gambar hiasan |
Cahaya
cinta
Seorang artis yang
suatu saat dahulu, tidak pernah dijangkakan bahawa dia hari ini akan menjadi
lebih baik dari diri kita, setiap dari kata- kata yang terbit demi
mempertahankan keimanannya sekalipun dilihat tajam dan keras, ianya tentu lebih
baik dari diri kita yang tidak seberani itu mempertahankan hujah kebenaran yang
sering tersimpan di hati sahaja. bahkan, seorang GRO, seorang
bohsia, seorang penari jalanan, seorang pelayan di kelab- kelab mewah, entah
barangkali satu saat dia bakal menjadi manusia lebih baik, dan tentu sahaja
jika cahaya hidayah menyimbahinya, dia akan menjadi lebih baik dari diri kita,
kerana seorang yang berdosa kemudian bertaubat, dia bakal menjadi lebih dekat
dengan Allah.
Bukanlah tujuan saya
untuk mempertahankan manusia berdosa, atau menggalakkan manusia terus menerus
melakukan maksiat kerana merasakan ketikamana ‘sampai seru’ nanti mereka akan
bertaubat, tetapi ianya terbit dari diri saya yang begitu terkesan melihat
penghijrahan insan- insan yang pernah satu ketika dahulu, sekalipun tidak
terbit dimulut, mungkin sahaja lintasan hati pernah membenci mereka. Cuma saya
amat berharap lintasan hati saya itu atas bencinya saya pada dosa yang
dilakukan mereka dan bukannya kerana bencinya tubuh jasad mereka. Dan jangan
pernah lupa, kita tidak pernah bebas, tidak pernah dijamin dan tidak pernah
tahu hari esok digarisan manakah letaknya diri kita yang hina ini.
Kata ustaz saya,
jalan dakwah itu bagaikan satu landasan kereta api yang sangat panjang,
dipertengahan jalan, kita terpaksa berkongsi gerabak dengan ramai orang,
bertemu dengan sikap yang perbagai yang harus dihormati, dan kita tidak tahu
bilakah akan sampai ke perhentian terakhir yang ingin kita tuju. Ramai manusia
yang tidak tahan akan turun dari gerabak, dan ramai pula yang masih sabar
berdepan dengan manusia- manusia di sepanjang perjalanan.
Dalam hidup, kita
tidak pernah tahu dimana, dan bagaimana pengakhiran hidup kita, baik atau
buruk, syurga atau neraka, entah, siapapun tidak berani menduga. Maka ramai
manusia yang sedar diri berusaha untuk lebih dekat dengan Tuhannya, dan
menyerahkan dirinya atas perintah Allah semata- mata kerana inginkan
pengakhiran yang baik, yang namanya syurga, yang namanya dekat dengan Allah.
Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud :
“ Katakanlah (kepada orang- orang arab wahai Muhammad)” patutkah kamu hendak memberitahu Allah S.W.T tentang agama kamu dengan berkata : “Kami telah beriman?” padahal Allah S.W.T mengetahui segala yang berada di langit dan apa yang ada dibumi, dan Allah S.W.T. Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Mereka mengira mereka berbudi kepada kamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah islam (Tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka),” janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, (Bahkan kalau sah dakwaan kamu itu sekalipun maka), Allah S.W.T. jualah yang berhak membangkitkan budi-Nya kepada kamu kerana Dialah yang memimpin kamu kepada Iman (orang yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang- orang yang benar (pengakuan imannya). Sesungguhnya Allah S.W.T Maha mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan.” ( Surah Al- Hujuraat : 16 – 18 ).
Menerusi ayat ini,
Allah S.W.T. menjelaskan bahawa hidayah dan petunjuk yang dimiliki oleh
seseorang itu adalah kurniaan daripada-Nya. Ia adalah kurniaan yang sangat
berharga. Keimanan dan keislaman bukan milik kita, tapi ia adalah pilihan Allah
kepada kita, anugerah dari Allah S.W.T buat hamba yang penjadi pilihanya.
Calon idaman Syurga?
Boleh jadi yang
dipilih Allah bukan kita (Nau’zubillah) , tetapi mereka yang pernah kita lihat
dengan hati yang jengkel dan sebal, kerana merasa merekalah calon neraka dan
merasa diri kitalah calon idaman syurga.
Sesiapa yang
menginginkan syurga, dan ingin dekat dengan pencipta-Nya, maka usahanya bukan
biasa- biasa, maka jangan terlalu mudah merasa diri bebas dari dosa, dan syurga
menanti- nanti diri kita, sedangkan tiada siapa dapat meyangka pusingan bakal
berlaku bagi mereka yang terlalu bermegah- megah dengan kebaikan dirinya,
keuntungan dan pilihan Allah keatas dirinya, seolah- olah selayaknya dialah
Calon idaman syurga.
Terus meneruslah
berdoa agar kita diberi petunjuk oleh Allah sepanjang masa, bukan untuk diri
kita seorang, tetapi untuk KITA.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :
“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”
(Al- Fatihah : 6 )
Menurut Quraish
Syihab, penggunaan ‘Kami’ disini
menjelaskan dua sebab :
1. 1) Hidayah tidak cukup jika ia hanya diperolehi oleh seorang individu
sahaja tanpa melibatkan keseluruhan ahli masyarakat atau jemaah. Hidayah perlu
menyeluruh kepada semua anggota masyarakat demi menjamin dan memastikan
individu yang mendapat hidayah itu tetap berada diatas landasan yang lurus. Seseorang
yang telah mendapat hidayah sedangkan orang sekelilingnya tidak, Hidayah dan
keimanannya akan terancam.
2. 2) Hidayah yang sifatnya tidak mutlak (iaitu melalui Rasul dan pendakwah)
diperolehi hasil dari usaha sesama manusia dan ia akan menjadi asas kepada
hidayah mutlak yang datangnya daripada Allah.
Dan untuk meraih
kedua hal diatas, maka Dakwah diperlukan, Dakwah ini adalah peringkat sesama manusia
memohon hidayah mutlak dari sisi Allah S.W.T. Sudah menjadi sunnatullah, hidayah Allah S.W.T
akan diperolehi apabila wujudnya sebab yang melayakkan seseorang menerima
hidayah daripada Allah S.W.T.
Amat malang manusia
jika tidak nampak bahawa hidupnya masih bertanda soal, maka hidup diperlakukan
sesuka hati, kerana tujuan hidup tidak sebati dalam diri, dan sungguh ia harus
dibina, difahami, didalami, diamati dan diamalkan. Tidak cukup sampai tahap ada
ilmu, tapi tidak diamalkan, maka ia menjadi lompong dan sia- sia. Islam itu
dasarkan kefahaman dan amalan, diatasnya maka terhasil ketundukan, kepatuhan,
penyerahan, dan jika ianya kemerdekaan, maka ianya adalah kemerdekaan diri yang
tunduk pada Tuhan dan bebas dari nafsu dan belenggu syaitan, maka berusahalah,
moga kita selayaknya mendapat cahaya cinta dari Allah!
hiasan lagi |
Puisi Cahaya Cinta-Mu
Cahaya cinta-Mu.
Ingin kurebut
Ingin kutagih
Meski jalannya
menjerih letih
Meski durinya menoreh
pedih
Meski korbannya
menuntut mati
Langkahnya tetap
kuturuti
Cahaya cinta- Mu
Menyimbah terang dalam
gelita
Menyiram dingin dalam
sengsara
Tiada bandingan
anugerah terindah
Selain hidayah-Mu
yang berkunjung megah
Ingin kusambut dengan
Alhamdulillah
Takkan kulepas takkan
ku lerai
Meski nyawa dan jasad
bercerai
Tuhan bawaku pergi
Dari gelap yang kian
sebati
Tuhan bawa ku lari
Dari dosa yang kian
menyelubungi
Cahaya Cinta-Mu
Biar terus menutupi
Hinanya diri ini
Sebagai bukti
diakhirat nanti
Yang aku telah
kembali.
Nessasyahirah
120731
12.14 a.m.
0 comments:
Post a Comment