Beriringan ke Syurga~

Friday, September 11, 2009

‘Datang Bulan’- 10 Malam Akhir Ramadhan.

Moon4 Pictures, Images and Photos


Firman Allah S.W.T. :


“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al Quran) itu pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin RABB-nya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

(Surah Al –Qadr)


........................


Wanita mana yang tidak galau hati jika disaat ‘pecutan akhir ramadhan’, tiba-tiba didatangi haid, yang akan menghalangnya dari solat fardhu, terawih, tahajjud, membaca Al-quran, dan sesetengah ibadat yang lain.

Tak hairanlah jika ramainya muslimah diluar sana yang sentiasa berdoa-doa agar tidak didatangi haid diakhir Ramadhan seperti waktu sekarang.

Lebih-lebih sekali kita sering dihidangkan dengan ayat-ayat Allah dan sabda dari Rasulullah s.a.w. yang menceritakan tentang keistimewaan lailatul qadar yang menjadi idaman dihati insan-insan yang sentiasa merindukan redha dari- Nya.

Justeru, saya kupaskan disini, mengapa anda tidak perlu merasa ‘sangat kecewa’ jika didatangi haid saat-saat akhir ramadhan.

Haid adalah keadaan fisiologi yang bertindak sebagai penanda aras kesihatan wanita, ringkasnya, untungnya wanita kerana mempunyai darah haid yang tidak ada untuk kaum Adam.

Islam sebagai agama Kamil yang mengatur hidup kita sehingga Bab Haid pun diceritakan didalam Al-quran.(Al- Baqarah-222)

Kita dikhabarkan dengan pelbagai Ibadah yang dibolehkan ketika haid,


Wanita yang sedang haid boleh berzikir, bertasbih (membaca Subhanalah), bertahmid (membaca alhamdulillah), membaca Bismillah ketika makan dan sebagainya. Boleh juga membaca buku-buku hadis, fiqh (buku agama), berdoa, mengaminkan doa dan mendengar bacaan a-Qur’an.

Imam al-Bukhari telah memberi sebuah judul dalam kitab sahihnya dalam persoalan yang berkaitan dengan perkara ini (perempuan duduk atau tidur di masjid):


بَابُ نَوْمِ الْمَرْأَةِ فِى الْمَسْجِدِ

“Bab: Tidurnya Perempuan di Dalam Masjid”.

Dan berikut ini adalah hadis sahih berupa penjelasan dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha iaitu tentang seorang hamba perempuan berkulit hitam, ia menjadikan masjid sebagai tempat tinggalnya (duduk menetap) di masjid, ia bekerja sebagai pembersih masjid maka ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Sesungguhnya ada seorang hamba perempuan berkulit hitam milik salah seorang suku dari bangsa Arab, lalu dimerdekakannya, kemudian ia pun tinggal bersama mereka. Berkata ‘Aisyah: Kemudian perempuan itu datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan masuk Islam. Berkata ‘Aisyah: Dan perempuan itu mempunyai khemah (tempat tinggal) di dalam masjid (sebagai tempat penginapannya)”.

(H/R Bukhari, 439)


Tentunya perempuan (hamba berkulit hitam) yang diceritakan oleh ‘Aisyah sama seperti perempuan-perempuan yang lain, setiap bulan pasti kedatangan haid, tetapi tidak pernah ada pengecualian dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar beliau keluar dari masjid semasa beliau kedatangan haid. Ini menunjukkan bahawa perempuan yang kedatangan haid (sedang berhaid) tidak dilarang (tidak haram) masuk dan duduk di dalam masjid. Sama ada untuk belajar atau mendengar ceramah atau kulliah.


Hadis ini dikuatkan lagi dengan hadis seterusnya:

“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu beliau berkata: Bahawasanya ada seorang lelaki berkulit hitam (atau seorang perempuan berkulit hitam), yang bekerja membersihkan masjid telah meninggal, lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bertanya tentang perempuan tersebut, mereka berkata: Ia telah meninggal. Baginda bersabda: Mengapakah kamu tidak memberitahu kepadaku berkenaan kematiannya, tunjukkanlah kepadaku kuburnya. Lalu baginda pergi kekubur lelaki tersebut (atau perempuan tersebut) kemudian baginda bersolat untuknya”. (H/R Bukhari 458,460 dan 1337)


Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, bahawa hamba yang meninggal yang bekerja sebagai pembersih masjid tinggal (menetap) di dalam masjid, dia adalah seorang hamba perempuan. Oleh kerana tidak ada larangan dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untuk hamba ini tinggal (menetap lama) di dalam masjid, walhal sudah dimaklumi setiap perempuan pasti kedatangan haid disetiap bulan, namun tidak ada pengecualian dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar beliau keluar semasa kedatangan haid, malah tidak pernah ada perintah agar hamba ini keluar semasa kedatangan haid. (Lihat: Fathul Bari, syarah hadis 458. Ibn Hajar) Maka dengan kenyataan ini, amat jelas bahawa tidak ada larangan bagi perempuan yang berhadas besar dan kedatangan haid untuk duduk, belajar atau mendengar ceramah di dalam masjid.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menyuruh ‘Aisyah radiallahu ‘anha masuk ke masjid yang mana beliau sedang dalam keadaan berhaid, sedangkan baginda tahu hal keadaan ‘Aisyah sebagaimana kenyataan dari hadis sahih di bawah ini:


“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadaku: Ambilkanlah untukku sehelai sejadah (sejadah kecil untuk alas sujud). Aku berkata: Sesungguhnya aku sedang haid. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya haidmu itu bukan di tanganmu”.

(H/R Muslim, Abu Daud, Tirmizi, An-Nasaii, Ibn Majah, Ahmad dan selain mereka)

Terdapat juga pendapat yang menyatakan larangan bagi wanita untuk duduk dimasjid, walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah membuktikan bahawa semua hadis-hadis yang melarang (mengharamkan) wanita haid duduk di dalam masjid adalah dhaif/lemah.

Berdasarkan Hadis diatas, jelaslah mendengar kuliah yang sering diadakan dimasjid-masjid selepas solat terawih adalah dibenarkan, bahkan ia adalah wajib berbanding solat terawih yang hanya sunat dilakukan.

Sementara menunggu jemaah masjid yang lain menunaikan solat isyak dan terawih, eloklah sekiranya wanita yang haid menghabiskan masa dengan berzikir, membaca buku agama, membantu jemaah wanita lain yang mempunyai anak kecil dengan menjaganya, dan sebagainya.

Dan dipertengahan malamnya pula, saya saran anda bangun, basuh muka dan berzikir, lebih mudah kerana ia boleh dilakukan dengan apa posisi sekalipun, jangan hingga tertidur sudahlah.

Apa sekalipun yang Allah beri pada kita, Redhalah, kerana setiap satu itu tersirat hikmahnya, jangan jadikan Haid sebagai Alasan untuk kita bermalas-malasan, makan di hadapan kawan perempuan lain yang berpuasa, dan pelbagai perkara negatif yang lain.

Akhir kalam, mari kita panjatkan berjuta kesyukuran kerana dikurniakan iman, dan diletakkan didalam deen yang cukup-cukup lengkap ini.

Wallahua’lam.

__________________________________________________________

Rujukan:

- Al-Quran ( terjemahan).
- http://fiqh-sunnah.blogspot.com.



2 comments:

myikhwanfiideen said...

Salam ramadhan..

Syukran jaziilan.. Perkongsian yg sgt brmanfaat.. Bkn utk kaum hawa shj.. Kaum adam pun!

Baru2 nie ana pernah trbaca 1 buku yg mgupas ttg kemuliaan wanita.. Sehinggakan dlm buku itu mmberitahu, wanita jg tdk ktinggalan utk layak menerima wahyu kenabian dpd Allah swt..

If ustzh ada masa,, mohon utk dikupas dgn lbh lanjut..

Afwan.. JzKK

nessa syahirah said...

InsyaAllah, masih tercari2 masa kosong.

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena