Beriringan ke Syurga~

Thursday, February 23, 2012

edisi ukhwah : Warna- warni persahabatan~


Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari satu tubuh”

( Surah An- Nisa’ : Ayat 1 )

Cuba kita teliti kedudukan jari- jari ciptaan Allah buat kita, sungguh, penciptaannya mengagumkan, subhanaAllah, kedudukannya tentu sahaja tidak sama panjang, tetapi yang penting, sesuatu yang kita dapat ambil dari penciptaan jari adalah keperluan diantara jari- jari tersebut diantara satu sama lain, jika satu jari terputus misalnya, maka pergerakan jari- jari lain menjadi serba serbi tidak kena.

Setiap yang diciptakan Allah semestinya untuk manusia berfikir, Alam ciptaan Allah yang maha hebat ini harus diteliti satu persatu, agar manusia tidak terus tenggelam dalam kebodohannya tidak mahu tunduk menjadi hamba kepada Allah.

Begitu halnya dengan kita selaku manusia, khalifah, dan hamba dimuka bumi ini, pelbagai taklifan yang Allah berikan kepada kita sama haknya dengan manusia sebagai makhluk yang diletakkan Allah sebagai pemakmur muka bumi, maka bertindaklah sebagai hamba, usah pernah leka.

Dalam kepala yang terletak cantik dibahagian atas badan kita kita ini, ada tersimpan sesuatu yang dinamakan sebagai otak, disitulah terletaknya aqal, sesuatu yang membezakan manusia dengan haiwan dan makhluk lain dimuka bumi.(pasti semua sudah tahu)

Sahabatku,

Pemikiran sering menjadi titik perbalahan, perbezaan, bahkan persengketaan. Ketahuilah manusia sememangnya dijadikan Allah dengan ciri setiap individu yang berbeza, tidak kiralah dari segi fizikal, intelektual, emosional dan spiritual, justeru usah dijadikan perbezaan sebagai pemula perbalahan sebaliknya mempunyai fungsi untuk menampung kekurangan kita diantara satu sama lain. Seperti mana jari jemari kita yang berbeza dari sudut ukurannya tetapi amat memerlukan antara satu sama lain.

Begitu jugalah didalam islam, kalau diperhatikan, Allah menciptakan manusia berbilang kaum, seorang manusia dari satu kaum tidak boleh bertukar masuk kedalam kaum yang lain atas sebab perbezaan kaum, kasta dan sebagainya. Tetapi jika kesatuan atas dasar keimanan yang teguh kepada Allah, maka sekalipun berbeza, keutuhan kesatuan umat islam pasti dapat dicapai kerana islam menganggap orang yang mengimani ajaran islam adalah bersaudara.

Allah S.A.W berfirman berkaitan hal ini didalam Al- Quran yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang- orang islam itu bersaudara”

( Surah Al- Hujurat : Ayat 10 )

Ramai manusia melihat, mereka yang mempunyai persamaan mudah sahaja untuk membina hubungan persahabatan yang berjaya, tetapi sebenarnya perbezaanlah yang membuatkan ukhwah menjadi semakin menarik dan tidak mudah membosankan, minat yang berbeza misalnya membuatkan kita banyak belajar sesuatu yang baru dari sahabat, pemikiran yang berbeza juga mencambahkan ilmu bahkan perbezaan perangai pula membuat kita belajar untuk menerima perbezaan secara tidak lansung, maka hadapilah perbezaan dengan positif, bersabarlah jika perbezaan mengundang persengketaan, lihatlah ia sebagai sesuatu yang lebih mengeratkan hubungan persahabatan, kerana dalam banyaknya perbezaan, pasti wujud persamaan yang menautkan ukhwah kita.

Sekarang mari kita lihat kejayaan para Salafussoleh dalam membina persahabatan dan persaudaraan yang benar- benar hanya kerana Allah semata- mata, dan diketepikan segala perbezaan dan menyatu atas nama iman.

Pernah dengar bukan kisah tentang kaum Aus dan Khazraj yang merupakan penduduk asal madinah, sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w, dua kaum ini sentiasa bermusuhan antara satu sama lain sehingga mengorbankan banyak nyawa. Peperangan Bua’th merupakan perang yang berlarutan diantara kedua- dua puak tersebut. Peperangan ini berpunca dari masalah kepimpinan kerana kedua- duanya ingin menerajui pentadbiran kota madinah dan masing- masing fanatic terhadap puak masing- masing, Rasulullah s.a.w sedar jika tidak diselesaikan permasalahan ini, pasti sukar untuk mencapai keamanan, oleh itu Rasulullah s.a.w berusaha menyatukan kedua- dua pihak tersebut dan menamakan mereka sebagai orang Ansar. Rasulullah menanamkan sifat- sifat iman kepada mereka sehingga mereka sanggup melupakan permusuhan yang berlaku sekian lama diantara mereka.

Pernah suatu ketika, ada pihak cuba mengapi- apikan sentiment perkauman sehingga menyebabkan Aus daN Khazraj berasa saling membenci diantara satu sama lain dan hampir berlaku perbalahan dan pertumpahan darah diantara mereka. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Wahai kaum muslimin, ( Takutlah kepada ) Allah! ( Takutlah kepada ) Allah! Apakah seruan jahiliyyah (muncul lagi ), sedangkan aku masih berada ditengah- tengah kalian?! Apakah setelah Allah menunjuki kalian kepada Islam, memuliakan kalian, menghapuskan cara Jahiliyyah dari kehidupan kalian, menyelamatkan kalian dari kekufuran, dan menjinakkan hati kalian, kalian kembali lagi kepada kekafiran?”

Akhirnya mereka menyedari akan tipu daya syaitan dan musuh- musuh Islam, lantas meletakkan senjata, menangis dan berpelukan diantara satu sama lain. Mereka pulang kepada baginda dengan penuh ketaatan. Dengan ukhwah, kebencian yang dilandasi semangatkan kesukuan pasti dapat dileburkan.

Lihatlah ketika bagaimana Rasulullah mempersaudarakan kaum aus dan khazraj yang bermusuhan sekian lama namun berjaya disatukan dengan islam. Bukankah perbezaan yang begitu jauh itu berjaya disatukan dengan kekuatan akidah yang utuh. Kita- sekalipun berbeza pangkat, harta, warna kulit, mahupun perangai yang sering menjadi titik perbezaan yang ketara pasti dapat disatukan jika persaudaraan itu berteraskan keikhlasan dan aqidah yang jitu. Persamaan di hati itu pasti ditemui kerana kita berbicara soal fitrah semulajadi manusia. Fitrah manusia ingin hidup ber Tuhan sebagai tempatnya bergantung harapan, fitrah manusia ingin bersahabat kerana tentu sahaja manusia tidak betah hidup bersendirian, jadi fitrah itu harus dipandu sebaiknya.

Islam adalah agama yang menuntut kesatuan umatnya, dalam islam semangat saling mengerti dan pergaulan merupakan asas dalam kehidupan pengganutnya. Justeru, islam tidak mengajar umatnya hidup mengasingkan diri dari manusia lain sepertimana islam tidak pula mengajar manusia lari dari kesukaran kehidupan.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

Solat yang dilakukan oleh dua orang dengan salah seorang diantaranya bertindak selaku imam lebih baik disisi Allah daripada solat empat kali berturut- turut. Solat yang dilakukan oleh empat orang bersama- sama lebih baik disisi Allah daripada lapan kali solat berturut- turut. Solat yang dilakukan oleh lapan orang dan yang seorang bertindak selaku imam lebih baik disisi Allah daripada solat seratus kali berturut- turut.

(Hadith Riwayat At- Thabarani)

Menurut Imam Al- Ghazali dalam kitabnya yang bertajuk ‘Akhlak seorang Muslim’ dalam Bab memilih Teman menyatakan tentang hadith ini iaitu Rasulullah S.A.W menerangkan bahawa, betapa besarnya perhatian Islam terhadap jumlah kaum muslimin yang semakin ramai dan tidak suka melihat diantara mereka yang berpecah belah.

Dunia semakin dimamah usia, hari perhitungan semakin menghampiri kita, diakhirat kelak setiap dari perbuatan kita pasti akan dihitung sepertimana yang kita yakini. Maka usahlah lagi membuang masa memanjangkan persengketaan hanya atas sebab kita merasa dirinya dan kita begitu berbeza dan jauh dari titik persamaan, kerana kita sendirilah yang harus mencari bahkan membina persamaan tersebut. Sentiasa ingat pada Rasulullah yang tidak suka melihat umatnya berpecah belah. Siapa lagi yang kita harapkan untuk memulai perubahan ini, melainkan kita sendiri yang harus bergerak setapak demi setapak, agar setiap umat islam didunia ini, suatu hari nanti bisa menjadi bangunan yang kukuh, barisan yang rapi, dan ikatan yang teguh, bukan buih- buih halus yang banyak namun tidak memberi apa- apa erti pada agama kecintaan kita ini.


_ Yeah!! blog dah update. ^ _ ^

0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena