Beriringan ke Syurga~

Tuesday, September 13, 2011

Siri menjejaki sahabat sejati(III)- Maafkanlah Teman.




Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Tidak bertambah seseorang yang memaafkan saudaranya melainkan kemuliaan”

Cintaku buat semua sahabat, moga terus thabat dan istiqamah dalam pejuangan merebut redhanya, ayuh didik jiwa menagih cinta-NYA, ayuh belai hati memujuk rindu padaNYA.

Manusia manalah yang sepi dari berbuat dosa, meskipun kadangkala kita melihat seorang manusia dengan pandang mata yang cukup sempurna, dia pasti tidak sempurna pula pada manusia lain, Cuma tinggal kita yang terkadang terlupa menilai sesuatu-KITA juga bukan manusia sempurna.

"Seorang muslim itu lebih banyak bermuhasabah diri berbanding menilai temannya"

(Imam Hassan Al-Basri)

Kesilapan yang sering berlaku dalam hubungan persahabatan adalah kita sering melihat sahabat kita bebas dari kesalahan, sehingga ketika saatnya dia menyakiti anda, putuslah segala harapan dan kemaafan itu dirasakan cukup berat untuk diungkapkan, bermuhasabahlah diri sebelum mata dan hati bencikan sesuatu dari sahabat kita.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“Janganlah kamu memutuskan sillaturahim, jangan kamu berpaling membelakangi, jangan kamu benci membenci, jangan kamu hasad dengki, jadilah kamu hamba- hamba yang bersaudara. Tidak harus seorang muslim itu tidak bertegur dengan saudaranya melebihi tiga hari”

Kembalilah bermuhasabah diri, kita bukan siapa- siapa, hanya manusia yang jika sering berusaha menjaga diri pun, Pasti akan ada sahaja hati yang disakiti meskipun kita tidak punya niat menyakiti, pasti ada sahaja jiwa yang terguris dek tingkah kita, meski dilakukan tanpa sengaja. kerana penyesalan keatas dosa sering membuatkan kita lebih dekat dengan Allah, maka diri kita tidak bebas dari kesalahan, supaya kita tidak merasa lebih mulia berbanding manusia lain, justeru mengapa masih kita mendamba sahabat yang sempurna jika diri kita sangat jauh dengan kesempurnaan?

Fudhail bin I’yyad pernah berkata :

“Jika engkau mencari sahabat tanpa cacat nescaya seumur hidupmu engkau tidak akan memperolehi sahabat”.

Maafkanlah Sahabatmu, supaya engkau yang memperolehi ketenangan, berkata Hilal bin Alak dalam syairnya.

“Ketika aku memaafkan orang lain dan aku tidak menaruh sebarang kedengkian terhadap mereka, aku telah selamat daripada sebarang kesusahan dan permusuhan “

(Seperti yang dinukilkan Imam Al- Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah )

Jauhilah perasaan dengki terhadap kelebihan sahabatmu, Menurut Imam Al- Ghazali, Pendengki itu ada tiga jenis :

Ø Bercita- cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah terus nikmat itu kepadanya.

Ø Bercita- cita supaya hilang terus nikmat tersebut meskipun ia tidak memperolehinya kerana boleh jadi ia telah memperolehi nikmat tersebut atau dia tidak menyukainya.

Ø Tidak bercita- cita hilangnya nikmat itu daripada orang lain tetapi tidak suka melihat orang itu lebih tinggi daripadanya, atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya. Orang seperti ini tidak suka kepada pembahagian yang dibuat oleh Allah.

Alangkah buruknya menjadi pendengki kepada sahabat sendiri, dengan begitu baik kita melayannya, dengan begitu manis wajah kita dihadapannya, rupa- rupanya ada sesuatu yang tersimpan dihati. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan Allah kepada kita dan bersabarlah diatas kekurangan dan ujian yang Allah berikan, usahlah terus merosakkan diri dengan menahan dihati dengki yang jika berterusan bukan sahaja membawa kepada tekanan malah membawa kepada rosaknya hubungan persahabatan. Kerana Allah telahpun membahagi- bahagikan rezeki diantara kita.

Firman Allah Taala yang bermaksud :

“ Adakah mereka , (yang berhak) membahagikan kurniaan Tuhan kamu? Kami telah membahagikan diantara mereka penghidupan mereka didunia ini.”

(Surah Az- Zukhruf : 32)

Belajarlah untuk menjadi pemaaf, supaya kita mudah untuk dimaafi ketika tiba gilirannya kita pula yang berbuat kesalahan, ego yang sering meraja kita ubatkan dengan rasa kerendahan hati atas dasar diri hanya seorang hamba, yang temannya dikurniakan Allah, bagaimana lagi harus bersyukur melainkan dengan cuba menghargai dirinya. Berlapang dadalah memaafkan.

Firman Allah S.W.T :

“ Maka maafkanlah mereka dan biarkanlah mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang- orang yang berbuat baik.”

(Surah Al- Maidah: 13)

Dan banyak lagi ayat-ayat cinta dari Allah yang bisa mengubatkan jiwa ini. Ketika hati diselubungi Amarah, jadikanlah kalam Illahi sebagai penyejuknya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Orang-orang yang menafkahkan, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (QS Ali Imran: 134)

Maka maafkanlah dengan cara yang baik. (QS Al-Hijr: 85)

Ada yang menyatakan, bebicara soal memaafkan memang mudah, namun ketika hati diuji dengan perbuatan- perbuatan sahabat yang menyakitkan, ketika itulah hati begitu berat untuk memaafkan. Perasaan ego menghulurkan kata maaf sering meraja didalam hati, dan syaitan pun mula bersorak riang melihat dua sahabat bersengketa seolah- olah tiada lagi ruang membaik pulih hubungan. Ada pula yang berpandangan, tunggu hati benar- benar memaafkan barulah mulut bersedia mengungkapkan kata maaf, tetapi bagi diri saya, ucapan maaf itulah yang sebenarnya yang menyejukkan hati, meski hati sedang panas, cubalah berkata “ maafkan saya”, nanti ketika sahabat tersenyum kepada kita atas kerendahan hati kita yang sudi memohon maaf terlebih dahulu, itulah sebenarnya yang menyejukan hati. Ya, senyumannyalah yang sering menyejukkan hati kita, bagai siraman air dingin ketika kemarau melanda.

Usahlah dipanjang- panjangkan lagi persengketaan kerana ia benar- benar membuang masa, yang lebih merugikan ketika ia menjadi penghalang atas gerak kerja perjuangan menegakkan islam.

Kerja dakwah itu sangat banyak, perlu diagih- agihkan, dan kesatuan jiwa dan fikiranlah yang sering menguatkan, bayangkan jika ia dirosakkan dengan persengketaan, bukankah akan membantutkan perjalanan dakwah?

Sebagai contoh, anda dikhendaki menjalankan usrah di rumah seorang sahabat, setelah perancangan dibuat dengan teliti, dan persetujuan dibuat, maka anda dan sahabat- sahabat lain pun berusrah disana, namun didalam usrah tersebut ada dua jiwa yang sedang bersengketa, bukankah usrah tidak mencapai maksudnya bilamana konsep At-tafahum, rukun kedua usrah, diabaikan, iaitu bersefahaman, saling nasihat menasihati antara sahabat dan beramal bersama- sama. Dan mengenepikan rukun usrah yang ketiga iaitu At- Takaful, iaitu pancaran pekerti yang lahir dari keimanan dan merupakan intisari ukhwah yang murni, apa yang saya ingin kaitkan adalah, ketika perjalanan dakwah di lapangan diagihkan seperti anda dikhendaki mengadakan sebuah program islami untuk para remaja wanita di kawasan sekitar anda misalannya, dan anda dikhendaki bekerjasama dengan sahabat anda yang sedang bersengketa itu, dan dia bermati- matian menolak untuk bekerjasama dengan anda, atas ego diri yang sedang meraja. nah, bukankah itu membantutkan perjalanan dakwah dan begitu menyusahkan? Sedangkan perjalanan dakwah amat- amat memerlukan kesatuan agar ianya dapat berjalan dengan lancar.

Seorang penyair berkata :

Jangan terlalu banyak menyalahkan

Kerana waktu kita sangat sempit

Suasana terkadang tenang

Namun terkadang juga bergelojak

Aku tidak pernah menangisi atau kecewa

Atas pasang surut sikapnya

Hanya aku betul- betul menangis

Ketika ia pergi tak kembali

Ukhwah mengikat begitu banyak manusia

Jika mereka sudah bersatu

Tak terasa waktu yang berlalu

Barangkali sisa hidup kita terlalu pendek

Buat apa kita saling menyalahkan

Tanpa mengenal waktu?

Berhati- hatilah ketika mendengar kesalahan sahabatmu dari orang lain, malangnya jika dengan sekali tuduhan sahaja sudah menyebabkan pertelingkahan, tahukah anda, begitu ramai manusia yang berhati dengki diluar sana atas keakraban anda dan teman anda. Sedangkan anda tidakpun melihat kesalahannya dengan mata sendiri. Bukankah itu merugikan?

Dan jika memang benar anda melihatnya sendiri pun, tanyakan dahulu kepadanya, atas alasan apa dia melakukannya, supaya persahabatan tidak dirosakkan dengan apa- apa hal yang tidak jelas.

Malangnya apa yang berlaku kini adalah seorang sahabat itu sering sahaja mencari bukti- bukti kukuh yang lebih menguatkan prasangkanya, bukannya mencari hujah menolaknya, begitukah adab bersahabat?

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

“ Hai orang- orang yang beriman, jauhilah daripada kebanyakkan prasangka, kerana sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari- cari kesalahan orang lain”

(Al- Hujurat : 12)

Sebagai orang mukmin kita tidak dituntut untuk menyelidikan niat buruk dan tingkah buruk sahabat kita, sebaliknya yang seharusnya kita usahakan adalah mencari- cari jalan untuk menjadikan perbuatan sahabat kita itu sesuatu yang baik kecuali dalam hal yang nyata keburukannya.

Ibnul- Mubarak menyatakan :

“ Orang mukmin sentiasa mencari- cari alasan agar boleh memaafkan, manakala orang munafik sering mencari- cari kesalahan”

Kembalilah menyoal diri kita, sepanjang bersahabat, terlalu banyak agaknya kita berprasangka buruk dengan sahabat, mungkin kerana itulah perhubungan ini sukar untuk menggapai kemanisan- kemanisan ukhwah yang kita sering dengar dan baca dalam lipatan sirah. Belajarlah memaafkan apa sahaja kesalahan sahabatmu, dengan kerendahan hati, mengalahlah untuk memohon maaf apatah lagi memaafkan, agar persahabatan dihiasi taqwa dan kemanisah ukhwah yang tidak terkira kelazatannya.

Maafkan temanmu, jika dihati punya iman, ayuh ketepikan permusuhan, kita bina kekuatan persahabatan, bersama harungi mehnah kehidupan, seiring kita jalani perjuangan, dibawa Redha Tuhan, agar disyurga kita bersama dalam kebahagiaan~

2 comments:

imtiaz sofea.blogspot.com said...

menarik sajak tu..err ke syair?hehe

nessa syahirah said...

amboiii.igt tak tahu ke ko bace tang syair jeh!huhu

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena