Beriringan ke Syurga~

Wednesday, December 7, 2011

Ibu- Ibu Riau.





Saya kenali indonesia melalui kegigihan rakyatnya, yang sangat kuat bekerja, jika dulu di sekeliling perumahan saya adalah tapak pembinaan, sebelum tersusun bata- bata yang kukuh pada hari ini, prosesnya yang panjang adalah dari keringat buruh- buruh binaan dari Indonesia.

Kemudian saya kenal Indonesia dengan lebih dalam melalui filem- filemnya, filem dari Indonesia yang pertama saya tonton adalah ‘ada apa dengan cinta’ yang lahir di Malaysia seawal saya di usia Sekolah rendah lagi. Kemudian Filem-filem lain dalam tahun – tahun terkedepan, Bagi saya pada waktu itu bahasa Indonesia adalah bahasa melayu yang sebenar, bukan seperti Bahasa Malaysia yang sudah bercampur aduk seiring beredaran zaman, kemudian saya makin tahu, jika di Indonesia, mereka katakan bahasa Malaysia adalah bahasa melayu yang sebenar, yang kemudian- kemudian nya saya sudah tidak tahu, mungkin saya perlu lebih mengkaji soal bahasa. Yang pasti tiap kali ketika berkesempatan berbual dengan Mahasiswa Indonesia di Riau, yang saya katakan adalah ‘ saya suka sama bahasa Indonesia, bahasanya puitis’- merujuk kepada Bahasanya yang begitu tersusun.

Ibu Professor

Satu hal yang jarang kita ambil tahu adalah rakyat Indonesia juga adalah manusia yang begitu gigih belajar dan terus belajar.

Kesempatan ke Riau atas urusan rasmi (baca : bukan melancong), mewakili pelajar Selangor ke sana begitu memberikan sesuatu pengalaman yang luar biasa, meski jarak riau dan Kuala Lumpur hanya sekitar 50 minit perjalanan, perbezaan budaya amat- amat memberikan pengalaman yang baru buat saya yang baru ini pertama kalinya naik pesawat.Alhamdulillah.

Mari saya terangkan.

Seorang pegawai polis yang mengiring kami waktu itu sedang menyelesaikan S3 (PHd), bahkan sewaktu keluar dari sebuah restoran, seorang pengawal keselamatannya adalah pelajar S2 ( Ijazah Sarjana) di salah sebuah university di Indonesia. Dan rata- rata yang saya temui meski kelihatannya biasa- biasa, tapi punya gelaran Profesor.

“Hidup yang tabah, lagi- lagi kita orang perempuan”

Kata- kata seorang ‘ibu’ (Puan) ketika kami makan bersama selepas selesai sebuah majlis Konvensyen Pendidikan di sana, dan dia selesai S3 nya dengan tempoh tiga tahun setengah. Begitu bersungguh beliau berikan kata- kata semangat pada kami, oh ya, dia juga seorang professor.

Saya kurang pasti, tapi menurutnya, selesai S3 baru dia mampu menghela nafas puas, mungkin atas banyak faktor termasuk persaingan ‘berebut’ kehidupan di Indonesia yang saya kira begitu menghimpit, sebelum berpisah sekali lagi dia bisikkan “ hidup yang tabah ya nak, habiskan belajar sehingga ke S3 ya, ingat pesan ibu ya”.

Ibu Marnis

Silap saya adalah tidak berbual panjang mengenainya bidangnya, yang saya tahu dia seorang professor, ‘ibu’ yang satu ini begitu ramah tamah bermula dari ketika dia menjemput kami di Lapangan Terbang Riau hinggalah ke hari yang terakhir yang dia juga menghantar dan menunggu kami bersama suami dan anak Bongsunya yang cantik- anggi. mungkin yang membuatkan kami begitu mudah merapatinya dek kerana dia asyik memanggil kami dengan panggilan ‘ anakandaku’ berulang kali.

Bahkan jika kami ketepi untuk tidak masuk ke perbincangan ‘orang- orang besar’, Ibu Marnis akan menarik kami untuk bersama.

Waktu hampir pulang ke Malaysia, kata ibu Marnis “ nanti kalau mahu kemari lagi, nginap di rumah ibu aja, jangan di hotel lagi ya”, saya dan sahabat waktu itu tersenyum, Iya pasti!

Saya sebenarnya bukan berniat membuat karangan format laporan versi SPM, (tapi memang saya teringin nak menceritakannya satu persatu), tapi cukuplah satu dua hal yang begitu saya ingati setiap kali teringatkan Riau.

Rakyat Malaysia harus belajar dari kegigihan Rakyat Indonesia, biarpun hanya dari Makcik- makcik pencuci dari Indonesia yang jika selama ini berselisih pun kita tidak pandang, apatah lagi untuk memberi salam dengan penuh senyuman selayaknya untuk manusia.- HIDUP usah pernah merendah- rendahkan manusia lain sedang hakikat kita yang lebih rendah jika pernah kita berfikir begitu.

Saya tidak merasa lebih boleh berbual mesra dengan ramai professor dalam pelbagai bidang, tapi saya gembira melihat kerendahan diri dan hati mereka meskipun dihadapannya adalah manusia yang bukan siapa- siapa. Teringat sebuah kata- kata dari seorang sahabat.

“Sedih melihat manusia yang semakin tinggi ilmunya, semakin terlupa dia akan kejahilannya”.

Allah mohon pelihara kami dari merasa bangga dengan diri sendiri yang hakikatnya bagai tin kosong ini.

Amin Ya Rabbal A’lamin..

0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena