak terkejut.

”Ateh, la..kenapa tak bagitahu Kak Long nak balik, boleh Kak Long tunggu..” Nuh menghadiahkan senyum, duka hatinya hilang, dia bersalaman dengan Kak Longnya. Saat tangannya digenggam erat Kak Long, Kak Long memandang wajahnya lama, mendalam.

”Ateh ada masalah ya, kenapa muka macam ni” Kak Long memang pandai meneka.

”Kak Long pun, main nak buka je pintu, bukan nak jenguk dulu kat tingkap, buatnya bukan ateh tadi macamana” Nuh cuba mengalih topik.

”Ah~ pandailah kamu nak mengalih topik, kenapa ni, cerita dengan Kak Long” ditarik Nuh keruang sofa setelah mengunci pintu.

” ateh gaduh dengan Razif, tu je..” Kak Long mengeleng kepala.

” dah besar dah , bukannya budak kecik pun..” berkerut dahi Kak Long.

”Kak Long, doakan ateh ye..” tiba- tiba Nuh bersuara pelik.

“ kenapa ni..bimbang ye nak ke palestin minggu depan” teka Kak Long lagi.

“ ha’ah, doakan ateh kuat semangat, ateh tak buat ni untuk sesiapa pun Kak Long, ateh buat ni untuk Allah, Kak Long doakan ateh ye..” Nuh betul- betul mengharapkan semangat dari Kak Longnya, hingga terhambur apa yang tersimpan kukuh dihatinya.

“ teh, atehlah adik Kak Long yang lain lain dari yang lain, Kak Long tak pernah tak yakin dengan apa yang ateh buat, Allah pilih orang yang akan mati dijalan-Nya, tak pernah pun selepas solat, Kak Long tak berdoa ateh mati syahid.” Kak Long sebak, air matanya bergenang, dia sedang jujur dengan adik kesayangannya, bicara hati ke hati, dia melihat Nuh bagai melihat orang yang akan pergi meninggalkannya, entah, mungkin dia terlalu yakin Nuh adalah orang yang terpilih, atau dia terlalu yakin dengan doanya, ya, dia yakin dengan setiap doanya akan dimakbulkan Allah, itu janji Allah.

“ ni dah makan ke ni” Kak Long mengesat air mata.

” belum, lapar ni..” adu Nuh, sejak siang tadi dia tidak makan.tidak lalu.

”jom, lauk makan malam tadi ada lagi, jom makan” Kak Long bangun menuju kedapur, di tangga, suaminya, kamal terpisat- pisat turun.

” apa yang riuh- riuh tu aini” lembut suaranya bertanya.

” ateh datang, ni aini nak sediakan makanan, abang tidurlah” balas Kak Long.

”ye, kenapa tak kejutkan abang, tak apalah abang nak berbual dengan dia sekejap” Kamal memang rapat dengan adik iparnya yang seorang ini, segera dia menuju ke ruang tamu.

Kemudian dia berlalu kedapur semula.

“ tak ada maknanya, dah tidur dah budak tu” Kak Long tergelak kecil, namun dalam hati, dia menyimpan sesuatu yang berat, ya Allah, pilihlah dia, doanya nan satu ini sentiasa bertandang dihatinya, tidak putus- putus.


* * * *


Razif membelek telefon bimbitnya, sudah seminggu lebih Nuh pergi, dan sudah seminggu peperiksaan akhir semester berlansung, di tepi tingkap bilik dia berdiri, mengambil udara pagi sebaik pulang dari masjid menunaikan solat subuh berjemaah, ditarik nafas dalam, memandang langit yang luas dan kemudian anak matanya beralih ke skrin telefon bimbitnya semula.

“ salam, aku bertolak pagi ni, aku tahu semua salah aku, aku yang tak pandai kawal emosi, aku mintak maaf, Razif, ko kawan aku, doakan impian aku dimakbulkan Allah, dan kita akan jumpa lagi disana, eh, macam konfirm je aku syahid kan.hehe,aku ni dahlah jahat, eh, doakan aku ye, nanti balik aku amik exam.= p”

Razif tersenyum, dia menggeleng kecil, rindunya pada sahabatnya ini, sahabat yang sentiasa bersamanya sejak diminggu orentasi lagi dan bersama- sama mengenal gerak kerja islam, dan dia, Nuh dan Amar tetap tinggal sebilik untuk setiap semeter, mereka sudah biasa berkongsi apa sahaja, dari barang milik persendirian mahupun tentang hati, namun sejak akhir- akhir ini, Nuh sering menyepikan diri, malah sering merahsiakan pelbagai perkara, sehinggakan membuat Razif kurang senang dan semakin sukar untuk memahami Nuh dari sehari kesehari, namun walau apa pun yang berlaku, dia tetap menyayangi Nuh, seperti abangnya sendiri.

Cuma entah kenapa soal pertengkaran tempoh hari memerlukan masa untuk dia lupakan, sehingga saat Nuh bertolak ke Palestin pun tidak diiringinya, mungkin peritnya bergaduh dengan sahabat sejati itu berbeza dengan pertengkaran yang lain, namun dia memang sudah memaafkan Nuh sejak dari hari itu lagi.

Tempoh hari dia dihubungi Kak Long Nuh, sedih hatinya, dari Kak Long, Razif dapat tahu lebih dalam tentang diri Nuh, tentang apa sebenarnya yang begitu diperjuangkan Nuh, tentang ketidakpuasan hatinya dengan betapa hipokritnya anak- anak muda di Malaysia yang katanya mahu memperjuangkan nasib umat islam di Palestin, dan dia tahu lebih tentang diri Nuh dari Kak Long, dan amat mengejutkannya, tali pertunangan yang telah diikat dengan gadis pilihannya sendiri telah diputuskan sebelum ke Palestin, dari itu Razif tahu, niat suci Nuh bukanlah permainan, bukanlah pejuangan berapi- api dibibir sahaja, dan bukan semangat dijalanan saat demonstrasi sahaja, bukan di tulisan- tulisan sahaja, dan bukan semata- mata ke Palestin atas misi kemanusiaan, tapi atas nama Tuhan!

Hari ini tarikhnya Nuh dan rombongan kesana pulang, entah kenapa, dia berhenti berharap untuk Nuh pulang, malah dia berdoa agar Nuh tidak pulang. Walaupun dia terlalu ingin memeluk Nuh, memohon maaf kepada Nuh, dan menjalani hidup seperti biasa.

“ Razif, nta tak siap lagi, jomlah..” suara Amar mematikan lamunan Razif.

” jom..jangan disimpan sangat rasa marah tu, hari tu diorang pergi nta dah tak hantar, kali ni balik pun takkan taknak disambut” pujuk Amar, melihat diam Razif.

Razif mengangguk tanpa patah kata, sudah dikatakan, hatinya sedang kosong!


Tekaan nya sejak tadi tepat, dia tidak melihat jasad Nuh, bernyawa mahupun yang sudah tidak bernyawa, dan ahli rombongan yang lain tetap tersenyum bahagia, dan dimana Nuh? Segera Razif berjalan kearah Ustaz Iman, ketua rombongan.

” Ustaz, Nuh?” tidak sempat disalam Ustaz Ilyas, dia sudah bertanya.

Ustaz Ilyas menarik Razif ketepi, keluar dari keramaian manusia.

” Nuh tidak ikut balik, dia menyertai briged Al- Qassam disana, dia pesan doakan dia syahid, rahsiakan hal ini, bahaya.” serius sahaja Ustaz Iman.

Amar yang turut disebelah segera memeluk Razif, mereka tenggelam dalam air mata, namun kali ini bukan air mata kesedihan, tapi air mata semangat, untuk mengikut jejak langkah Nuh, dan hari ini dia mula mengerti sepenuhnya, apakah ertinya sebuah perjuangan mengejar syahid yang benar- benar suci.

Engkau cintakan kematian dan bencikan dunia, bukan engkau cintakan dunia dan takutkan mati!


Read More

Monday, September 20, 2010

siri Cerpen Palestin : Demi Cinta-Mu- I





Suasana stadium tertutup semakin gamat, di pentas giliran penyanyi nasyid berirama jihad sedang membuat persembahan, semangat anak- anak muda dihadapn sedang memuncak, terinjut- injut sama mengikut lagak kumpulan dihadapan mereka, sesuai dengan rentak dan iramanya, konsert cahaya cinta buat Gaza yang dianjurkan seketeriat pendidikan kumpulan mahasiswa islam itu ternyata hampir berjaya, objektif utama mereka untuk mengutip dana buat mangsa pencerobohan zionis keatas gaza nampaknya telah melebihi sasarannya, tetamunya melimpah- limpah, kantung- kantung kain yang diedar sejak awal konsert tadi sekejap sahaja sudah penuh dan berganti- ganti.

Nuh berjalan menuju ke tempat duduk paling atas, kosong, seperti hatinya yang kosong, mindanya juga, anak- anak muda yang semangatnya memuncak dihadapan pentas dilihat dengan pandangan yang juga kosong!

Jika bertanya tentang dirinya saat ini, dia sedang tercari- cari makna kepuasan dalam perjuangan, kemuncak kepuasan itu yang benar- benar dia tagih, entah, sejak akhir- akhir ini dia seperti mencari- cari sesuatu untuk memenuhi kehendaknya, malah saat bertukus lumus menyiapkan persediaan konsert ini sehinggalah majlis gah ini benar- benar berlansung, dia masih belum puas! Dahulu dialah yang berada dibarisan hadapan sekali, itu, disana, ditempat anak- anak muda yang sedang bersemangat itu, tapi kini, hendak berada di tempat duduk hadapan pun, dia tidak mahu.

Akhirnya dia keluar, menuju ke parking kereta, menghidupkan enjin dan bergerak menuju ke suatu destinasi.

Lampu merah, dia memberhentikan kereta, mindanya masih menerawang, tanganya sebelah disandar ke sisi tingkap kereta yang terbuka luas, sesekali dia mengeluh, seperti ada sesuatu yang berat melanda mindanya, tapi apa? Dia sendiri agak kurang pasti dengan diri sendiri, mesej- mesej baru banyak yang masuk ke telefon bimbitnya, dibacanya satu persatu.

“enta ke mana, majlis belum selesai.”- razif.

“ustaz saiful cari enta, jangan cari pasal Nuh..”- ali


lalu saat lampu isyarat bertukar ke warna hijau, dia membelok ke kanan, simpang memasuki masjid besar Shah Alam.

Saat Nuh masuk ke dewan solat masjid besar itu, dia segera menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid, usai, kemudian dia mencapai Al- Quran di rak dihadapannya, ayat- ayat agung itu dibaca satu persatu, air matanya gugur.




“enta kemana?” Razif bangun, sejak dari tadi dia menunggu Nuh pulang, mahu disoal satu persatu ketiadaan ” Pengarah Program” yang tiba- tiba hilang dan tidak muncul- muncul meskipun sewaktu post moterm majlis dijalankan.

”enta sedar tak enta ni pengarah program tadi?” Razif makin panas melihat wajah selamba yang dihadiahkan Nuh.

” Nuh..Ana tanya enta ni..jawablah” intonasi suaranya semakin meninggi.

” aku ke kedai makan, lapar..” memang sebelum pulang tadi dia singgah ke kedai makan mengisi perutnya yang kosong sejak tengah hari, dia menyengih, memang perwatakannya begitu, sering mengendurkan marah sesiapapun yang sedang memarahinya.

” ye..kalau ye pun, bagitahu la..” Razif duduk kembali, marahnya hilang.

”okey..okey, nanti aku bagitahu ye..” bahu Razif dipicit lembut, kemudian dia berlalu masuk ke bilik air, Razif mengeleng kecil, kemudian tersenyum, Amar masuk.

”hem, dah balik dah budak tu” matanya mengisyaratkan Nuh yang sedang mandi di dalam bilik air.

”ha’ah, ke kedai makan..” Amar pun menggeleng kecil, kemudian dia tersenyum, ada- ada sahaja Nuh ni, sampai si Razif yang panas baran ini pun boleh lembut bila berhadapan dengan Nuh.


suis lampu ditutup, Razif kembali ke katilnya, Amar sudah lena, Nuh, masih berbaring manongkah dahi, matanya masih terbuka luas, seperti memikirkan sesuatu, jadi Razif segera mematikan lampu, agar sahabat- sahabatnya ini dapat berehat sebaiknya, meskipun ada kerja yang masih belum diselesaikannya, tak mengapalah, dia akan bangun awal keesokkan harinya, dia menekan punat telefon bimbitnya, 2.30 pagi~ ah, dia hanya punya dua jam waktu berehat.

”Zif.. kau dah tidur ke?” suara Nuh tiba- tiba memecah sepi.

Razif membiarkan dahulu soalan Nuh tidak berjawab, selang lima saat baru dia menjawab.

” Belum..kenapa?” Nuh senyum dalam gelap.

” post moterm okey?” soal Nuh.

“okey, Amar yang handle..” jawab Razif.

“ enta kemana sebenarnya?” Razif yakin, Nuh sedang dilanda suatu masalah sebenarnya.

“ Kemasjid, kemudian ke kedai makan” jujur.

” kenapa?”

” mencari kekuatan”

”kenapa enta tak ada kat depan tadi, seperti selalu”

”entah”

” semangat enta dah hilang ke ha?”

” bukan..malah semakin membara” bicara Nuh tersekat dikerongkong.sepi.

” ha?” ulang Razif.

”entah”

”Razif..”

”yups”

”kau rasa kita sampai bila nak macam ni, konsert, demonstrasi, konvoi..kau rasa sampai bila?” Akhirnya, Nuh meluahkan isi rasanya.

”bosan?” duga Razif.

” bosan menanti..” tenang Nuh menjawab.

” Allah tidak menilai kejayaan Nuh, Allah menilai usaha kita” jawab Razif, dalam gelap Nuh senyum sinis.

” kita ke palestin, mahu?” Nuh semangat.

Senyap.

”mahu?” soal Nuh kembali.

” enta pergi, ana masih punya ibu..”

” oh ya, mak bapak aku dah tak ada..” gurau Nuh, benar, Ibu dan Bapanya sudah meninggal, tapi bukan kerana itu, dia memilih untuk berjuang.

”bukan, enta terasa?” risau Razif, takut menyinggung sahabat karibnya itu.

” mana..aku dah biasalah” ujar Nuh.

Nuh bangun tiba- tiba, laju, dia menuju kepintu.

mana?” Razif terkejut, malam- malam begini, mahu kemana lagi Nuh?

”Palestin, haha” Nuh menuju keluar.

Razif menggeleng kecil, sudah besar, pandailah dia menjaga diri.

Nuh menuju ke masjid Universitinya dengan kereta kenari hadiah kakaknya yang kini sudah bergelar pensyarah, seperti malam- malam sebelumnya, dia gemar ’melepak’ di masjid, dia masuk, membuka kipas yang betul- betul mengadap dirinya, dan terus berbaring, matanya masih tidak mengantuk, masjid itu sepi, jam ditangannya sudah jam 3.00 pagi, dia mengira- ngira, kalau di Palestin, akan sunyikah masjid disana saat dua pertiga malam menjengah, kalau di bumi suci itu, akan sepikah masjidnya saat azan subuh berkumandang- seperti masjid ini?, setiap waktu subuh, yang hanya kelihatan adalah sesaff dua pelajar mahupun pensyarah, entah yang lain mana perginya., sudah mabuk dunia agaknya. Umar mengiring ketepi, matanya masih terkedip- kedip, jiwanya gelisah, dirinya dilanda cinta, cinta yang hanya untuk Tuhannya yang esa, Allah- bisakah aku yang menjadi manusia yang syahid dijalan-Mu? Sebagai kekasih-Mu?

Nuh bingkas bangun, mahu meleraikan gelisahnya, dia mengambil wudhu’ diluar, kemudian masuk dan mencapai Al-Quran, usai membaca dua muka, dia bangkit solat sunat, jiwanya tenggelam dalam rindu, dia benar- benar rindu..

* * * *

”Betul Nuh?” Ustaz Iman bersuara tenang, mahu mengejutkan Nuh yang tersengguk- sengguk dibelakang, pelik, Nuh si pelajar yang baginya sering menonjol dan menjawab persoalannua, sejak akhir- akhir ini sering tertidur didalam kelas, seperti minatnya untuk belajar sudah hilang, mata Nuh terbuka luas, dia mengangguk kecil.

”Wallahua’lam..” Ustaz Iman menamatkan kelas, matanya memandang Nuh dibelakang, mengisyaratkan dengan tangannya supaya Nuh bertemu dengannya di bilik.


”Enta kenapa Nuh, sejak akhir- akhir ni selalu tidur dalam kelas, jangan cakap dengan Ustaz ni berpunca dari pertunangan kamu..” Nuh terggelak kecil, mana.. dia pun ingat- ingat lupa yang dia sudah bertunang-haha.

”sejak dua menjak ni saya susah tidur malam la Ustaz” Nuh jujur.

”aisyh..kenapa? pelik ni..” Ustaz Iman senyum- senyum.

” ha..Ustaz jangan salah sangka, entahlah ustaz, insomnia agaknya” Nuh tergelak besar, dia dan Ustaz Iman memang akrab-seperti adik beradik.

”jangan begini Nuh, dua minggu lagi final exam kamu tahu..” Ustaz Iman mengingatkan.

” iya Ustaz, saya ingat..,maaf ustaz, tertidur, tapi saya janji akan ulangkaji soalan- soalan yang ustaz beri dalam kelas tadi” janji Nuh.

”baik, kalau tak faham apa- apa, tanya Ustaz” pinta Ustaz Iman.

” kamu dah makan?”

”belum Ustaz, tak ada selera” Nuh senyum lagi.

”kamu ni, ada- ada saja, itu sindrom orang nak kahwin tu” pecah tawa keduanya.


InsyaAllah bersambung next post.



Read More

Tuesday, September 14, 2010

mereka- mereka itu..




Mereka menghias iklan-iklan dan majalah- majalah dengan wanita yang mengiurkan, mereka hebahkan pada dunia, itulah kecantikan sebenarnya.

Mereka memasuki badan- badan besar dan persatuan- persatuan atas nama kedamaian dan kebajikan, namun merekalah yang menjadi batu api permusuhan.

Mereka mengkaderkan artis- artis bagi menjadi pujaan anak-anak muda, mereka namakan mereka sebagai idola dunia.

Mereka menamakan umat islam yang berjuang atas nama agama sebagai ekstrimis dan pengganas merbahaya, lantas mereka katakan askar- askar mereka sebagai pembela.

Mereka katakana hukum islam sudah tidak releven, maka berpusing- pusing mencari penyelesaian masalah dunia.

Jenayah yang bermaharajalela mereka diamkan, malah dikatakan saban hari peratusnya semakin berkurangan.

Manusia hanyutkan manusia dalam kejahiliyyahan, sedang mereka mengetahui akan janji Tuhan.

Mereka mencipta pelbagai alat kecantikan, dan menghebahkan wanita bukan wanita tanpa alat- alat kecantikan.

Mereka mencipta sekolah- sekolah dengan pendidikan sekular, dan menghapuskan pendidikan islam,malah institusi pengajian Islam dinamakan sebagai sarang pengganas.

Mereka hidangkan umat manusia dengan seribu penipuan dalam akhbar yang dibaca setiap hari, malah penipuan demi penipuan dalam sejarah.

Mereka hidangkan manusia dengan hiburan, hingga manusia leka dengan dunia dan takutkan kematian.

Mereka-mereka itu yang tidak pernah redha dengan agama islam, dan merasa aturan- aturan mereka sudah cukup hebat, sedang Allah lah yang lebih berkuasa.


Al Quran : (2) Al Baqarah : Ayat 120

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (QS. 2:120)


Read More

Monday, September 6, 2010

The sound of tears



The sound of tears


Seringkali yang kita dengar, Malaysia sudah aman atau marilah menjaga keamanan Malaysia, malah golongan yang mahu menegakkan islam, dan keadilan dibumi Malaysia ini sering dilabel sebagai pembawa perpecahan kaum, perbalahan dan sebagainya.

Sememangnya kita bersyukur kerana sering terlepas dari bencana alam seperti yang berlaku dinegara- negara lain, malah terselamat dari sebarang perang perebutan wilayah, namun perlu diingat, tentang mangsa bunuh, sembelih, curi, rompak, samun, buang bayi, ragut- hari ini kita terselamat, esok atau lusa, Bagaimana? mati tetap mati, dalam perang atau dibunuh dirumah sendiri, jangan terkejut jika bandingan mangsa bagi kedua- dua keadaan ini hampir sama.

Kita sering merasa aman, dalam hiburan dalam limpahan makanan dan dalam kemewahan kehidupan. Kita jangka kita terselamat dari bala Tuhan, namun sedarlah, kejadian- kejadian akhir- akhir ini bukan bala kah? Maka tepuk dada dan istighfar.

Di Malaysia, kadar kelahiran anak luar nikah adalah 12 minit bagi satu kelahiran, andai kita masih mampu merasa tidak apa tentang hal ini, maka urutlah dada, pujuklah iman, supaya menjadi manusia yang bimbang dan luruh jantung dengan maksiat yang semakin berleluasa, sekurang- kurang dengan selemah- lemah iman ini, dengan membenci dosa- dosa ini, kita lepas dari pertanyaan Allah diakhirat kelak.

Pendek kata, kalau mahu merasa negara kita masih aman, masih terselamat dari bencana, masih terlepas dari Bala, fikirlah kembali, benarkah kamu merasa SANGAT aman?

Tangisan Arwah:

Nurin Jazlin Ahmad jazilin
Nurul huda Abdul Ghani
Nursyuhada burak


serta mangsa- mangsa lain.

Sampai bila akan terus beralih keanak- anak yang lain dari sehari kesehari..

Anak- anak kecil mangsa rogol, dera dan bunuh itu perlukan pembelaan, bukannya dibiarkan keluarga mereka terus tertanya- tanya tentang keadilan, kehilangan anak yang dikandung sembilan bulan, disusui dan dipeluk dengan kasih saya bukan semudah melepaskan lembu yang dijaga sejak kecil untuk dikorbankan.

Maka sampai bila mahu berpusing jauh mencari penyelesaian masalah jenayah yang semakin ketara dari sehari kesehari, meskipun statistik jenayah melaporkan penurunan kadar jenayah dari setahun kesetahun, tapi pelik bila semakin banyak jenayah yang terpapar di media, maka jawapan yang pasti adalah berbaliklah kepada Islam, berkesannya hukum islam itu bukanlah pada beratnya, tapi bila kita mengikut perintah Allah, yakinlah kepada Allah.



Selamat datang anak- anak merdeka!

Sambutan hari Merdeka yang benar- benar memerdekakan anak- anak gadis dari kongkongan ibu bapa, bukan itu saja, valentine (yang tidak semena- mena disambut), Tahun baru dan hari- hari yang mahu sangat disambut, disambut dengan selimut Kemurkaan Tuhan!
Maka tunggulah saat sembilan bulan kemudian, kehadiran ‘anak- anak merdeka’ disambut dengan penuh malu dan kebencian, bersepahlah ‘anak- anak Merdeka’ dimerata tempat, malah ada yang hanya tinggal jasad tanpa nyawa.

Maka hari ini jika anak- anak gadis dibiar berpeleseran tanpa teguran atau kemarahan kedua ibu bapa, hanya kerana takut anak lari atau hubungan keluarga menjadi renggang, maka tunggulah saat hukuman Allah, saat bayi- bayi kecil dibuang, maka jangan mula pening kepala, kerana yang asasnya sudah tidak dicantas, jika memang benar mahu anak- anak berdikari, bukannya dengan membiarkan anak- anak gadis hidup tanpa sebarang teguran, dibiarkan pindah kerumah- rumah kawan, atau bukannya dengan cukup diberi wang saku, maka engkau pergilah kemana- mana yang engkau suka, tapi biarkan mereka berdikari ibarat merantai tangannya dengan tali yang panjang, biarpun dia kemana sahaja, tali itu masih kukuh digenggamanmu, persoalan agamanya masih diambil berat, kemana perginya masih dirisaukan, siapa kawan- kawannya masih dipersoalkan!

Benarkah merasa sudah Aman?

Maka sekali lagi saya bertanya, benarkah sudah merasa aman?

maka, Sambutlah Merdeka yang engkau agung-agungkan!


Read More

Sunday, September 5, 2010

wanita hamba fesyen.


errrr...

3.15 pagi, malam 27 Ramadhan, hingga saat ini, barulah saya menulis sesuatu untuk diisi didalam blog.

Pagi semalam, selesai mendengar kuliah subuh di masjis Al- Falah, berdekatan rumah, kami menuju ke jalan TAR, mahu mencari baju raya kononnya( bukanlah baju raya sangat, tapi ini peluang untuk dapat baju baru=)dalam jam sepuluh lebih, jalan TAR semakin dipenuhi.

Sambil berjalan- jalan, mata melilau- lilau, entah, hajatnya mencari Abaya hitam, namun sepanjang yang singgah dimata, tiada pula yang berkenan dihati.

Seronok melihat wajah- wajah riang terutamanya kanak- kanak mendapat baju baru, teringat zaman kanak- kanak dulu- dulu, kata mak, kami adik- beradik tidur sambil peluk kasut raya baru!

Kami berjalan- jalan dulu, mahu memilih- milih.

Dalam kegembiraan , ada juga rasa kurang senang menyinggah.

Manusia hamba fesyen.

Jarang saya berkesempatan turun KL begini, kami yang adik beradik perempuan jarang dibenarkan mak abah keluar dengan kawan- kawan melainkan untuk urusan yang benar- benar perlu sahaja mahu keluar shopping dengan kawan?-minta maaf.

Lewat malam sebelumnya, saya dan akak ada berbual panjang, perihal manusia yang semakin menjadi hamba kepada fesyen.

Maka bila melihat dengan mata sendiri, perbualan malam itu menyinggah kembali ke benak.
Bayangkan kami melihat kebaya nipis dan ketat dengan harga rm130.00, masakan dijual jika sudah tahu tidak akan ada yang membeli, pastinya baju itu akan tersarung ketubuh seseorang pagi raya nanti.jika dihitung- hitung, kain nipis itu pastinya sangat murah, jika dijahit, RM30.00 ringgit, dan diletak sedikit labuci, nah, mahalkan, manusia yang bukan hamba fesyen tentu tidak mahukannya.

Memang fitrahnya manusia itu lebih- lebih lagi perempuan mahu kelihatan cantik sekurang- kurangnya dimata sendiri, malah Allah juga sukakan kecantikan, malangnya fitrah murni itu jika dicalari dengan murka Tuhan, maka apalah ertinya lagi.

Manusia kadang- kadang tidak seharusnya diberi kesempatan, kerana bila diberi kesempatan yang sedikit, mahu ditambah- tambah, hingga menjadi dosa pula.

“tidak salahnya pakai gincu sedikit, biar tidak pucat”

“pakailah yang bewarna ceria sedikt, biar tak nampak tua”

“ tudung biarlah up to date sedikit, baru ada minat orang nak ikut pakai tudung juga”
Selalunya dialog- dialog ini yang kita dengar, akhirnya..

Wajah yang cantik semula jadi, menjadi persis opera cina.

Baju sudah warna merah menyala, berkilat- kilat lagi.

Selendang sudah jarang dan singkat.

Jangan memandai- mandai, jangan pakai tudung berbelit sana berbelit sini dengan alasan mahu mengajak orang lain turut ingin memakai tudung, hidayah itu milik Allah, jika benar mahu menarik minat orang lain biarlah dengan cara yang betul. saya juga pernah melihat seorang wanita yang bertudung hanya selepas melihat filem ayat- ayat cinta, namun watak Aisyah dalam filem itu tidak pula saya lihat berbaju terbelah sana terbelah sini, atau tudungnya berlabuci sana berlabuci sini.(setakat yang saya nampaklah)


Bisikan- bisikan syaitan yang kadangkala terbit dari mulut manusia seringkali membuat manusia lupa, dia sebenarnya punya Tuhan.

Kata akak mereka ini sebenarnya tidak yakin dengan diri sendiri, selalu mementingkan pandangan orang lain sehingga menyeret diri mencari kepuasan palsu dan nafsu yang tidak berpenghujung.

Sehingga tidak sedar diri sudah bertuhankan Fesyen, mahu solatpun teringat, baju apalah yang terkini dan sensasi.~

Ribuan ringgit habis untuk makeup, baju yang uptodate, minyak wangi, handphone mahal, dan sebagainya, inikah erti kebebasan sebenar yang mahu dicari?

Dan wanita islam yang hanya tinggal diam dirumah, menjaga keperluan suami dan anak- anak dilabel sebagai tertutup lagi jumut?

Malah bagi saya mereka yang terlalu mengikut perkembangan fesyen atau yang menjadi hamba fesyen ini benar- benar punya masalah emosi, hari- hari terpaksa berfikir, cantikkah aku hari ini, adakah yang akan melihat aku nanti, antara aku dan dia siapa lebih cantik dan kurus dan bermacam- macam lagi soalan- soalan pelik akan muncul.Ah~ itu belum masuk berapa banyak duit yang habis sebulan untuk ganti alat solek yang habis.

Kadangkala menggunakan alasan – untuk suami. Sedangkan menyolek untuk keluar lebih tebal dari sewaktu berhias untuk suami, kerana itu lebih baik jika menjaga kecantikan dalaman, supaya tidak perlu ditambah apa- apa, sudah cantik berseri- seri, maka sang suami silalah kerap memuji kecantikan asli sang isteri agar dia lebih berpuas hati dengan apa yang dimilikinya.
Maka haruskah disiksa diri semata- mata mahu dikatakan cantik, mahu dipandang lelaki, mahu menjadi lebih sempurna dari orang lain?

Maka inikah kebebasan yang kamu cari?

Diulang, inikah kebebasan sebenar yang kamu cari?


Mari mendidik nafsu.
Jauh sekali saya mahu merasakan dirilah yang lebih mulia dan terpelihara, kalau semata- mata begitu, malas saya mahu menulis panjang- panjang begini,namun, biarlah dari hati kehati, saya menulis dari hati, biarlah tepat kehati anda semua.

Dalam Tazkirah usai Solat terawih tadi, ustaz menceritakan sesuatu yang amat menyentuh hati saya.
Perihal kanak- kanak di acheh, setelah empat tahun kejadian bencana tsunami berlalu.

Satu saat ustaz kesana,( ustaz juga pernah menuntut disana), banyak perubahan telah berlaku, pondok tempat ustaz belajar dahulu sudah menjadi bangunan tiga tingkat yang lengkap berhawa dingin.

Saat solat subuh, dibelakang bahagian tangga, ada sekumpulan kanak- kanak sedang lena tidur, hampir semua tidak berbaju dan hanya berseluar pendek, waktu ustaz kejutkan, mereka tidak mahu bangun,malah menyinga memandang ustaz.

Sudah dua tiga kali kejut, ustaz akhirnya geram dan memukul mereka dengan kain, mereka tidak mahu juga, ada yang beralih tempat, dan menyambung tidur semula.

Ustaz mula pelik, ditanya kepada orang- orang disitu.

“anak- anak siapa diorang ni, degil sangat” mereka tidak menjawab dan hanya menyuruh ustaz bertanya kepada Tok Guru.

Sewaktu bersarapan bersama Tok Gurunya, Ustaz bertanya perihal kanak- kanak ‘degil’ sebentar tadi.

“kamu pukul mereka?” tanya Tok guru, ustaz mengiyakannya.

“kenapa dipukul..mereka itu anak- anak mangsa tsunami yang dikutip di merata- rata, di tempat sampah, di tepi- tepi jalan ..” Ustaz terkejut.

Kata Tok Guru lagi, mahu makan menggunakan pinggan dan minum menggunakan cawan pun mereka tidak tahu, persis binatang,liar.

Jika ditangkap dan dibawa kepondok itu, paginya mereka akan lari.
Bayangkan, sewaktu kejadian tsunami mereka berumur 2 tahun, dibiarkan di tempat yang tidak terurus, dan sewaktu mereka berumur enam tahun atau beberapa tahun pun, siapa pula yang mengajar mereka menjadi manusia?

Jadi tujuan mereka membawa kanak- kanak itu adalah untuk menjadikan mereka mengenal perwatakan manusia, kemudian barulah mencorakkan mereka dengan islam, jadi harus dididik selembut yang mungkin.

Barulah ustaz faham.

Pada tahun lepas, Ustaz kesana lagi, hajatnya ingin bertemu dengan anak- anak jalanan itu, sewaktu mereka dipanggil Tok Guru supaya ke surau tempat ustaz menunggu.
Alangkah terkejutnya ustaz, mereka yang dia kejutkan subuh itu kini sudah berjubah putih, berkopiah, meletak kain di tengkuk, dengan janggut- janggut nipis, malah mampu menjadi Imam Solat! SubhanaAllah..

Nafsu itu mampu dididik...
cara keras mahupun selembutnya.


Waktu kecil, jika kita tidak diajar bersabar menunaikan solat, entah mampu atau tidak kita solat dengan hanya mengharapkan redha Allah kini, kalau dulu kita tidak belajar menahan lapar dan dahaga, entah boleh atau tidak kita berpuasa di bulan Ramadhan ini.


Jika hari dan saat ini, jika kita tidak belajar bersederhana dalam berpakaian dan berpakaian dengan sempurna menutup aurat, bila lagi, takut- takut nanti sudah terlambat, mahu bertudung labuh nanti, takut panass...Nau’zubillah.

Maka ayuh belajar merasa cukup dengan apa yang ada, usahlah memeningkan kepala dan menyerabutkan fikiran memikirkan perkara yang sepatutnya kita tidak fikir, usahlah hidup menjadi hamba fesyen, belajarlah bersyukur dengan apa yang kita miliki, itulah yang terbaik yang Allah berikan buat kita yang kadangkala orang lain tidak berkesempatan memilikinya.

“ dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”
(Al-Ahzab : 71)
Read More
Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena