Nessa Syahirah

Beriringan ke Syurga~

Wednesday, April 9, 2014

Ajarkanku tentang keikhlasan



Aku selalunya tidak mahu menyesal dengan tindakkan yang lalu yang kulakukan setelah berfikir panjang baik buruknya, kerana walau hal itu akhirnya mengundang keburukan, jika disesal bakal membunuh jiwaku, dan aku tidak mahu dibunuh jiwaku oleh diriku sendiri. Justeru, yang lebih baik bagiku adalah melepaskan selangkah demi selangkah, melupakan dan berharap ia segera pergi dan masalah itu akan tetap menjadi pengajaran buatku di masa depan nanti.

Keterpurukan akibat kesesalan dimasa lalu bisa membuat manusia terkeliru, antara melemah atau bangkit dengan hati yang buntu. Akhirnya manusia menjadi manusia yang rendah ketika berdepan dengan orang sekeliling. Bagiku tiap dari manusia punya kehormatan yang tinggi, justeru tidak menceritakan tentang kehidupan dimasa lalu adalah penyelesaian terbaik untuk diri berdepan dengan manusia kerana sifat manusia terkenal pantas menghukumi dan menanggapi sekalipun terhadap apa yang mereka lansung tidak ketahui. Dan ia benar- benar mengecewakan.

Dalam seni menghadapi kehidupan memerlukan kita bijak berunding dengan hati, serta meletakkan aqal ditengah dan kemudian pasti wajib menggunakan petunjuk dari illahi dan Hadith Nabi.  Tanpa ketiga- tiga hal ini, manusia lemah dan dipenuhi keserabutan yang tidak berpenghujung, manusia tidak semestinya harus selalu menyoal kepada orang lain, bagaimana untuk menyelesaikan masalahnya, bagaimana untuk mendiamkan fikirannya dan menjemput ketenangan, kerana hal itu hanya boleh dijawab oleh dirinya sendiri. Duduk diam, beristigfar, kuatkan hubungan dengan Tuhan, dan akhirnya usah sekali- kali terlalu berfikir tentang apa yang manusia lain sedang fikirkan, pelengkap seni menghadapi kehidupan dengan tenang.

Kadang kala Allah menitip bantuan lewat jalan yang tidak kita sedari, ketika kita buntu memerlukan wang, Allah tidak memberi rm1000 secara tunai ditangan kita, tetapi Allah mengetahui batas kemampuan kita untuk terus tetap bersyukur dan tidak terlupa padanya, maka Allah memberi sepinggan nasi untuk mengenyangkan, untuk kita berfikir, oh aku masih kenyang sedang ramai manusia diuji lapar, oh aku masih mampu mengunyah nasi sedang ada manusia yang hidup bergantung susu kerana rosak salur pencernaan. Maka kerana itu, aku namakan, seni menghadapi kehidupan itu memerlukan untuk kita meletakkan aqal diatas, berfikir, bukan merungut terus, dengan aqal berfikir, apa yang ada didepan, apa yang Allah kurniakan, dan bersyukur.

Jangan terus dihenyak orang lain, kerana yang layak mendapat kerendahan dan ketundukan kita hanyalah Allah. Jangan merosakan hati dengan kesedihan terus, kerana hati itu layak mendapat keindahan dan ketenangan dari batang tubuhnya, jangan sekali- kali menilai manusia lain, kerana seorang manusia layak mendapat kehormatan yang tinggi dan tidak terus dipandang buruk.

Ada ketika, kita berjalan dan masih mampu berjalan, tetapi tidak tahu adakah jalan yang kita lalui ini adalah baik atau tidak, maka teruslah berjalan, kerana kita telah menggunakan aqal untuk berfikir, maka kita berjalan setelah nekad dan berfikir panjang, suatu saat andai jalan yang kita putuskan sebentar tadi ternyata salah, jangan menyesal kerana penyesalan boleh membunuh jiwa, ambillah kesempatan untuk membetulkannya, kalau punya kesempatan lebih, keluar dan tidak salah bermula semula. Jadikan kisah lalu sebagai pengajaran. Yang paling penting adalah dengan meminta petunjuk Allah dan serahkan kebergantungan pada-Nya secara total, yang juga penting, jangan dilihat pada buruknya pandangan manusia, kerana Pandangan Allah telah cukup mententeramkan.

Ada ketika juga, kita melihat sekeliling dengan pandangan kosong, berfikir dalam- dalam siapa antara mereka lagi yang harus kita percayai, setelah dikecewakan berkali- kali, berbisikan kedalam hati, kau hanya harus mempercayai Allah dan keluarga, kerana itu yang paling mententeramkan, mungkin kesilapan awal kerana kita tidak menjalinkan pertalian dengan orang lain secara sepenuh jiwa, dan ketika orang mengecewakan jangan menghukum dirimu dengan terus resah dan gelisah, ambillah sedikit waktu untuk menjauh dan berfikir, bukan dalam niat untuk memutuskan sebuah pertalian persahabatan yang telah terbina, tetapi untuk kau sendiri mengajarkan kepada dirimu tentang keikhlasan dalam pertalian. Maka orang lain tidak bersalah, jadi yang harus diperbetulkan adalah diri kita. Bukan menghukumi, tetapi memujuk diri untuk redha. Biarkan saja pandangan orang lain yang tidak tahu membaca siapa dirimu yang sebenarnya.

Ketika ini, aku benar- benar ingin berkata tulus dari hati..



Read More

Wednesday, February 12, 2014

Sejenis CINTA yang tak perlu pun kau perjuangkan.



Awal pagi sampai ke Office, sampai- sampai haruman bunga dalam jambangan sudah menerpa menusuk hidung, wangi, sambutan harumannya yang menceriakan pagi saya, di hujung kaki lima tingkat 17 itu ada bunga- bunga yang cantik dalam jambangan tersusun rapi, agak luar biasa kerana belum pernah terjadi lagi, kedai bunga ekslusif yang terletak selang dua premis sudah kelam kabut di awal pagi, petanda banyak tempahan, masuk- masuk ke firma,  saya diterangkan rakan, kepelikan saya terjawab, oh..rupa- rupanya sambutan hari valentine sudah tiba, auntie kedai bunga kata tempahan banyak sempena valentine.baiklah- baiklah..

Baru dua tiga hari ini saya terfikir, masih adakah orang yang nak sambut valentine? Maksud saya orang islam, sebab kan dah berada di zaman serba canggih kononnya, bukankah sudah tersebar poster- poster melarang sambutannya, dan fatwa yang disebarkan lewat laman sosial yang mencegah sambutannya, oh..kerana dah cinta ya, tapi itu memalukan, kalau tidak malu sama Tuhan, malu pada manusia, kerana seolah- olah ketinggalan zaman. Positiflah, mungkin tidak tahu, mungkin.

Saya hampir menangis kerana membaca kes perceraian, kes perebutan anak, kes skandal, dan bermacam- macam lagi kes ketika menyiapkan tugasan, begitu ditegur dengan keagungan Allah, kalau kau tak melalui cinta yang mengikut acuan syariat, nah, kau perlu tahu yang hari ini mungkin Allah letak cinta itu dalam hati kau, cinta secintanya, dan esok juga Allah boleh hilangkan sekelip mata sahaja dan gantikan dengan perasaan benci sebencinya. Nak melawan?

Jangan kata kita boleh pertahankan cinta kita dengan megah hingga ke akhir hayat sebab bila- bila pun Allah boleh hilangkan perasaan tu, sebab itulah cinta di sekeping hati itu harus disandarkan kepada Allah, memohon Allah yang menjaganya, tidak kiranya cinta kepada sesiapa makhlukpun. Kalau Allah redha, Allah yang memudahkan kita memaafkan ketika berkonflik, Allah yang mengendurkan marah ketika terlalu marah, dan Allah yang lenyapkan benci ketika masalah tiba dan menggantikan dengan cinta, Allah yang mensejukkan hati ketika panas membara, semuanya dari Allah, asal kita mahu bergantung dengan Allah, tapi kerana diri kita yang degil, masalah yang tiba terasa tidak ada jalan keluar, perceraian bukanlah sejenis jalan keluar, kalau sekalipun ia memang jalan, ia adalah jalan terakhir, minta maaf, sudah tentu saya belum berkahwin buat masa ini, tapi akhir- akhir ini saya belajar untuk melihat dengan dalam- dalam dari pemerhatian dan pembacaan, pengalaman orang sekeliling juga boleh jadi pengajaran yang sangat berharga buat kita.

Saya yakin, inilah yang dirasai oleh setiap orang yang mula berkerja, doktor memulakan alam pekerjaannya dengan hati yang mudah sayang pada sesetengah pesakit sehingga apabila pesakit mati dia sedih tak terkata, seorang guru, mudah sangat jatuh kasih dengan sebahagian pelajar dan tidak seperti itu pada pelajar yang lain, diawal dia memulakan pekerjaannya, kerana itulah saya terlalu emosi kerana masih baru ingin melangkah kecita, terlalu sayang ikatan sebuah perkahwinan, apabila ingin menuntut hak semasa dalam perkahwinan, semua keburukan dikeluarkan sehingga tidak ada lagi pengertian kemaafan, sedikitpun tidak ada, yang ada semuanya keburukan, Maha Agung Allah yang memegang hati hamba-Nya, setiap perasaan juga adalah milik-Nya. Setiap yang berlaku di masa hadapan kita sedikitpun tidak tahu. Kadang tersasar sangat jauh dari apa yang diharapkan.

Cinta adalah Pejuangan?

Atas merasakan cinta adalah perjuangan, maka ramai orang tersalah memperjuangkan cinta pada makhluk, siapa dapat menghalang, jika sebuah cinta hadir kepada perasaan, suami kepada orang lain boleh jadi jatuh cinta kepada isteri orang lain, Nauzubillah. Cinta sering dianggap mulia, asal saja tidak masuk kelembah penzinaan, maka dianggap cinta kau adalah suci, cinta yang benar. Sekalipun jatuh cinta pada mak orang, suami orang atau tunangan orang lain, ia tetap suci. Maka harus diperjuangkan, sekalipun tinggal 16 hari orang itu akan berkahwin dengan orang lain, harus tetap diperjuangkan asal kau dapat berkahwin dengannya, kerana merasa cinta kau lebih suci dan lebih sejati. Maka al-hasil, dia tidak jadi berkahwin, habis rosak persiapan, saudara mara sudah datang dari kampung, semua terkesima, tidak jadi kahwin setelah persiapan disiapkan, kerana pengantin lelaki ada cinta lain yang lebih suci lebih sejati. Semoga, kita semua dipelihara dari kisah rumit ini, dijauhkan sejauh- jauhnya, andai melalui atau sedang melalui, kita kuat untuk menghadapinya.

Cinta memang perjuangan, dasar perjuangan juga harus atas dasar kebenaran, berjuanglah kerana cinta yang dibenarkan, mintalah pandangan dan nasihat dari orang sekeliling kerana cinta itu benar- benar menawan hati manusia yang terlibat dengannya dan dipenjarakan, matanya dibutakan sehingga di hanya nampak cintanya adalah kebenaran.

Kahwin lari?

Berfikir sedalam- dalamnya, jika lari dari perkahwinan yang diaturkan keluarga kerana ada yang lebih dicintai dan disayangi, bertanyalah kedasar hati, siapa yang lebih soleh dan solehah, kalau memang perkahwinan yang diaturkan keluarga menghantar kita terus ke neraka dunia, bakal berkahwin dengan penagih dadah, peminum arak tegar yang tidak ada terkutik sedikitpun perasaanya untuk berubah, larilah jauh- jauh, kerana itulah perjuangan untuk menuju cinta yang lebih baik dan diredhai Allah, tetapi jika kita berdepan dengan perkahwinan diaturkan keluarga untuk menyelamatkan kita dari seseorang yang tidak berkenan di hati ibu bapa kerana akhlaknya, kerana tahu siapa sebenarnya dia, maka ubatkanlah hati dan bersabarlah, sedikit masa lagi, perasaan cinta kepada orang lain itu  akan berpindah kepada orang yang akan kita kahwini, kerana hati itu milik Allah, Allah yang meletakkan perasaan itu, jika tidak ada, masih tidak ada, berdoalah supaya ia lekas hadir, kerana kita menerima perkahwinan itu untuk mencari redha Allah juga, mana mungkin seseorang yang ingin menuju cinta Allah akan diabaikan DIA.

Ketika watak Abdullah Azzam menasihati Fadhil untuk TIDAK memperjuangkan cintanya yang dalam kepada Tiara didalam filem ketika cinta bertasbih, kerana keluarga Tiara sudah datang ke mesir dan segala persiapan pernikahan sedang dilakukan, saya sedar filem yang menggambarkan watak hero dan heroin memperjuangkan  cinta mereka sudah sangat banyak, sehingga begitu mempengaruhi, sehingga ramai orang melihat memperjuangkan cinta itu adalah kebenaran, sedangkan tidak semua cinta harus diperjuangkan, ada yang terjatuh cinta pada seseorang yang tidak sepatutnya, jauhilah dia jauh- jauh, kerana ia akan merosakkan diri, hubungan dengan keluarga bahkan sebuah ikatan perkahwinan atau pertunangan, syaitan sentiasa menari- nari memintamu memperjuangkan cinta yang kononnya cinta suci yang lahir benar- benar dari hati itu, sedangkan jambatan untuk merosakkan dirimu sedang dibina satu persatu, batu- batanya disusun dengan begitu berstrategi sehingga saat ia akan dirosakkan, ia bakal diruntuhkan dengan sekali air yang lalu, lenyap segala kisah yang sudah susah payah dibina dengan kesabaran dengan keteguhan hati. Lenyap sama sekali.

Setia dan hormat

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud) :

"Wahai orang- orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakan perjanjian"
(Al- Maidah : 1)

Al- alusi dalam tafsir Ruhul maani membahagikan janji kepada tiga bahagian, iaitu janji dengan Allah, janji dengan diri sendiri dan janji dengan manusia dan sebagai seorang yang beriman janji ini mesti dipatuhi.

Bukankah dalam konteks ini, janji kita dengan manusia, dengan pasangan yang telah kita janji untuk mempertahankan perkahwinan, dengan keluarga dia yang telah kita bina hubungan, dengan ibu bapa kita, dengan semua yang terlibat dalam perjanjian itu wajib ditepati? sekalipun hanya sebuah pertunangan, sekalipun pertunangan hanya sekadar janji untuk mengadakan perkahwinan (masih belum berkahwin), permungkiri janji ini juga turut diangkap akhlak yang keji dan dibenci Allah (jika atas alasan yang tidak munasabah apatah lagi memutuskan tanpa alasan tidak semena- mena), Allah berfirman didalam Surah Al- Isra' ayat ke 24 yang bermaksud :

"…dan sempurnakanlah perjanjian ( dengan Allah dan dengan manusia).."

Didalam surah as-Saff ayat 3, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

"Amat besar kebencian disisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukan"

Sekalipun kita bukanlah yang terlibat dalam perjanjian tersebut, jangan sekali- kali kita menjadi watak yang mematahkan perjanjian itu dari luar. Atas alasan cinta suci kita. Tentulah saya tidak layak berbicara tentang kesetiaan, tapi saya tetap ingin menulis ini. Kesetiaan adalah sangat sukar, kerana perasaan lain akan hadir bila- bila masa, berapa ramai orang yang tidak mahu berkomitmen dengan sebarang hubungan.

kerana itulah perlunya wujud hormat, supaya kita merasa takut untuk melukakan kerana terlalu hormat, hormat hanya boleh dibina dengan tunduk kepada Allah, kerana orang yang dekat dengan Allah akan dihormati kerana dia juga akan berakhlak baik, justeru pandulah cinta kepada Allah kerana kita sendiri tidak mampu menjaganya sendiri. Saya melihat ini dalam keluarga saya yang diajar untuk menghormati satu sama lain, saya melihat ini dalam orang sekeliling saya, maka saya tahu dan belajar, jika kita tidak mahu orang kesayangan kita, keluarga kita melalui perkara yang sama, maka jauhilah diri kita dari melakukan sesuatu yang tidak baik, jauhi dari jatuh cinta kepada orang yang tidak sepatutnya, tidak kepada hak orang lain, kerana dalam kebanyakkan cinta, sebahagiannya tidak harus diperjuangkan, jangan terlalu berdrama, kerana banyak perasaan yang harus kita jaga, banyak nama baik yang harus kita pertahankan, banyak perkara yang harus difikirkan sedalam- dalamnya.

Tahniah kepada yang menganjurkan kempen katakan tidak pada sambutan hari valentine, saya harap sudah tidak ramai yang menyambutnya kerana ramai sudah up to date dan meninggalkan sambutan yang out dated ini, memalukan kerana ketinggalan zaman.hehe.

Maafkan kerana emosi, biasalah budak baru nak kenal kehidupan, baru buka fail kes, selama ini baca di jurnal hukum sahaja tak Nampak ekstream, sekarang baru tahu. Maafkan saya jika menulis terkadang tak lihat diri, maafkan kerana saya sendiri tidak tahu apa yang Allah susun dimasa hadapan saya. Sama- sama doakan kebaikan kita dan orang sekeliling kita. Semoga Allah ampunkan kita. Amin..



Read More

Thursday, December 19, 2013

Sosok Muslimah yang bagaimana kau mahu lahirkan di abad ini?



Sosok Muslimah yang bagaimana kau mahu lahirkan?



" Daripada Aisyah r.a katanya, aku berkata, Ya Rasulullah, kita mengetahui jihad adalah sebaik- baik amalan, oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut serta pergi berjihad? Baginda menjawab bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji yang mabrur"
                                                                                       (diriwayatkan al- bukhari dengan memiliki ashl)

"Kami(para wanita) dahulu (ikut berjihad) bersama Nabi s.a.w., kami memberi minum dan mengubati orang yang terluka dan mengurusi jenazah agar dipulangkan ke Madinah"
                                                                              (al- Bukhari ( 2882) Hadith Rabi' Bintu Muawwiz r.a)

Ketika Saidatina Aisyah, gigih bertanya bagaimana caranya jika wanita ingin ikut berjihad, kerana begitu cemburu melihat kaum lelaki dapat melunaskan amalan termulia itu, Rabi' Bintu Muawwiz pula menerangkan bahawa mereka ikut serta berjihad bersama Rasulullah di medan dengan membantu sesuai ketepatan fungsinya, justeru muslimah hari ini mahu berwatak seperti apa? Masih mahu diulik dengan puisi- puisi nan indah memintamu dengan kelembutan bahawa engkau seharusnya berfungsi sebagai hamba Tuhan yang sewajarnya, atau masih mahu melayan perasaan tidak boleh tersentuh sedikitpun kerana hatimu adalah yang paling harus dijaga.

Muslimah!

Lihat sekelilingmu, engkau sudah diberi hidayah sedang mereka masih ternanti hidayah, justeru watak apa lagi yang engkau mahukan, watak kelembutan membuai-buai bahawa engkau tidak boleh lelah dan penat kerana kerjamu hanya melayan perasaan? Menanti imam disana, menanti pemuda berwatak ustaz memanggilmu, bernikah seperti yang kau impikan, bina keluarga harmoni mawaddah warahmah seperti dalam kotak impimu? Lantas apa lagi peranan yang kau harus mainkan pada ummah? Cukupkah sekadar itu?

Muslimah, tidak mahukah engkau bergerak laju mengerah tenagamu untuk dakwah, untuk bentuk ummah pada zaman seperti ini? Jiwa- jiwa para srikandi sirah yang bergelegak ingin berjihad dan bersoalkan kepada Rasulullah bagaimana caranya aku harus berjihad dan itu tidak ada terdetik di hatimu, watak para srikandi sirah yang turun ke medan jihad membantu mengubat luka dan menguruskan jenazah itu kau pandangkan sipi sahaja, kerana engkau masih melayan rasa kelembutanmu. Justeru watak apa kau ingin lahirkan untuk ummah yang sakit ini?
Muslimah, kau mahu tahu tentang bicara Zainab Al-Ghazali, tokoh srikandi gerakan islam di mesir yang pernah dipenjara dengan siksaan kepadanya seperti siksaan kepada seorang tahanan lelaki seusai penikahannya kepada suaminya?
"Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya. "Dia memperingatkan suaminya lagi, "Sekiranya berlaku pertembungan diantara perkahwinan dengan dakwah, akan berakhir perkahwinan dan kekal dakwah kepada Allah S.W.T. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah S.W.T."

Muslimah!
Berhentilah, kita  harus kuat, kita harus turut berjihad sesuai peranmu sebagai wanita, ketika tidak jatuh wajib untuk engkau turun berlawan di medan tempur  kita harus turut mengerahkan tenaga, kita  harus berjuang dengan posisi yang tepat, kita harus tewaskan kelembutan sendiri, panas terik yang membuat penat itu hanya didunia, cukuplah akhirat untuk kita beristirehat.

Berfikirlah, apa yang kau boleh sumbangkan untuk ummah, hilangkan perasaan yang bukan- bukan, tidak sekali aku ingin menafikan bahawa kita punya fitrah kelembutan, namun kelembutan itu tidak sekalipun menjadi tembok besar untuk kau tetap turut berjihad, bentuklah jiwa menjadi jiwa pemberani, jiwa kental yang tidak mudah terusik, malu rasanya jika kita masih leka dengan puisi- puisi melayan perasaan, mengagungkan watakmu sebagai wanita, engkau tahu betapa sakitnya ummah, dan kau tahu betapa sakitnya perasaan melihat anak- anak gadis bebas meliar melahirkan kandungan tidak dipinta sedang para daie muslimah masih sibuk melayan perasaan kesedihan ditinggalkan imam idaman. Masih duduk diam berteleku mengadap novel- novel yang membuai perasaan sedang kitab- kitab dan penulisan para ulama masih banyak yang perlu dihadamkan. Dan filem- filem yang menerangkan soal hukum sedang pemain wataknya juga tidak punya ikatan darah mahupun aqad perkahwinan yang menghalalkan, bertentangan mata dan pegang beralas kain atas alasan dalam filem bergenre islamik.
Muslimah!

Berjihadlah, kita sudah tak punya masa,ayuh, kuatlah, jangan berselingkuh dibawah perasaanmu yang mendap dan mendakap, terbanglah, jangan tunggu lagi, lakukan semampumu, sekalipun kau hanya bisa menulis ilmu- ilmu fiqh, soal aqidah dan syariat, soal pemikiran islam, soal ketamadunan serta soal apapun yang bermanfaat untuk ummah, sekalipun kau hanya mampu berusrah di bulatan kecil, kau hanya mampu membaca dan belajar dengan sepenuh tenagamu agar ummah melahirkan ilmuan yang menjadi rujukan di masa hadapan, LAKUKAN! Berfikir! Apa yang kau bisa lakukan untuk ummah, bukan untuk kesenangan hidupmu kerana hidupmu akan berakhir sedikit masa lagi tapi ummah akan terus bergerak dan menghidup di masa akan datang sehingga hari pembalasan, justeru ummah yang bagaimana akan dilahirkan di masa hadapan?! Turunlah ke lapangan dan kau akan tahu betapa ummah memerlukan..Ya Rabbi, ampunkan kami jika bicara yang tak seiring amal, atas semangat yang terbungkam dalam waktu tertentu atas kelekaan kami diatas dunia yang tidak kekal ini. Amin..

Saidatina Aisyah, Khadijah, asiyah, sarah, hajar, lupakah kita pada kekuatan perasaan mereka, tidakkah mereka contoh terbaik untuk muslimah yang tidak terlalu melayan perasaannya? Dan penuh kekuatan berkata "jika ini adalah arahan dari Allah, maka aku redha.." atau tegas berkata " aku memilih engkau Rasulullah berbanding dunia dan kenikmatan yang ada didalamnya".

Zainab Al- Ghazali, Maryam Jameelah, Yb Zailah,  ustazah Nuridah, dan ramai lagi srikandi besi dalam gerakan islam yang boleh diikuti? tegas dan tangkas, tidak punya masa menghabiskan masa menangis melayan perasaan kerana fikiran mereka luas, menjenguk ummah dari jendela yang tinggi dan jelas. berperan dengan watak penggerak ummah, jika tak nampak dengan srikandi di sirah apakah watak didepan mata ini masih mahu diabaikan.maafkan aku teman, kadangkala aku menulis kerana kesedihan. sekalipun kadang aku yang terleka ketika aku kegembiraan. benarnya, semakin kita tahu semakin banyak yang kita tidak tahu, luasnya ilmu tak tergapai, biar lelah, jangan rebah, bertahanlah untuk ummah..

Disebalik kelembutanmu, ada jihad menanti, ada jiwa tegas pemberani~
Read More

Wednesday, December 11, 2013

Cerpen: Andai Kasturi Hilang Harum (2013)






Wahai orang- orang yang beriman! Peliharalah di kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan- bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat- malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan
                                                    At- Tahrim: 6

Azan subuh dan hujan lebat, Farihin bingkas bangun, dipeluk bantal merah jambu erat- erat, mengucapkan selamat tinggal buat kerehatan, mengucapkan selamat datang kepada minggu yang berat dan panjang. Dua hari untuk merenggangkan badan nyata tidak cukup, kelmarin dan semalam dia berhempas pulas menjadi Jawatankuasa program muslimat di kawasannya, lewat malam semalam barulah dia dapat bermanis wajah dengan ibunya, sindiran sinis ibu dibalas dengan senyuman semanis- manisnya, faham ibunya sunyi, tinggal bersendirian bersamanya sejak arwah ayah meninggal dunia bukan mudah, tapi dia bersyukur setinggi- tingginya punya ibu sebagai ibunya yang terus memberinya semangat untuk aktif dalam perjuangan islam sebagaimana arwah ayahnya dahulu.

Dia berdiri, baru perasankan ibunya yang duduk berteleku di kaki sejadah tidak jauh dari birai katil yang berlangsir putih.

“lewat bangun, cepat..ibu tunggu, kita solat sekali” dush, sekali lagi sindiran tepat kehatinya.

“sekejap- sekejap ibu..” cepat- cepat dia berlari menuju ke bilik air, pintu tanpa sengaja terhempas kuat, meskipun sudah besar panjang, mencecah umur 27 tahun, dia masih anak kecil ibu yang manja dan seringkali akan diperingatkan.


Pipi dan kening ibu dikucup, usai mengakhiri bacaan doa selepas bacaan mathurat bersama, pagi ini dia harus segera ke Kolej, ada kerja tertangguh yang harus diselesaikan.

“Abang long kirim salam semalam, dia ada datang singgah sekejap..petang dah balik, kerja malam katanya” kata ibu, telekung dilipat dan disangkut di ampai kayu jati sebelah almari.

“ Oh ye.., tak tnggu in pun..” dia buat- buat mencebik, satu-satu abangnya yang kini bertugas sebagai doktor pakar rawatan kanak- kanak di Hospital Kuala Lumpur.

“ Dah nak tunggu macamana, bukan nak telefon ibu sampai rumah pukul berapa..” luah ibu, terkena lagi dirinya, dia terlupa sangat untuk menghubungi ibu, siap- siap berkemas usai program pun dah agak lewat, terus saja dia memandu ke rumah.

“ Cepat- cepat bersiap, lewat nanti, ibu nak panaskan spaghetti yang ibu buat semalam, jom sarapan sekali” ajak ibu.

“Ibu.., sori tau, sori tau..ye?” lengan ibu dipaut, disandarkan dagunya ke bahu ibu, manja.
“Iye, lain kali call ibu, risau ibu dibuatnya” jawapan untuk sindiran ibu malam semalam terungkai, ibu terasa dengan sikapnya semalam.

Cepat- cepat dia bersiap, menyarungkan blouse muslimah paras lutut berwarna putih dan tudung berwarna peach, palazzo hitam dipadankan dengan blouse tampak kena dengan gayanya, dia mencapai beg tangan dan berlari menuruni anak tangga. Harum semerbak bau spaghetti ibu dari dapur mempercepatkan langkahnya.

"So macamana dengan plan anak angkat Palestin tu?" Ibu membuka bicara, dia yang baru mahu menyenduk mee spaghetti ke pinggan terhenti langkah seketika.

"Oh yang tu, InsyaAllah ibu, I will fight for it, in akan setelkan surat menyurat, pergi jabatan pendaftaran semua, then kawan in yang jadi Lawyer kat United Nation tu pun ready je nak tolong apa yang patut.." dia menyambung semula menyenduk kuah dari mangkuk kaca sederhana besar.
" In dah fikir masak- masak..?" Ibu duduk berhadapan, memandang ke dedalam anak mata anaknya itu.

"Ibu..kita dah bincang haritu kan.." sampai ke lewat malam dia berbincang dengan Ibu, dan waktu itu sebelum melelapkan mata ibu berkata, baiklah ibu setuju.

"Okey, Ibu doakan berjaya dan dipermudahkan, ibu pun tak pernah tengok lagi budak tu, tak tahu sejauh mana kasihnya In pada dia, mungkin ibu tak faham lagi sebab ibu tak pernah jumpa dia" Farihin senyum, sudah dua suap spaghetti dikunyah dan ditelan, kelaparan dari semalam yang dia tahankan sahaja dan tidur.

" Baru dua hari ni In tak pergi jenguk dia, dah rasa rindu semacam bu" sambungnya, Ibu menggeleng kecil, angau anaknya ini lain dari yang lain, angaukan anak kecil Syria yang dibawa ke Malaysia oleh NGO keamanan yang berpusat di Malaysia, masih berstatus 'pelarian', justeru masih banyak prosedur perundangan yang Farihin perlu selesaikan.

"InsyaAllah petang ni In nak pergi jumpa dia, mesti dia pun rindukan in, Ibu nak ikut..?" dia tahu ibunya berat untuk  membenarkannya, tapi mungkin selepas melihat anak kecil itu Ibu akan lembut hati.

"Ibu ada usrah petang ni..InsyaAllah next time okey" Farihin sekadar mengangguk, sedaya bermanis wajah untuk ibu tersayang, dia makan dengan pantas dari kebiasaan, tidak mahu lewat masuk ke kelas berbanding para pelajarnya. Usai membasuh pinggan, dia mencapai beg tangan dan beberapa buah buku yang diletak diatas kerusi sebelahnya, bersalam cium ibunya dan berlari pantas keluar, Hujan masih renyai- renyai. Farihin tersengih, ada cahaya buat dirinya menanti petang ini, cahaya dari Palestin.

" Assalamualaikum Puan Farah, Mohamed ada?" dia menanggalkan kasut di muka pintu, disambut Puan Farah selaku penjaga amanah kanak- kanak Palestin yang dibawa ke Malaysia dan dilindungi di sebuah Pusat NGO kemanusiaan, suara riuh rendah kanak- kanak didalam menambahkan kerinduan Farihin buat anak kecil berumur kira- kira 4 tahun itu.

" Ada.., masuklah, lama dia tunggu Farihin datang tu, dua hari duduk je makan pun kurang, tak nak main dengan kawan- kawan yang lain" Senyum Puan Farah sampai ke telinga, gembira ada insan- insan prihatin yang sudi melawat anak- anak pelarian Palestin ini disini.

Seorang kanak- kanak keluar, tersenyum, dia berjalan perlahan- lahan menuju ke Farihin, masih malu- malu. Mohamed masih belum mampu bertutur bahasa Melayu, anak kecil si yatim piatu ini masih trauma, menurut wakil NGO yang membawa mereka ke Malaysia dengan susah payah, Kedua ibu bapa Mohamed dibunuh di depan matanya sendiri, Allahu Rabbi.

Farihin meriba Mohamed, mengusap kepalanya dan mencium kepala kanak- kanak itu dari belakang, entah dia serta merta sebak, Mohamed bersandar pada Farihin manja. Kemudian mencari tangan Farihin dan digengam dengan kuat, seakan- akan tidak mahu melepaskan Farihin pergi, air mata Farihin tumpah, perasaan kasih, kasihan, sayang bercampur baur. Kanak- kanak ini luar biasa, saat pertama kali dia bertemu Mohamed ketika menghantar sedikit sumbangan di Pusat ini pun dia sudah jatuh kasih, tumpah sayangnya, ketika itu Mohamed sedang duduk memeluk lutut di hujung dinding, hanya memandang kanak- kanak yang lain bermain dengan girang. Ketika itu Farihin mendekati Mohamed perlahan- lahan dan turut duduk memeluk lutut di sebelah Mohamed. Tidak lama kemudian, selepas beberapa kali Farihin ke situ, dia mengambil keputusan untuk mengambil Mohamed sebagai anak angkat.

Agar sukar pada mulanya, kerana Farihin masih belum berkahwin,  dan Mohamed pula seorang kanak- kanak lelaki, apakah yang akan berlaku ketika Mohamed semakin meningkat dewasa nanti, bolehkah Mohamed menyentuh bersalaman dengannya, akan adakah kesukaran ketika dia perlu menutup seluruh tubuhnya nanti, adakah bakal suaminya akan menerimanya sekiranya tahu Farihin menjaga seorang anak angkat, ah, semakin difikirkan semakin rumit, akhirnya dia bertekad menghadapinya. Biarpun keputusan ini adalah keputusannya seorang, Farihin sudah tidak mampu lagi melihat Mohamed berdiam diri kesedihan dan tidak mahu berbicara dengan sesiapa pun kecuali dirinya, ketika pertama kali dia memberikan Mohamed coklat, barulah hari itu dia mendengar suara Mohamed memanggilnya 'mama'. Hancur luluh hatinya, rupa- rupanya Mohamed ingin berbicara dengannya kerana menyangka Farihin adalah ibunya.

" Nak ambil anak angkat ni tak mudah Farihin, macam- macam yang kita kena tempuh, ha itu belum belanja dia di masa depan lagi, sekolah dia, universiti dia macam mana, semua tu nak kena fikir, nanti Farihin ada anak nanti mesti lagi susah, budak- budak ni, suka membeza- bezakan, aurat dengan adik- beradik angkatnya lagi nanti, tapi jangan risau, kalau Farihin ikhlas semuanya Allah permudahkan, lagipun Farihin dah buat kan istikharah, InsyaAllah ketenangan Farihin untuk tempuhi semua ujian ni itulah petanda Allah redha dengan apa yang Farihin buat, membantu anak yatim piatu ni banyak pahalanya tau" Puan Farah berbicara panjang lebar, dia mengusap bahu Farihin lembut, menyuakan secawan Teh kepada Farihin.

"andai apapun yang berlaku di masa hadapan, saya akan jaga dia macam anak saya sendiri Puan.." setitik air jernih menitis lewat pipinya, sayu.
Jari jemari kecil Mohamed semakin erat menggenggam erat tangannya, seolah- olah mengerti, seolah-olah tidak mahu berpisah lagi, seolah- olah dialah ibunya kini. Allahu Rabbi, anak kecil teristimewa dihatinya ini, bakal dijaga dengan penuh kasih dan sayang insyaAllah.

Benarlah atas apa yang dia yakini, Allah Maha tahu akan apa yang berlaku kepada terhadap hamba-Nya, jika hingga ke umur 27 tahun ini dia masih belum berumah tangga, mungkin inilah jawapan dan hadiahnya, mungkin agak sukar untuk dia menerima Mohamed sekiranya dia telah berkahwin dan mempunyai anak- anak, Allah menyusun yang terbaik buat dirinya, cuma apapun yang terjadi selepas ini dia akan melalui dengan kuat dan perlahan- lahan.

Farihin memberhentikan kereta jauh sedikit dari kebiasaan dia memakir keretenya, ada dua buah kereta, kedua- dua kereta yang dikenalinya, kereta Nissan Almira Along, serta kereta Proton perdana  milik Farid, tunangannya kini. Biasanya Farid akan hadir kerumah bersama along jika ada hal yang ingin dibincangkan, Farihin mula tidak sedap hati, perlahan- lahan dia berjalan, dia pasti, insan- insan di  dalam rumah pasti sedang menanti dirinya.

"Assalamualaikum" perlahan dia masuk mengucapkan salam.
Ibu,  Abang long dan Farid sudah menantinya di ruang tamu, berbual- bual mesra dan terhidang sepiring kek dan sepiring pisang goreng dilengkapi air kopi, buat santapan sambil- sambil berbual, perbualan mereka terhenti,  masing- masing menjawab salam yang dihulurkan Farihin. Farid tersengih malu- malu.

" lambat anak dara balik hari ni" usik Abang long nya.
" Ada hal sikit tadi long" tangan Abang Long disambut dan dicium hormat.
"penat ke?" sambung Abang long, Farihin menggeleng kecil sambil tersenyum, dia agak segan sebenarnya, lantas dia duduk disebelah Ibu.

" Abang Long datang bawak Farid ni ada hal nak bincang, semalam Ibu ada bagitahu yang In nak ambil anak angkat ya? Dengarnya dari Palestin? Abang Long ada beritahu pada Farid pagi tadi, jadi Farid datang nak berbincang dengan In lah ni.." Lembut sahaja Abang Long nya berbasa basi, bimbang hati Farihin terguris mungkin, sedaya upaya diperhalusi ayatnya.

" erm, In nak ambil anak angkat, minta maaf in tak berbincang dengan semua, in buat keputusan sendiri dulu, sebab in bimbang semua tak setuju dengan keputusan in" Farihin masih menunduk.
" Siapa sebenarnya budak tu ya?" Farid menyoal, ini soal masa depan yang dia dan Farihin perlu berbincang sedalam- dalamnya.
" Dia kanak- kanak dari Palestin, ada satu Badan kemanusiaan yang bawa dia dengan kanak- kanak lain yang dah jadi yatim piatu ke sini, untuk dijaga dengan baik di Malaysia" terang Farihin.
"Baiklah, kalau dia jadi anak angkat Farihin, ada kemungkinan tak akan timbul masalah dari sudut undang- undang selepas ni?" 
" InsyaAllah In akan cuba selesaikan semua masalah tu sebelum dia jadi anak angkat in, ramai kawan- kawan in yang boleh bantu" Farihin memandang Abang Long, memberi keyakinan kepada semua, dia malu bertentang mata dengan Farid.
"Alhamdulillah, setakat ni saya tak ada masalah, Cuma saya agak terkilan sebab Farihin tak berbincang dengan saya sedangkan ni kan tentang masa depan kita, lagipun tinggal lagi beberapa bulan sahaja kita akan bernikah, sepatutnya Farihin tanyakan saya tentang hal ni.." Farid juga sedayanya menyusun ayat yang sesuai untuk dilontarkan, Farihin masih menunduk, seolah- olah memohon simpati.

" Baiklah, In minta maaf pada semua, tapi izinkan In untuk ambil Mohamed jadi anak angkat In ya" Farihin mengalah, dia amat berharapkan sokongan dari semua, Ibu dan Abang Long tersenyum.

" InsyaAllah Ibu akan bantu In, Ibu tahu anak ibu ni lembut hati orangnya, Cuma, sepatutnya in kena bincanglah dengan Farid dulu, takut timbul apa- apa masalah nanti ya" Ibu mengusap belakang Farihin.

" Adik Abang Long kan dah besar, kenalah dewasa sikit berfikiran, soal besar macam ni tak boleh dibuat keputusan sendiri faham" Farihin mengangguk, patuh pada nasihat abangnya nan seorang itu, bersyukur dia sedalam- dalam hati, hasrat nya di fahami, Alhamdulillah, terima kasih ya Allah..


" Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Agung. Maha suci Tuhan, segala keberkatan milik Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Aku berserah pada-Mu Tuhanku yang maha hidup dan tidak mati. Ya Allah Tuhan yang Maha Hidup, Maha kekal selama- lamanya, dengan rahmat-Mu kumohon pertolongan-Mu ya Allah, tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha suci Engkau, aku sebenarnya orang yang zalim, tiada daya dan tiada kuasa melainkan hanya pada-Mu ya Allah.." Farihin duduk berteleku di kaki sejadah, air matanya mencurah- curah, jam 4.00 pagi, dia diselimuti kedukaan yang mencengkam jiwanya, sehingga terasa sesak salur pernafasannya.

Mohamed- kini setelah hampir 8 tahun dia menjaganya, kenangan sewaktu pertama kali bertemu dengan Mohamed tetap bertahan dan segar di mindanya, dikasih dengan sepenuh jiwanya, dialah abang terbaik buat anak- anaknya yang lain seramai tiga orang, dialah pengarang jantungnya, Mohamedlah yang sering sahaja datang memanggilnya mama dan memegang tangannya dengan mengeluarkan perkataan lembut "sabarlah mama, Allah sayang mama, sebab tu Allah bagi mama penat", ah, Mohamed yang sering memujuknya ketika dia lelah jika dihinggap keletihan dan mendiam, dia bagai air sejuk yang membawa ketenangan di tengah sahara yang kering kontang.

Dan kini Mohamed harus pergi, keputusan dia dan suaminya, Dr. Farid, telah diputuskan dengan berat, walaubagaimanapun ia adalah tetap keputusan, Mohamed bakal di hantar ke Turki untuk belajar di Madrasah Tahfiz disana. Dari semalam Farihin di temani air mata, kalaulah suatu masa dahulu dia tidak mengambil Mohamed sebagai anak angkat, pastinya dia tidak perlu melalui berat dan sukarnya melepaskan Mohamed pergi setelah bertahun Mohamed tidak pernah berenggang dengannya.

" sudahlah In, dari semalam In asyik menangis, kalau macam tu kita batalkan sahajalah hasrat kita nak hantar Mohamed kesana" Farid berpaling ke belakang, mendengar sendu Farihin pun sudah mengundang pilu di hatinya, dia faham, jantung hati isterinya si Mohamed itu adalah kesayangan yang tidak betah dipisahkan, naluri ibu yang kuat didalam hati isterinya itu bukan biasa- biasa.

"tak apalah abang, kitakan dah buat keputusan semalam, ini demi kebaikan Mohamed juga, lagipun In lagi sedih bila dia dah tak boleh bersalaman dan berpelukan dengan In lagi, berbeza sangat dengan adiknya, diamnya dia dan sabarnya dia itulah yang buat in lagi menderita, In tahu dia faham dan terima dia adalah anak angkat kita, tapi in sedih sangat abang, kadang- kadang in sedih dia tak jadi anak kandung in, darah daging In sendiri" Farihin tersedu sedan, bila berbicara perihal peribadi Mohamed yang penyabar, sering sahaja dia menjadi sebak serta merta.

"Istighfar in, banyak hikmahnya bila In ambil dia jadi anak angkat kita kan, In ingatkan betapa banyak senyuman yang dia bawa pada kita, inikan demi kebaikan dia juga, In dah jadi ibu yang terbaik untuk dia, in bagi dia pendidikan yang cukup, kasih sayang yang cukup, insyaAllah ini terbaik untuk dia, lagipun nanti kita pergi melawat dia nanti ya, In jangan menangis depan dia nanti dia lagi sedih" pujuk Dr. Farid, memahami.


"Mama hantar Mohamed jauh- jauh sebab Mohamed anak angkat mama ke?" petang itu, tersentak Farihin, dia mengambil peluang makan berdua dengan Mohamed ketika adik- adiknya ke sekolah dan Dr. Farid ke tempat kerja, dia mengambil cuti, untuk menyediakan barang keperluan Mohamed persediaanya ke Turki tiga hari lagi.

"Astaghfirullah, kenapa Mohamed cakap macam tu..?" luluh hati Farihin, suapannya terhenti.

" Mohamed teringin nak tanya mama hal ni sejak pertama kali mama bagitahu mama nak hantar Mohamed pergi Turki.." Mohamed menunduk, air matanya bertakung, memang sejak awal lagi Farihin perasan Mohamed makan lambat- lambat, dan lebih diam dari kebiasaannya yang bercerita itu dan ini.

" Mohamed ingat lagi waktu Mohamed lari dari mama dengan Abi dulu?" ya, suatu ketika, Mohamed diterangkan tentang statusnya sebagai anak angkat seawall usianya 9 tahun lagi, mereka suami isteri serta ibu berbincang panjang, bagi mengelakkan apa- apa kerumitan di masa hadapan, petang itu Mohamed tiada dirumah, puas mereka mencari, Farihin apatah lagi, lemah tidak berdaya mengenangkan jika ada perkara buruk berlaku kepada Mohamed waktu itu, lewat malam mereka bertemu Mohamed di suatu taman permainan di bawah permainan gelonsor, sedang menangis teresak- esak, sebaik bertemu terus sahaja Farihin memeluk dan mendukung Mohamed dan membawanya kedalam kereta, tidak lansung melepaskan pelukan pada tubuh Mohamed yang sedia kecil itu walau sedikit, baginya waktu itu, dia tidak ingin sekalipun berpisah dengan Mohamed.

Mohamed mengangguk.

"waktu tu, mama sedih sangat, mama bisik pada Mohamed dalam kereta, mama cakap Mohamed adalah jantung mama, walaupun mama bukan mama kandung Mohamed, hati mama adalah hati Mohamed dan hati Mohamed adalah hati mama, kita tak akan melukakan hati satu sama lain, Mohamed adalah anak mama selamanya.." Mohamed masih diam.

" Mama hantar Mohamed ke Turki untuk kebaikan Mohamed, untuk Mohamed belajar pandai- pandai dan balik sebarkan ilmu disini pula, mama nak anak mama pandai, hafaz al- Quran, akhlak baik.." Farihin senyum, dia telah berjanji pada dirinya untuk tidak akan menangis di hadapan Mohamed lagi.

"Mama, kenapa mama bukan ibu kandung Mohamed?.." Mohamed mengesat air matanya dengan hujung lengan baju.

" Allah ada rahsia terbesar untuk ini sayang, insyaAllah suatu hari nanti kita akan tahu, sekarang pun Allah sudah hadiahkan hikmah yang banyak, Mohamed anak soleh mama dengan Abi, yang selalu sejukkan hati mama dengan Abi.." Farihin memujuk, pertanyaan itulah yang paling membuatnya luluh hati, soalan yang sama yang telah dia persoalkan kepada suaminya, sekali- kali bukan kerena mempertikaikan atas apa yang Allah kurniakan, tapi ia lahir dari hati yang ditelan kesedihan yang amat menyesakkan jiwa.

" Mohamed sedih sebab Mohamed tak boleh salam dan cium dahi mama lagi lepas kita solat sama-sama, macam yang adik- adik boleh buat.."


                                                                                  .....................

"Assalamualaikum, mama, Mohamed ni, mama apa khabar? Sihat ya? " Suara Mohamed dihujung talian, terbang segala rindu yang bertakung di danau hati.

" Waa'laikum salam anak mama, Alhamdulillah, mama sihat, Mohamed apa khabar? Mohamed belajar macamana?" Farihin duduk, ingin memanjangkan perbualan.

" Alhamdulillah ma, sihat, belajar okey Alhamdulillah, mama, insyaAllah Mohamed akan habis belajar dalam dua bulan lagi kan, mama nak Mohamed sambung terus master di Universiti sini atau Mohamed balik Malaysia ma, kalau disini Mohamed boleh mula cari- cari universiti dan course apa yang sesuai kan ma?"  lembut sahaja Mohamed menyusun ayat, hati mama perlu dijaga sebaik mungkin.

" Mohamed dah dua tahun ni Mohamed tak balik kan, Mohamed baliklah Malaysia dulu ya, nanti kita bincang sekali dengan Abi" balas Farihin, kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja semua anak- anaknya tinggal berdekatan dengannya.

" Baiklah ma, mama adik- adik macamana sihat ya, dah dua tahun Mohamed tak balik dan mama Abi dengan adik- adik pun tak datang Turki melawat Mohamed kan" sambung Mohamed.

"Alhamdulillah, insyaAllah minggu depan Mariam akan habis SPM, Sarah dengan Ayyash dah cuti sekarang ni, erm macam- macam lah permintaannya, adik- adik pun merungut juga ajak mama Abi ke Turki melawat Mohamed, tapi lagi dua bulan saja kan Mohamed nak balik dah, tunggu Mohamed balik kita pergi umrah sama- sama ya" sampai ke telinga senyum Farihin, tidak lama lagi mereka akan dekat kembali. Sekian lama Mohamed belajar di Turki, hampir 12 tahun lamanya, dia akan pulang ke Malaysia secara berkala, Alhamdulillah Mohamed pelajar yang luar biasa pintarnya, di Turki dia telah menyambung pelajaran dalam bidang undang- undang di Universiti Marmara Turki, dan telah lengkap 30 juzuk hafazan Al- Qurannya, bahkan dialah yang menjadi guru bagi pelajar- pelajar di Madrasah tempat dia belajar dahulu disana. Dia adalah anak istimewa yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai semangat jihad yang tinggi di bumi Palestin, dan terbangnya dia ke bumi Malaysia atas rahsia besar yang Allah simpan dalam perjalanan hidupnya, dan dia juga bakal pemimpin ummah insyaAllah, Farihin yakinkan itu.

" Mama, balik nanti ada perkara yang Mohamed nak bincangkan secara serius, mama doakan Mohamed cemerlang keputusan peperiksaan terakhir ni ya, kalau okey semuanya barulah tenang nak balik Malaysia kan ma" luah Mohamed, ada sesuatu yang terasa berat di hatinya untuk dilontarkan dalam bentuk bicara.

"herm apa yang serius sangat tu Mohamed, bagitahu sekarang lah, baru mama tenang hati nak tidur nanti, kalau tidak asyik terganggu nanti"

"ala mama, nanti Mohamed bagitahu mama ya, mama tidur lena- lena tau malam ni" Mohamed tergelak kecil, ibunya yang terbaik, dia mendekat dengan ibunya di Malaysia, jauh dibawa Allah dari Palestin untuk berada di bawah jagaan ibu terbaik di dunia ini, apakah lagi yang dia harus sedih dan sesalkan.

" Baiklah, mama tunggu, nanti telefon mama lagi ya" memang sering Farihin lah yang ternanti- nanti  dihubungi Mohamed, kerana bimbang Mohamed sibuk dan merasa bersalah kerana tidak menjawab panggilannya ketika kelas atau sebagainya.

"siapa mama, abang ke mama? nak cakap dengan abang ma" Ayyash yang berumur 10 tahun itu mendekat, Farihin mengangguk.

"Mohamed ni Ayyash nak cakap dengan Mohamed" telefon bimbit  beralih tangan.

"Assalamualaikum abang, abang balik bila, Ayyash rindu lah dengan abang" rengek Ayyash.
"waalaikumsalam Ayyash, InsyaAllah abang balik dua bulan lagi, nanti mama kata nak pergi buat umrah sekali satu family" adiknya Ayyash ini memang manja sungguh, adik bongsu yang paling rapat dengannya, kalau tiba saat Mohamed balik ke Malaysia, memang tidak berengganglah mereka, dengan adik- adiknya Mariam dan Sarah, Mohamed tidak rapat mana memandangkan mereka perempuan dan tiada pertalian darah, memang sengaja Mohamed tidak mengajar adik- adik perempuannya terlalu rapat dengannya.

"yeayy, Abang balik cepat tau, Ayyash nak ajak abang main sama- sama, main dengan kak Mariam dengan kak Sarah bosanlah abang" adu Ayyash.

"Iye.." tergelak Mohamed dibuatnya melayan keletah Ayyash.
"nah mama" talian diserahkan semula kepada Farihin.

"Okey ma, Mohamed nak pergi masjid ni, mama jangan lupakan doakan Mohamed Berjaya ya, setiap kali lepas solat mama kena doakan Mohamed, jangan lupa tau" pesan Mohamed, seperti pesan- pesannya yang lalu.

"iye, mama tak pernah lupa doakan Mohamed, insyaAllah..".

Talian ditamatkan, Farihin tersenyum bahagia, dikurniakan anak- anak yang sungguh menjadi anugerah terindah kepadanya, Allah tidak akan merugikan mereka yang sanggup menjaga anak- anak yatim piatu, bahkan keputusan Farihin berhenti kerja untuk memberikan sepenuh perhatian kepada anak- anaknya tidak pernah sia- sia. Menginjak umur ke angka hampir 45 tahun ini membuatnya semakin memberi perhatian penuh kepada pendidikan anak- anaknya kerana kadang- kadang merasa tidak cukup masa dengan usia yang semakin menginjak tua dengan cepat.


Mohamed terus ke dapur sebaik pulang dari tempat kerja, bau masakan mama menarik langkahnya bagaikan tarikan magnet.

"Assalamualaikum ma, mama masak apa tu..?" tangan mama disambut dan dahi mama dicium seperti setiap kali dia pergi dan pulang dari kerja sejak sebulan ini.

"waa'laikumsalam,ha..hari ni mama masak kari kepala ikan, kegemaran Mohamed" Farihin tersenyum lebar.

"eh mana Mariam, belum balik kelas lagi ke ma?" Mohamed memanjangkan leher melihat persekitaran yang sepi.
Telefon bimbit Mohamed serta merta berbunyi, segera diangkat, dan terangguk- angguk sehingga menamatkan talian.

"Mariam on the way lagi ma, pensyarah habiskan kelas lewat hari ni katanya" lapor Mohamed, perihal isterinya yang masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

"oh ye ke, baiklah, Mohamed dah lapar ke, nak makan dulu?" api di tungku dapur dimatikan.

"eh nantilah mama, Mohamed mandi dulu, kita tunggu semualah makan sekali ya" Farihin faham, waktu- waktu begini Mohamed akan bersiap- siap untuk ke Masjid.

"eh Sarah dengan Ayyash mana ma?"

"ada dalam bilik masing- masinglah tu, Mohamed ajak sekali Ayyash ke masjid ya nanti.." Farihin memotong bawang merah untuk menggoreng sayur kobis pula.

"Okey ma.." Mohamed senyum dan beredar.

Alhamdulillah, Maha suci Allah yang mengetahui segenap perihal baik dan buruk hamba- Nya, ya Allah sekalipun Mohamed bukan anak kandungku, sekalipun dia adalah kasturi yang yang wangiannya di akhirat berbentuk pahala seorang ibu kandung tidak dapat aku kecapi, sesungguhnya aku berusaha setakat apa yang aku mampu ya Allah, semoga aku menjadi perantaraan untuk kau melimpahkan rezeki dan kasih sayang-Mu kepadanya,  limpahan kasih sayang-Mu terhadapku dengan mengurniakan dia dalam hidupku adalah anugerah terindah yang kau kurniakan, Ya Allah aku serahkan anak perempuanku kepada Mohamed atas dasar kepercayaanku pada agama dan ilmunya dan rahmatilah pernikahan mereka, ya Allah peliharalah keluarga ini dari azab api neraka-Mu, jadikan kami suami dan isteri, ibu bapa dan anak- anak yang terbaik untuk keluarga kami, dan suburkanlah kasih sayang ini hingga ke syurga-Mu. Wahai Tuhan pemilik nyawa dan seluruh urusan kehidupan kami, berkatilah rezeki kami dan faqqihkan kami dalam ilmu agama-Mu. Amin..














Read More
Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena