Beriringan ke Syurga~

Wednesday, February 12, 2014

Sejenis CINTA yang tak perlu pun kau perjuangkan.



Awal pagi sampai ke Office, sampai- sampai haruman bunga dalam jambangan sudah menerpa menusuk hidung, wangi, sambutan harumannya yang menceriakan pagi saya, di hujung kaki lima tingkat 17 itu ada bunga- bunga yang cantik dalam jambangan tersusun rapi, agak luar biasa kerana belum pernah terjadi lagi, kedai bunga ekslusif yang terletak selang dua premis sudah kelam kabut di awal pagi, petanda banyak tempahan, masuk- masuk ke firma,  saya diterangkan rakan, kepelikan saya terjawab, oh..rupa- rupanya sambutan hari valentine sudah tiba, auntie kedai bunga kata tempahan banyak sempena valentine.baiklah- baiklah..

Baru dua tiga hari ini saya terfikir, masih adakah orang yang nak sambut valentine? Maksud saya orang islam, sebab kan dah berada di zaman serba canggih kononnya, bukankah sudah tersebar poster- poster melarang sambutannya, dan fatwa yang disebarkan lewat laman sosial yang mencegah sambutannya, oh..kerana dah cinta ya, tapi itu memalukan, kalau tidak malu sama Tuhan, malu pada manusia, kerana seolah- olah ketinggalan zaman. Positiflah, mungkin tidak tahu, mungkin.

Saya hampir menangis kerana membaca kes perceraian, kes perebutan anak, kes skandal, dan bermacam- macam lagi kes ketika menyiapkan tugasan, begitu ditegur dengan keagungan Allah, kalau kau tak melalui cinta yang mengikut acuan syariat, nah, kau perlu tahu yang hari ini mungkin Allah letak cinta itu dalam hati kau, cinta secintanya, dan esok juga Allah boleh hilangkan sekelip mata sahaja dan gantikan dengan perasaan benci sebencinya. Nak melawan?

Jangan kata kita boleh pertahankan cinta kita dengan megah hingga ke akhir hayat sebab bila- bila pun Allah boleh hilangkan perasaan tu, sebab itulah cinta di sekeping hati itu harus disandarkan kepada Allah, memohon Allah yang menjaganya, tidak kiranya cinta kepada sesiapa makhlukpun. Kalau Allah redha, Allah yang memudahkan kita memaafkan ketika berkonflik, Allah yang mengendurkan marah ketika terlalu marah, dan Allah yang lenyapkan benci ketika masalah tiba dan menggantikan dengan cinta, Allah yang mensejukkan hati ketika panas membara, semuanya dari Allah, asal kita mahu bergantung dengan Allah, tapi kerana diri kita yang degil, masalah yang tiba terasa tidak ada jalan keluar, perceraian bukanlah sejenis jalan keluar, kalau sekalipun ia memang jalan, ia adalah jalan terakhir, minta maaf, sudah tentu saya belum berkahwin buat masa ini, tapi akhir- akhir ini saya belajar untuk melihat dengan dalam- dalam dari pemerhatian dan pembacaan, pengalaman orang sekeliling juga boleh jadi pengajaran yang sangat berharga buat kita.

Saya yakin, inilah yang dirasai oleh setiap orang yang mula berkerja, doktor memulakan alam pekerjaannya dengan hati yang mudah sayang pada sesetengah pesakit sehingga apabila pesakit mati dia sedih tak terkata, seorang guru, mudah sangat jatuh kasih dengan sebahagian pelajar dan tidak seperti itu pada pelajar yang lain, diawal dia memulakan pekerjaannya, kerana itulah saya terlalu emosi kerana masih baru ingin melangkah kecita, terlalu sayang ikatan sebuah perkahwinan, apabila ingin menuntut hak semasa dalam perkahwinan, semua keburukan dikeluarkan sehingga tidak ada lagi pengertian kemaafan, sedikitpun tidak ada, yang ada semuanya keburukan, Maha Agung Allah yang memegang hati hamba-Nya, setiap perasaan juga adalah milik-Nya. Setiap yang berlaku di masa hadapan kita sedikitpun tidak tahu. Kadang tersasar sangat jauh dari apa yang diharapkan.

Cinta adalah Pejuangan?

Atas merasakan cinta adalah perjuangan, maka ramai orang tersalah memperjuangkan cinta pada makhluk, siapa dapat menghalang, jika sebuah cinta hadir kepada perasaan, suami kepada orang lain boleh jadi jatuh cinta kepada isteri orang lain, Nauzubillah. Cinta sering dianggap mulia, asal saja tidak masuk kelembah penzinaan, maka dianggap cinta kau adalah suci, cinta yang benar. Sekalipun jatuh cinta pada mak orang, suami orang atau tunangan orang lain, ia tetap suci. Maka harus diperjuangkan, sekalipun tinggal 16 hari orang itu akan berkahwin dengan orang lain, harus tetap diperjuangkan asal kau dapat berkahwin dengannya, kerana merasa cinta kau lebih suci dan lebih sejati. Maka al-hasil, dia tidak jadi berkahwin, habis rosak persiapan, saudara mara sudah datang dari kampung, semua terkesima, tidak jadi kahwin setelah persiapan disiapkan, kerana pengantin lelaki ada cinta lain yang lebih suci lebih sejati. Semoga, kita semua dipelihara dari kisah rumit ini, dijauhkan sejauh- jauhnya, andai melalui atau sedang melalui, kita kuat untuk menghadapinya.

Cinta memang perjuangan, dasar perjuangan juga harus atas dasar kebenaran, berjuanglah kerana cinta yang dibenarkan, mintalah pandangan dan nasihat dari orang sekeliling kerana cinta itu benar- benar menawan hati manusia yang terlibat dengannya dan dipenjarakan, matanya dibutakan sehingga di hanya nampak cintanya adalah kebenaran.

Kahwin lari?

Berfikir sedalam- dalamnya, jika lari dari perkahwinan yang diaturkan keluarga kerana ada yang lebih dicintai dan disayangi, bertanyalah kedasar hati, siapa yang lebih soleh dan solehah, kalau memang perkahwinan yang diaturkan keluarga menghantar kita terus ke neraka dunia, bakal berkahwin dengan penagih dadah, peminum arak tegar yang tidak ada terkutik sedikitpun perasaanya untuk berubah, larilah jauh- jauh, kerana itulah perjuangan untuk menuju cinta yang lebih baik dan diredhai Allah, tetapi jika kita berdepan dengan perkahwinan diaturkan keluarga untuk menyelamatkan kita dari seseorang yang tidak berkenan di hati ibu bapa kerana akhlaknya, kerana tahu siapa sebenarnya dia, maka ubatkanlah hati dan bersabarlah, sedikit masa lagi, perasaan cinta kepada orang lain itu  akan berpindah kepada orang yang akan kita kahwini, kerana hati itu milik Allah, Allah yang meletakkan perasaan itu, jika tidak ada, masih tidak ada, berdoalah supaya ia lekas hadir, kerana kita menerima perkahwinan itu untuk mencari redha Allah juga, mana mungkin seseorang yang ingin menuju cinta Allah akan diabaikan DIA.

Ketika watak Abdullah Azzam menasihati Fadhil untuk TIDAK memperjuangkan cintanya yang dalam kepada Tiara didalam filem ketika cinta bertasbih, kerana keluarga Tiara sudah datang ke mesir dan segala persiapan pernikahan sedang dilakukan, saya sedar filem yang menggambarkan watak hero dan heroin memperjuangkan  cinta mereka sudah sangat banyak, sehingga begitu mempengaruhi, sehingga ramai orang melihat memperjuangkan cinta itu adalah kebenaran, sedangkan tidak semua cinta harus diperjuangkan, ada yang terjatuh cinta pada seseorang yang tidak sepatutnya, jauhilah dia jauh- jauh, kerana ia akan merosakkan diri, hubungan dengan keluarga bahkan sebuah ikatan perkahwinan atau pertunangan, syaitan sentiasa menari- nari memintamu memperjuangkan cinta yang kononnya cinta suci yang lahir benar- benar dari hati itu, sedangkan jambatan untuk merosakkan dirimu sedang dibina satu persatu, batu- batanya disusun dengan begitu berstrategi sehingga saat ia akan dirosakkan, ia bakal diruntuhkan dengan sekali air yang lalu, lenyap segala kisah yang sudah susah payah dibina dengan kesabaran dengan keteguhan hati. Lenyap sama sekali.

Setia dan hormat

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud) :

"Wahai orang- orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakan perjanjian"
(Al- Maidah : 1)

Al- alusi dalam tafsir Ruhul maani membahagikan janji kepada tiga bahagian, iaitu janji dengan Allah, janji dengan diri sendiri dan janji dengan manusia dan sebagai seorang yang beriman janji ini mesti dipatuhi.

Bukankah dalam konteks ini, janji kita dengan manusia, dengan pasangan yang telah kita janji untuk mempertahankan perkahwinan, dengan keluarga dia yang telah kita bina hubungan, dengan ibu bapa kita, dengan semua yang terlibat dalam perjanjian itu wajib ditepati? sekalipun hanya sebuah pertunangan, sekalipun pertunangan hanya sekadar janji untuk mengadakan perkahwinan (masih belum berkahwin), permungkiri janji ini juga turut diangkap akhlak yang keji dan dibenci Allah (jika atas alasan yang tidak munasabah apatah lagi memutuskan tanpa alasan tidak semena- mena), Allah berfirman didalam Surah Al- Isra' ayat ke 24 yang bermaksud :

"…dan sempurnakanlah perjanjian ( dengan Allah dan dengan manusia).."

Didalam surah as-Saff ayat 3, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

"Amat besar kebencian disisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukan"

Sekalipun kita bukanlah yang terlibat dalam perjanjian tersebut, jangan sekali- kali kita menjadi watak yang mematahkan perjanjian itu dari luar. Atas alasan cinta suci kita. Tentulah saya tidak layak berbicara tentang kesetiaan, tapi saya tetap ingin menulis ini. Kesetiaan adalah sangat sukar, kerana perasaan lain akan hadir bila- bila masa, berapa ramai orang yang tidak mahu berkomitmen dengan sebarang hubungan.

kerana itulah perlunya wujud hormat, supaya kita merasa takut untuk melukakan kerana terlalu hormat, hormat hanya boleh dibina dengan tunduk kepada Allah, kerana orang yang dekat dengan Allah akan dihormati kerana dia juga akan berakhlak baik, justeru pandulah cinta kepada Allah kerana kita sendiri tidak mampu menjaganya sendiri. Saya melihat ini dalam keluarga saya yang diajar untuk menghormati satu sama lain, saya melihat ini dalam orang sekeliling saya, maka saya tahu dan belajar, jika kita tidak mahu orang kesayangan kita, keluarga kita melalui perkara yang sama, maka jauhilah diri kita dari melakukan sesuatu yang tidak baik, jauhi dari jatuh cinta kepada orang yang tidak sepatutnya, tidak kepada hak orang lain, kerana dalam kebanyakkan cinta, sebahagiannya tidak harus diperjuangkan, jangan terlalu berdrama, kerana banyak perasaan yang harus kita jaga, banyak nama baik yang harus kita pertahankan, banyak perkara yang harus difikirkan sedalam- dalamnya.

Tahniah kepada yang menganjurkan kempen katakan tidak pada sambutan hari valentine, saya harap sudah tidak ramai yang menyambutnya kerana ramai sudah up to date dan meninggalkan sambutan yang out dated ini, memalukan kerana ketinggalan zaman.hehe.

Maafkan kerana emosi, biasalah budak baru nak kenal kehidupan, baru buka fail kes, selama ini baca di jurnal hukum sahaja tak Nampak ekstream, sekarang baru tahu. Maafkan saya jika menulis terkadang tak lihat diri, maafkan kerana saya sendiri tidak tahu apa yang Allah susun dimasa hadapan saya. Sama- sama doakan kebaikan kita dan orang sekeliling kita. Semoga Allah ampunkan kita. Amin..



0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena