Beriringan ke Syurga~

Wednesday, April 11, 2012

Bahagiakan jiwamu wahai gadis.





Kata orang- orang, dalam hidup ni, kita kena ambil tahu tentang hal orang lain, hal jiran kita, hal mak ayah jiran kita, dan kawan- kawan sekeliling kita. Ya, mesti, supaya hidup, kita tak syok sendiri bahkan Rasulullah bersabda , Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat islam, maka dia bukan dikalangan mereka (hadith dalam kategori ‘lemah’ oleh al- Albani). Maka kita kena hidup bermasyarakat, beramai- ramai, berjemaah. Supaya kita menjadi kuat. Cuma, kita juga berdepan dengan masalah tidak tahan menghadapi kerenah manusia yang pelbagai bukan?

Kalau dalam filem, saya sendiri suka tengok kalau ada si heroin yang tinggal berseorangan, dalam apartment yang sederhana(tak besar sangat dan kecik sangat), balik kerja, boleh tenangkan fikiran seorang diri tanpa hiraukan apa yang terjadi di sekeliling. Kadangkala, dalam keserabutan menghadapi macam- macam masalah kat dunia ni, terpaksa berdepan dengan ramai manusia yang dirasakan tak faham mengenai diri kita, tentu sahaja, kehidupan si heroin tadi menjadi idaman.

Antara hidup bersendirian dan hidup dalam keramaian.berbalik pada keadaan yang dihidangkan, maka kadangkala kita akan suka, dan kadangkala tidak suka. Manusia memang begitu, tertakluk dalam keadaan yang dihadapi, Cuma tekanan yang mengganggu kebanyakkan manusia hari ini, ialah bilamana, dalam keadaan yang begini dan begini, dia tidak punya hak untuk membuat pilihan. Ketika dalam sedih berseorangan, dia tidak punya hak untuk duduk dalam ramai orang yang mengambil berat tentangnya, dan dalam keadaan keserabutan dalam ramai, dia seolah- oleh tidak berhak untuk menenangkan diri sendirian. Jadilah seorag manusia itu hidup dalam tekanan.termasuklah diri kita, justeru kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang diimpikan seolah- olah begitu jauh, dan makin menjauh.

Firman Allah: "Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Ar-ra'ad:28) .


Sabda Nabi s.a.w:"Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi." (Riwayat ad-Dailami)

Mustahil untuk manusia meraih ketenangan dan kebahagiaan sepanjang hidupnya, kecuali dengan satu jalan, iaitu dengan mengingati Allah dan memandu hidupnya dalam keredhaan Allah, itulah KEMENANGAN dan kemerdekaan yang sejati, ketika jiwanya tidak dipenjarakan dan bebas dalam keredhaan-Nya. Datangkanlah tips kebahagiaan yang pelbagaipun, dia tidak akan tenang kecuali dengan asas dua perkara tadi. Sebab itulah, cuba kita lihat, dalam keserabutan kerja, banyaknya tugasan, penatnya melayan kerenah manusia disekeliling, jika kita benar- benar ingin bersandar dalam keredhaan Allah sepanjang hidup kita, tentu sahaja waktu yang paling kita tunggu- tunggu ialah waktu azan berkumandang. Ambil wudhu’ dan dirikan solat, waktu itulah, terasa angin yang sangat tenang menyelinap masuk kedalam hati, meyejukkan, amat menyejukkan, dan ingin duduk tetap diatas sejadah meluahkan segala masalah kepada Allah.indah bukan? Dan perjalanan hidup selepas itu kembali teratur, sebab kita benar- benar memohon pada Allah agar dipermudahkan.lima waktu itu seakan tidak cukup dan hati rindu- rinduan ingin solat dan solat lagi.

Dan dalam sepinya hidup sendiri, ada juga jalannya. Usah disia- siakan waktu lapang. Saya ada membaca kisah tentang wanita- wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa selepas perkahwinan, tahniah, tetapi tidak ramai yang berupaya menjadi seperti mereka, pengorbanan perasaan yang dihamparkan bukan biasa- biasa, berdepan dengan kebosanan, kesepian dan kadangkala mungkin terpaksa bercakap dengan diri sendiri dihadapan cermin. Jiwanya pasti kosong, pasti! Kecuali dia bijak menggunakan masa lapangnya hanya dalam lingkup redha Tuhan. Bagaimana ya? Dia bisa menulis, mengemas, solat dan mengaji sebanyak yang dia mampu, bahkan mungkin sahaja tulisannya mampu keluar dari rumah itu dengan menjadi naskah yang paling berguna untuk manusia disekelilingnya. Asal ia berteras Redha Allah, insyaAllah Allah permudahkan, nah, dia menjadi wanita yang lebih hebat berbanding, para doktor, peguam dan teman- temannya yang memilih untuk bekerja di pejabat. Islam punya penyelesaian, Sentiasa tersedia ubat- ubat untuk hati manusia, asal manusia bijak memilih arah hidupnya.

Yang sering menggusarkan ialah bila kita terlalu berfikirkan soal orang lain, memang perlu kita 'ambil tahu' tentang urusan orang lain supaya tidak ada jiran kita yang berlapar ketika kita kenyang dan tidur nyenyak, tidak ada teman yang bersedih sedang kita bergembira sakan, cuma ada hadnya, yang mengundang tekanan seperti soal apa pendapatnya mengenai diri kita, masalah- masalah yang timbul, tentang kesalahan orang lain, mengapa seseorang sanggup melakukan begitu dan begini, bukankah itu menyusahkan? Menyesakkan dada, dan menyerabutkan pemikiran, untuk apa berfikir tentang orang yang tidak pernah berfikirpun tentang kita, satu hal lagi ialah kita sering melihat orang lain sebelum melihat diri kita, sebagai contoh, jika kita terbaca atau terdengar tentang perkara yang negatif, yang pertama keluar dari minda kita adalah, ya, seperti dia, seperti orang itu, dan seperti orang ini, sedangkan tidak pernah kita nyatakan, okey, ini kesalahan yang aku sendiri telah lakukan, maka aku harus ubahnya segera. Dan yang terjadi adalah ketidaktenangan jiwa yang kita sendiri tidak tahu puncanya. Inilah virus yang sering menghinggapi jiwa- jiwa yang sedang bersendiri. Aneh bukan? Ayuh, ketepikannya dengan mengingati Allah. Hentikan segera sebelum ianya parah!

Sendirian atau berjemaah, tentu yang terbaik adalah berjemaah, Cuma, ketika ujian Allah tiba sewaktu kita dalam jemaah, bersendiri bukan jalan terbaik, Cuma untuk seketika, cari waktu untuk bertenang dan jangan jadikan jiwa semakin parah, hapuskan perasaan yang terbuku dihati, sifat mukmin itu bukanlah yang suka memendam perasaan benci, bukan juga berendam dengan air mata yang menekan jiwa, bukan yang sebal berdendam, tapi sifat mukmin yang ikhlas dalam berjuang ialah yang sentiasa memaafkan.maafkanlah ^_^-NS

0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena