"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"
(Al-Ahzaab: ayat 21)
Ayuh singkap tirai sirah junjungan, indahnya persahabatan yang terbina atas asas taqwa, yang hidup hanya untuk menyampaikan dakwah buat seisi alam, bersama-sama bertaut tangan berjuang menyampaikan risalah Islam, mustahil cemburu dan iri hati menyelinap dalam hati, semestinya inilah contoh terbaik buat kita.
Hayatilah kisah persahabatan antara Rasulullah s.a.w. dengan sahabat baginda Saidina Abu Bakar r.a., sabda Rasulullah s.a.w :
“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekalian, nescaya berat lagi keimanan Abu Bakar”
(Riwayat al-Baihaqi)
Hadis ini jelas menterjemahkan betapa kasih dan keutamaan Rasullulah s.a.w. buat sahabat baginda ini, Pemilihan Abu Bakar r.a. sebagai teman akrab baginda oleh Allah s.w.t. amatlah bertepatan sekali, memori persahabatan yang dinukilkan kedua insan mulia ini dalam sirah harus dicontohi semua manusia yang mengaku bersahabat, Rasullullah s.a.w. dan Saidina Abu bakar r.a. mulanya bersama-sama dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib, dengan akhlak mulia antara kedua yang sama-sama berjuang dalam satu misi, maka timbullah bibit-bibit kemesraan hingga tautan hati keduanya atas dasar yang sama membuatkan kesakitan satu tubuh adalah kesakitan satu tubuh yang lain, masih ingat saat baginda Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu bakar bersama menempuh kepayahan dalam peristiwa hijrah?
Maka tidak hairanlah Rasullullah meluahkan isi hatinya pada sahabat kecintaanya ini:
“ Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku dalam keluh kesah, sesungguhnya tiada siapa pun , biar apa sekali yang dilakukan buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu”
(seperti yang dinukilkan Syed Ahmad semait –sepuluh yang dijamin masuk syurga)
Mari kita hayati kisah seorang lagi sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Khubaib bin ‘Ady dimana sahabat Nabi s.a.w. yang satu ini telah dijatuhkan hukuman mati oleh kaum kafir Quraisy tanpa sebarang alasan yang kukuh. Diakhir hayatnya, Khubaib Bin ‘Ady telah meminta untuk solat dua rakaat sebelum dijatuhkan hukuman mati, lantas dibenarkan, dan selepas solat sunat dua rakaat, Khubaib berkata lagi:
“Demi Allah! Seandainya kalian tidak akan menuduhku melama-lamakan solat untuk melambat-lambatkan waktu kerana takut mati, nescaya saya akan
solat lebih banyak lagi.”
Mendengar ucapan Khubaib, pemimpin kafir Quraisy mula marah lantas berkata,
“Sukakah engkau si Muhammad menggantikan engkau, kemudian engkau kami bebaskan?”
mendengar pertanyaan itu, dengan satu kata-kata yang mantap, mampu menjelaskan betapa persahabatan yang dibina adalah jelas atas dasar Taqwa, hingga sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan sahabat tercinta.
Khubaib membalas:
“Saya tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak saya, sementara Muhammad tertusuk duri....,”
Maka selepas itu Khubaib bin ‘Ady telah dijatuhkan hukuman dengan dipakukan pada tiang salib, walaubagaimanapun, sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Khubaib sempat memanjatkan doa pada Allah:
“Ya, Allah! Hitunglah jumlah mereka! Hancurkanlah mereka semua. Jangan disisakan seorang jua pun!”
Tidak beberapa lama kemudian, Khubaib bin ‘Ady menghembuskan nafasnya yang terakhir ditiang salib.
Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahy, yang turut sama melihat peristiwa kejam itu telah merumuskan bahawa Khubaib Bin ‘Ady telah mengajarnya beberapa perkara yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini, iaitu:
Pertama, hidup yang sesungguhnya ialah hidup berakidah (beriman); kemudian berjuang mempertahankan ‘akidah itu sampai mati.
Kedua, iman yang telah terhunjam dalam di hati seorang dapat menimbulkan hal-hal yang ajaib dan luar biasa.
Ketiga, orang yang paling dicintai Khubaib ialah sahabatnya, iaitu seorang Nabi yang dikukuhkan dari langit.
Sahabatku sekalian,
inilah yang dikatakan persahabatan berteraskan redha Tuhan yang maha esa. Jika diselidiki, berapa ramai yang hidup bermusuhan, saling dengki mendengki, mengumpat tanpa henti, hingga hancur satu ikatan murni, sedangkan betapa persahabatan itu amat sukar untuk dimiliki, lihat sahaja berapa manusia terus hidup dalam sepi tanpa teman disisi. Bahkan kita yang dikurnia Allah dengan teman yang memahami cuba untuk kita khianati. Mari sama-sama kita muhasabah kembali berapa ramai sahabat yang telah kita sakiti, ayuh segera memohon maaf, moga kita sama-sama beriringan menuju ke Syurga.
Abu 'Ashim Hisyam bin Abdul Qadir Uqdah, dalam tulisannya yang bertajuk ‘ Virus-virus Ukhwah’ menukilkan bahawa :
sememangnya setiap manusia itu amat memerlukan sahabat karib kerana itu adalah antara keperluan utama hidup manusia agar mampu menempuhi ujian dan liku-liku dalam kehidupan kerana kehidupan seseorang amat tidak beerti jika hidup seorang diri tanpa teman disisi, sahabat juga diibaratkan seperti perhiasan ketika senang dan benteng ketika mengalami kedukaan kerana sesungguhnya seorang sahabat dapat membahagiakan hati, menyenangkan jiwa dan mwnghilangkan duka.
Sahabatku yang dicintai kerana Allah,
Lihatlah kembali diri kita, sejauh mana pengorbanan kita pada sahabat kita, kita mengaku bersahabat, namun jarang sekali berkorban demi kegembiraan sahabat, malah menggadaikan duit andai sahabat kekurangannya juga amat jarang kita lakukan, kita juga mengaku bersahabat, tetapi sering membawa mulut bercerita itu dan ini perihal negatif ,kita juga mengaku mempunyai sahabat, tetapi sering mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka, malah kita juga mengaku bersahabat, tetapi, susah sungguh mengungkap kata kemaafan kepada sahabat kita, adakah kita masih mahu mengaku diri kita sebagai seorang ‘sahabat’?
Dalam sebuah riwayat Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
"Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah, kecuali yang paling besar cintanya diantara keduanya adalah yang lebih mulia.”
(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad)
~ayuh kita berlumba menyayangi dan mencintai sahabat kita!
“Ukhwah yang tercipta hanya kerana mencari keredhaan Allah bagai siraman hujan yang menyiram danau kontangnya hati yang dulunya sepi tanpa aliran taqwa, yang menyeru memupuk iman dijiwa, sahabatku, temanku, kecintaanku, taut hatiku, paut jiwaku, gengam tanganku, tuntuni aku mencari arah sebenar diriku”- ns
1 comments:
Syukran atas entri ini..
ana sangat suka membaca....
Post a Comment