Beriringan ke Syurga~

Saturday, August 20, 2011

Siri menjejaki sahabat sejati-(I) : Benarkah bersahabat kerana Allah?






Salam ukhwah~


Semua orang, mudah berkata, dia punya teman terbaik, saat susah dan senang, pasti akan bersama, bahkan bicara mudah meluncurkan, bahawa dia adalah sahabat terbaikku sambil menunjuk pada sesiapa yang disenangi.


Maka, mudahnya hati akan begitu kecewa, ketika sahabat yang begitu dicintai tiba- tiba menyakiti hati, bahkan ada yang sampai bertahun- tahun tidak bertegur, disebabkan sahabat yang begitu dipercayai membuat satu kesalahan yang tidak disangka- sangka.


Benarkah wujud apa yang digambarkan orang- orang sebagai ‘ Sahabat sejati’? (baca- susah senang dihadapi bersama, saling sentiasa tegur menegur, memaafkan betapa besarpun kesalahan sahabat, dan sentiasa membimbing dan sedia dibimbing ke jalan ketaatan kepada Allah-itu maksud sahabat sejati bagi kamus hidup saya)


Dalam konteks islam, ada satu istilah yang digunakan untuk persaudaraan, iaitu ukhwah, yang bermaksud kesatuan hati, fikiran dan perasaan serta jiwa semua orang beriman kepada aqidah yang satu dan sama. Juga merupakan ikatan yang membuahkan perasaan lembut, kasih sayang serta hormat menghormati yang mendalam diantara satu sama lain dengan ikatan aqidah islamiyah.



Sebab itulah, dimanapun anda berada, di merata dunia sekalipun, bila bertemu dengan muslim diluar sana, maka anda dengan mereka adalah saudara kandung iman.


Berbalik soal ‘sahabat sejati’ sebentar tadi, maka tidak dapat dinafikan lagi, dalam menjejak seorang ‘ sahabat sejati’ yang pertama yang harus didahulukan adalah agamanya, dan masing- masing punya niat untuk bersahabat demi meningkatkan ketaatan kepada Allah, bila keduanya begitu menjaga hubungan dengan Allah, nanti serahkan urusan persahabatan kalian dengan Allah, insyaAllah DIA akan menjaganya.

NAMUN



Sejauh mana anda dan sahabat- sahabat disekeliling anda, begitu ikhlas bersahabat demi Allah.


Tak dapat dinafikan kita kadang- kadang begitu meyakini bahawa persahabatan yang kita tautkan itu sungguh kerana Allah kerana kita sama- sama dalam gerak kerja perjuangan menegakkan islam, bahkan kita jugalah yang sering menasihatinya ketika alpa dan begitulah sebaliknya, namun, sampai saat Allah menguji, terserlahlah segala yang selama ini tersembunyi, kadangkala umpat mengumpat menjadi mainan di bibir, hati panas hanya kerana melihat satu kesalahan sahabat, seolah- olah sahabat sahaja yang tidak pernah cuba untuk memahami diri anda, dan pelbagai lagi hasutan yang datang, maka saya saran pada waktu ini, kembalilah mengubati hati dengan melihat kembali tujuan asal kita bersahabat, dia bukan milik kita, dia milik Allah, ukhwah ini Allah yang anugerahkan atas fitrah diri kita yang sangat lemah. Maka perbetulkan niat bersahabat kembali dan mohonlah pada Allah agar dipelihara ukhwah suci ini.


“Jika anda mengidamkan seorang sahabat sejati, maka berusahalah menjadi sahabat sejati kepada orang lain”

Seorang tokoh pejuang islam pernah berkata bahawa beliau telah lama mengenal hidup dan kumpulan- kumpulan orang- orang bersahabat tetapi disebabkan duniawi, tetapi persahabatan itu tidak kekal kerana mereka bersatu disebabkan kesenangan dan keinginan lahiriyah dan kebendaan, maka apabila keinginan mereka telah dipenuhi maka hubungan akan menjadi renggang, dan apabila keinginan mereka tidak dipenuhi, hubungan persahabatan akan bertukar menjadi dendam. Berlainan dengan pehubungan yang dibina kerana Allah semata- mata, ia akan tetap kekal selama mana kekalnya zat Allah itu dan sesuatu yang bukan kerana Allah akan terputus dan hancur.


Rasullullah S.A.W. bersabda :

Sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim di dunia, Allah akan menyembunyikan rahsianya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong hamba-NYA selagi hamba-NYA menolong saudaranya.



Jika bersahabat kerana Allah, jagalah keaibannya dan jangan merendahkan dirinya, jika bersahabat kerana Allah, nasihatilah dia dan bersedia menerima nasihatnya, jika bersahabat kerana Allah, maafkanlah dirinya, jika mengaku bersahabat kerana Allah, terimalah kelemahan dan sikapnya, seperti dia bersedia menerima kelemahannmu, jangan pula menjaja kelemahannya pada umum.

“Sepanjang hidup aku bersungguh- sungguh menjejaki sahabat sejati, hinggalah pencarianku melenakanku”- Imam Syafiie.


Sukarnya mencari sahabat sejati yang diidami..


sama- sama muhasabah diri.moga bertemu untuk siri seterusnya : Siri menjejak sahabat sejati (II): cintai dia seperti mencintai dirimu~

0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena