Beriringan ke Syurga~

Tuesday, October 11, 2011

Mutiara buat Teman



Tidak semua diantara kita dikurniakan dengan keluarga yang begitu membahagiakan, terkadang ada diantara sahabat- sahabat diuji dengan pincangnya hubungan kekeluargaan mereka , maka yang selalunya menjadi tumpuan adalah teman terdekat, yang dirasakan sebagai satu- satunya insan yang begitu memahami, begitu halnya yang sering terjadi kepada anak- anak remaja masa kini, jika tersilap memilih teman, kesan buruknya pasti berpanjangan, Iman dan akhlak menjadi taruhan.

Rebutlah mereka, berikan cinta dan sebarkan bahagia.

Saya punya teman yang solehah, namun diuji dengan masalah keluarga yang begitu menganggu emosinya, sebagai sahabat, kita tidak mampu masuk jauh kedalam masalahnya, sekadar mampu menasihati yang saya tahu.

Walaupun dia sering mendiam, saya yakin, sikap ambil berat padanya sudah cukup memadai untuk dia merasakan dia masih diperlukan setelah keluarganya mengenepikannya, mungkin juga mampu mengubat hatinya walaupun sedikit, saya tahu dari tindakbalasnya yang sudah mula ingin bercerita tentang masalahnya, sedikit demi sedikit.

Seorang penyair mengalunkan sebuah syair yang begitu membina, seperti yang dicatatkan oleh Dr Aidh Abdullah Al-qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’.

Sahabatku,

Demi Allah,

Tidak ada satu musibah pun yang kekal dalam hidup ini

Bagaimanapun beratnya

Jika suatu ketika ia menimpa

Janganlah anda merasa tak berdaya kerananya

Jangan pula banyak mengeluh

Kerana ia pasti akan lenyap,

Betapa banyak orang terhormat

Yang dulunya sering tertimpa musibah

Namun ia tabah

Sampai musibah itu lenyap

Dan meninggalkannya.

Mutiara buat teman

Tidak dapat dinafikan ketulusan yang lahir dari keikhlasan itu mampu membuat kita bahagia apabila bertemu dengan sahabat, dan kebahagiaan yang diperlihatkan boleh memindahkan kebahagiaan itu kepada orang lain pula, begitu juga dengan senyuman dan keceriaan, yang mampu mendekatkan hati dan menumbuhkan kasih kita pada sahabat.

Kerana itulah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Jangan meremehkan kebaikan dalam bentuk apapun, walau hanya dengan menampakkan keceriaan ketika berjumpa dengan saudaramu”.

Nasihatkanlah temanmu, meskipun kata- kata itu bukan dari kita, kerana walau tidak ketika itu, saat kita memerlukannya ia terasa begitu istimewa, saya sendiri selalu saja membelek kembali mutiara kata yang dihadiahkan sahabat- sahabat melalui mesej di telefon bimbit. Hairan kadangkala, sedang hati diruntun hiba, tiba- tiba ada pula mesej mutiara kata yang baru diterima, dan membuatkan saya mula tersenyum kembali.

Hidup manusia punya rezeki yang berbeza, kelebihan yang berbeza malah kelemahan yang berbeza, hikmahnya kita punya Sahabat yang akan sudi menampung kelemahan kita dan kita pula yang akan mengisi kelemahannya, pokoknya dihati, hapuskan dengki, maka berhasillah membentuk jiwa yang bahagia, dan pinjamkan bahagia itu buat sahabatmu, agar kebahagiaan mengisi dunianya.

Siapa sangka ujian buat teman juga mungkin ujian Allah untuk melihat sejauh mana pembuktian atas pengakuan kita yang kononnya bersahabat kerana Allah, maka pinjamkanlah bahu anda untuk dia menangis, jika dia sudah mahu menceritakan semua masalahnya kepada kita beerti, dia sudah mempercayai kita sebagai sahabatnya.

Hulurkan bantuan semampumu dengan ikhlas, hanya kerana Allah semata- mata, bukan kerana kita ingin pula dia membantu kita sewaktu kita pula ditimpa musibah.

Ketika sahabat mempunyai hak untuk menceritakan masalahnya dan mendengar pula masalahmu, tentu sahaja dia merasa bahagia bila kita cuba untuk menyelesaikan masalahnya semampu yang mungkin, seolah- olah beban yang begitu berat telah dibahagi dua, maka menjadi semakin ringan. Tidak kiralah jika ia bantuan berbentuk kewangan meskipun hanya sekadar bantuan memberi kata- kata peransang yang menguatkan kembali jiwanya.

Abu Hayyan bercerita : pada suatu hari Abu Sai’d as-Sirafi melantunkan puisi yang diterimanya dari Qudamah bin jaafar al- Katib. Qudamah sendiri menukilkannya dari seorang penyair.

Aku bersahabat dengan para pemuda

Yang teguh dengan kesetiaannya

Mereka bertambah cinta

Ketika mendengar keluhan penderitaan sahabatnya

Jika ia benar

Mereka mengharap kebaikan sebagai hasilnya

Jika ia dusta

Mereka menelannya

Agar tidak tersebar dimana- mana.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling bermanfaat kepada orang lain, dan perbuatan yang paling dicintai oleh Allah adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada seorang muslim, atau menolong sebahagian kesusahannya, atau melunasi hutangnya, atau menghilangkan laparnya. Beriringan dengan seorang sahabat dengan tujuan mencukupi keperluannya adalah lebih kusukai daripada beri’tikaf didalam Masjid ini (Masjid Nabawi) selama satu bulan penuh”

Sebarkan bahagia yang Allah anugerahkan padamu, dalam senang, kita menjemputnya masuk merasai sekali kebahagiaan kita, dan dalam kesusahan, salinglah berkongsi dengannya, kerana itu juga hak persahabatanmu, merasai susah dan senang bersama.

0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena