Beriringan ke Syurga~

Saturday, March 31, 2012

Hingga ke Syurga




Hingga ke syurga

Rasulullah S.A.W. bersabda :

Allah S.W.T pada hari Kiamat berfirman :

“Dimanakah orang- orang yang memadu cinta kasih kerana keagungan-KU? Pada hari ini aku akan menaungi mereka dengan naungan-KU, pada hari dimana tiada naungan melainkan naungan-KU”

(Hadith Riwayat Muslim)

Hakikatnya, hidup kita selaku hamba dan manusia pasti akan bertemu dengan penghujung kehidupan dan bertemu semula dengan kehidupan yang baru, segala yang berlaku didunia ada garis penamatnya, dan yang tinggal hanyalah hitungan- hitungan amalan yang bakal menentukan kesyurga atau kenerakakah kita satu saat nanti. Diakhirat kelak hanya Allah yang akan menentukan kita pengakhiran yang baik mahupun buruk sebagai balasan atas setiap perbuatan amal diri kita di dunia. Dan hanya Allah yang berhak memberi naungan buat Hamba yang dicintai-NYA dihari yang tiada perlindungan selain Perlindungan-NYA.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:

“Ada tujuh macam orang yang akan dapat diberi naungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari tiada naungan melainkan naunganNya (yakni pada hari kiamat), iaitu: imam – pemimpin atau kepala – yang adil, pemuda yang membesar (sejak kecil) dalam beribadat kepada Allah Azza wa jalla, seseorang yang hatinya tergantung kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun demikian pula, seseorang Ielaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah, lalu ia berkata: “Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,” – ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang Ielaki, seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu (tidak menampak-nampakkannya), sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang ingat kepada Allah di dalam keadaan sepi lalu melelehkan airmata dari kedua matanya.” (Muttafaq ‘alaih)



Bersahabat hingga ke Syurga.

Semua manusia mengidamkan syurga, nikmat syurga yang digambarkan di dalam Al- Quran dan Hadith begitu indah sekalipun kita belum pernah melihatnya, dan seterunya Neraka digambarkan begitu azab sehingga jauh sekali kita terniat untuk menghampirinya, justeru segala amalan yang dilakukan haruslah ikhlas semata- mata kerana Allah agar hidup kita di akhirat kelak dapat bertemu dengan Allah dan para kekasihnya.

Begitu juga halnya dalam bab persahabatan. Biar kita bersahabat, hingga ke Syurga!

Disebutkan dalam buku “Bertemu Janji Allah” karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkisar tentang keadaan manusia di Padang Mahsyar nanti, bagaimana antara golongan yang akan mendapat hak istimewa di akhirat kelak ialah golongan yang menjalinkan persahabatan atas dasar cintakan Allah S.W.T.

Persahabatan yang terbina kerana Allah S.W.T dikatakan sebagai persahabatan yang melahirkan sifat terpuji dimana seseorang yang mencintai sahabatnya semata- mata kerana Allah akan lebih mendahulukan kepentingan orang lain berbanding kepentingan diri sendiri serta melupakan keburukan mereka dan mengingati kebaikannya, juga menjauhkan diri dari mengguriskan perasaan orang lain melalui kata- katanya serta perbuatannya.

Luqmanul Hakim, seorang ahli hikmah juga pernah mewasiatkan kepada anaknya :

Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata- kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat jika berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang berharga.

Justeru perbaikilah diri kita sendiri dan nasihatilah sahabat agar persahabatan yang kita bina benar- benar kerana Allah dan melahirkan sifat yang terpuji agar idaman kita untuk beriringan kesyurga direstui Allah.

Diundang menjadi Tetamu Allah

Golongan yang ikhlas menjalinkan persahabatan kerana Allah S.W.T. inilah yang akan menjadi tetamu Allah S.W.T. di akhirat kelak, dikatakan para Malaikat akan mengiringi mereka menghadap Allah S.W.T. dan mereka akan merasa sungguh bahagia kerana mendapat ucapan selamat dari Allah S.W.T yang Maha Pengasih. Golongan ini adalah golongan yang menjadi pilihan Allah S.W.T dek kerana mereka mempunyai ciri- ciri tinggi budi pekerti seperti penyayang, bertimbang rasa, Redha dengan kurniaan Allah, sabar bila ditimpa ujian, lemah lembut dalam pergaulan dan sentiasa memenuhi hajat saudaranya dan menghulurkan bantuan tanpa perlu diminta terlebih dahulu.

Dalam sebuah Hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“ Barangsiapa yang menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya semata- mata kerana mengharapkan keredhaan Allah S.W.T., maka ia akan dipanggil- panggil : “Bahagialah engkau, bahagialah jalan yang engkau tempuhi dan engkau menyiapkan tempat di dalam syurga”

(Hadith Riwayat Abu Daud )

Nah, berbahagialah atas kurniaan Allah ini diatas persahabatan yang dibina dengan tulus ikhlas tanpa mengharapkan selain dari redha-NYA, sekarang kita lihat, adakah persahabatan yang ikhlas ini hanya akan memberi nikmat di syurga buat diri kita? Atau kita akan bersama- sama dengan sahabat yang kita cintai juga di syurga yang kita idami kelak? Tentu sahaja kita ingin beriringan dengannya dalam melakukan hal ketaatan kepada Allah dan hidup sebagai kekasih Allah bersama- sama dengannya di syurga nanti(Amin

0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena