Beriringan ke Syurga~

Saturday, November 14, 2009

Menanti Hanan ~siri lapan

Melati Pictures, Images and Photos


8
Melati Putih~


Hening malam menenangkan Melati, dia berdiri di beranda bilik utama di tingkat dua, bilik Arwah Ummi dan Abah, angin sepoi – sepoi bahasa menyapa lembut wajahnya, sejuk, digosok lengannya lembut, tudung turki yang dipakainya menari mengikut rentak angin, sesekali Melati menarik tudung yang hampir melurut kedepan, Melati melepas keluh, kemudian duduk di bangku kayu jati di hujung beranda, jalan dihadapannya sunyi, lampu- lampu rumah disekitarnya mula padam satu persatu, petanda malam kian menebar penuh selimutnya, 12.30 a.m., sekilas dipandang jam tangan yang sentiasa melekat di pergelangan tangan kanannya, hadiah Ummi, mana mungkin dia persiakan.

Dipandang lama komputer riba dihadapannya, sekian lama blognya sepi, lepas magrib tadi dia terima mesej dari Hani,

“Hani rindu Mutiara berhikmah yang sentiasa menyeri Blog Melati, Up-date ye, biar sakit rindu itu punya ubatnya.”


Demi Allah Melati lebih merindukan mereka, namun entah mana mahu dicari kekuatan, dia kembali membaca post- postnya yang terdahulu, setiap satu pasti tidak tertinggal perkataan Ummi dan Abah, baik mohon doa mahupun mohon nasihat, nukilan Ummi dan Abah yang sentiasa menyeri kotak komennya begitu mencarik-carik hatinya, setiap pendapat yang diutarakannya mengenai sesuatu isu pasti diberi tindak balas Arwah Abah mahupun Ummi.

Ya Allah, benarkah sesukar ini menghadapi kenyataan?, tiada apa pun yang kuharapkan kini melainkan mohon engkau berikan kekuatan untuk mengenal erti REDHA.
Melati jadi ingat pada pesan Fateh siang tadi, Kalau angah tengok Kak Long nangis lagi siaplah, Melati senyum, Fateh..Fateh..
Melati cuba mencipta kekuatan, ditekan satu persatu kotak-kotak kecil di papan kekunci komputer ribanya, nasyid Ummi dari Sammi yusuf meneman hatinya malam itu.

Mana Ummi? Mana Abah? Aku jadi pinar, Mindaku hampir tidak berfungsi, Entah aku harus menyusun tindak yang bagaimana.Pundakku jadi begitu berat.Yang dulu aku serah penuh pada Ummi dan Abah.

Mana Ummi? Mana Abah?Aku ingin kuat , Namun aku jadi takut , Aku ingin tenang, Namun aku jadi serabut. Aku ingin menang, Namun aku tewas, Dengan emosi bingung dan makin membingung,Bermain dengan ribu duka, Aku ingin Ummi, Aku ingin Abah.
Mana Ummi mana Abah? Aku ingin pujukan Ummi, Aku ingin semangat dari Abah, sampai bila aku harus berdepan dengan haru biru yang iri pada jiwa yang sentiasa cintakan perjuangan dulu, yang tidak mudah tewas dengan tohmah yang sentiasa menjadi hidangan sehari-hari dulu, yang kuat dulu, yang tenang meski duji badai dahsyat, ya, yang dulu, mana?

Mana Ummi mana Abah, ingin usap ubun-ubunku saat aku minta diri untuk tidur, yang memelukku erat saat ingin berpisah yang sementara dahulu, yang hangat tangannya sentiasa menemaniku saat aku damba kekuatan,mana?

Mana Ummi?

Mana Abah?

Aku tidak mahu jasad Ummi dan Abah,
Aku ingin kekuatan mereka,
Yang akan aku bina dengan jasadku sendiri.
sampai nanti aku bertemu Ummi dan Abah.


Melati men ‘upload’ gambar mereka sekeluarga waktu syawal yang lepas, kemudian menekan butang ‘Publish’, jiwanya terasa ringan, ya, penulisan adalah kekuatannya, motivasi yang tersembunyi dalam tiap bait-bait yang kadang dilihat bagai sampah untuk sesetengah pihak, baginya, penulisan itu hanya akan difahami penulisnya, tidak pembacanya yang mampu memberi persepsi pelbagai meskipun persepsi yang berteman emosi.

Segera dihantar mesej pada Ummu Hani,

“Sakit rindu sudah ada Ubatnya..”
Melati mengukir senyum Indah~

Prang!!Prang!!

Senyum mati.

Darah menyerbu wajah Melati, hatinya menggila tidak keruan, Melati bingkas bangun.
Itu bukan bunyi yang biasa-biasa, itu bunyi undang bencana, Melati bergegas berlari ketingkat bawah, Aisyah sudah menangis terjaga dari tidur, Fateh dan Makandak dengan wajah pucat berdiri didepan pintu bilik masing-masing.

“Apa tu Kak Long?”

“entah, Kak Long tak berani lagi tengok keluar” tangan Melati menggigil, Melati bergegas mendapatkan Aisyah dibiliknya.
Fateh perlahan-lahan menapak kedepan pintu kaca, diselak langsir takut-takut.

“ Kak Long darah, darah banyak!” Fateh tiba-tiba menjerit kuat, Melati jadi lembik, lututnya longgar, bencana apa ini.

“ angah, jangan keluar, ni mungkin perangkap!” Makandak menghalang Fateh yang ingin menapak keluar mencari jawapan bagi apa yang berlaku.

“telefon polis, cepat!” Makandak mengarah Melati yang hanya terduduk memeluk Aisyah.
Terketar-ketar Melati mengangkat ganggang telefon.

“Kak Long rasa kita ikut cadangan Makandak, kita ikut Makandak balik kampung.” Fateh terdiam sebentar.

“ Kak Long, Kita dah ada dalam kawalan polis, polis dah janji nak jaga kita, kita tinggal kat rumah ye.” Suara Fateh mengendur.

“Angah, ini bukan soal jaga atau tak jaga, ini soal kita, hidup mati kita, kita dah jadi buruan orang yang nak kita mati, Angah faham tak!” Melati menjadi terlalu emosi dengan apa yang berlaku.

“tapi Kak Long..Pak lang memang nak rumah ni kan, kalau kita tak ada, lagi senang kerja dia.”
“Pak Lang tak seberani tu ngah, yang datang lempar cat merah malam tadi tu orang yang nak kita bayar semua hutang Pak Lang, dan mereka sanggup lakukan apapun ngah..”

“benda ni tak semudah tu, kita mesti pertahankan rumah ni, ini kenangan Ummi dan Abah..”

“ngah, mereka dah tahu rumah ni, rumah orang yang ada kaitan dengan Pak Lang, dan mereka akan ganggu kita selagi hutang-hutang Pak Lang tak dilangsaikan, hatta kalau Pak Lang ditangkap pun, kita akan terus jadi buruan.”

“Kak Long jamin kita akan selamat di kampung sana?” Fateh memberanikan diri.

“InsyaAllah angah, kita akan selamat disana..” Makandak yang sejak tadi membisu memerhatikan perbincangan dua beradik itu bersuara, Aisyah duduk menikus disebelahnya, takut melihat perbalahan kakak dan Abangnya.

“ Kak Long yakin, kita pindah, antara rumah ni dengan nyawa Adik-adik Kak Long, Kak Long pilih angah dan adik..” Melati sudah mula berair mata.

“ Polis akan terus jaga rumah ni, angah, buat masa sebelum SPM ni, angah duduk di asrama dulu, Kak Long dan Adik akan tinggal di kampung, Kak Long akan cari kerja disana, lagipun kos sara hidup dikampung lebih murah, sekolah Adik, Kak Long akan uruskan.” Panjang lebar Melati menerangkan, Fateh menunduk, tidak mampu melawan lagi.
Fateh sudah mengagak, atas dasar itu dia menghalang terus dari tadi, tinggal diasrama, bermaksud dia harus berjauhan dengan Kak Long dan Adik, ah~dia tidak mampu berdepan perpisahan sekali lagi.

Khaulah ralit menekan tetikus, ber’jalan’ dari satu Blog ke satu Blog, habis ‘Link-link’ digeledahnya, kemudian dia masuk ke Blog yang kerap menjadi perhatiannya, satu blog ini, si pemilik Blog menggunakan nama ‘Melati Putih’, nama yang begitu unik bagi Khaulah, malah penulisannya membangkitkan semangat, mencerna minda dan membawa pembaca berfikir diluar kotak, namun, sudah beberapa kali Khaulah mengeluh sebelum ini kerana setiap kali Khaulah menjenguk Blog sahabat-sahabat yang lain, tiada post terbaru dari Melati Putih, dan kali ini, post itu mengundang senyum lega Khaulah.

Dibaca dengan teliti bait-bait perkataan yang menghiasi Blog yang berlatar warna putih itu, terasa bagai menusuk perasaannya halus, mengundang air mata yang mula bertakung dimata, menjemput hiba, sungguh, Khaulah semakin mahu kenal dengan Melati Putih ini.
Ditaip sesuatu di ruangan komen, sudah ada beberapa komen sebelumnya, blog ini memang diminati ramai.

“ Buat Melati putih, tabahkan hati, Allah memilihmu menerima Tarbiyah yang dahsyat ini, mungkin Allah ingin memberi kekuatan kepadamu menghadapi sesuatu yang lebih hebat selepas ini, kerana Allah benar- benar sayangkanmu.”

Khaulah kembali ke muka utama.

“ Hoit!” jerkahan Uwais dibelakang membuat Khaulah kaget, diseka matanya segera.

“Abang ni..selalu buat Ila terkejut.” Khaulah tarik muka.

“kalau tak terkejut, itu bukan Abang namanya..” Uwais senyum, Khaulah pun, Uwais sudah tidak bersedih dengan pemergian Tok Aki.

“tu, Ummi panggil siang ikan, turn Abang pulak..” Uwais sudah berdiri disebelah Khaulah.

“kedekut, taulah Laptop dia.” Khaulah bingkas bangun, tidak mahu Ummi tunggu lama.

“memang.” Cis..lagilah berapi Khaulah dibuatnya.

“ Ummi..tengok Abang ni!” Uwais gelak.

“manja!” sempat dijeritnya pada Khaulah yang sudah menurun tangga ke dapur, kedengaran suara Ummi memujuknya.

Matanya dialih pada skrin Komputer, dibawa mouse ke butang pangkah di penjuru kanan skrin, belum sempat ditekan, dia jadi tertarik untuk melihat apa yang dilihat Khaulah sebentar tadi, dia tersenyum nakal.
Dibaca satu persatu tulisan dihadapannya.

siapa gadis hebat ini?.



0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena