Beriringan ke Syurga~

Wednesday, December 11, 2013

Cerpen: Andai Kasturi Hilang Harum (2013)






Wahai orang- orang yang beriman! Peliharalah di kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan- bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat- malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan
                                                    At- Tahrim: 6

Azan subuh dan hujan lebat, Farihin bingkas bangun, dipeluk bantal merah jambu erat- erat, mengucapkan selamat tinggal buat kerehatan, mengucapkan selamat datang kepada minggu yang berat dan panjang. Dua hari untuk merenggangkan badan nyata tidak cukup, kelmarin dan semalam dia berhempas pulas menjadi Jawatankuasa program muslimat di kawasannya, lewat malam semalam barulah dia dapat bermanis wajah dengan ibunya, sindiran sinis ibu dibalas dengan senyuman semanis- manisnya, faham ibunya sunyi, tinggal bersendirian bersamanya sejak arwah ayah meninggal dunia bukan mudah, tapi dia bersyukur setinggi- tingginya punya ibu sebagai ibunya yang terus memberinya semangat untuk aktif dalam perjuangan islam sebagaimana arwah ayahnya dahulu.

Dia berdiri, baru perasankan ibunya yang duduk berteleku di kaki sejadah tidak jauh dari birai katil yang berlangsir putih.

“lewat bangun, cepat..ibu tunggu, kita solat sekali” dush, sekali lagi sindiran tepat kehatinya.

“sekejap- sekejap ibu..” cepat- cepat dia berlari menuju ke bilik air, pintu tanpa sengaja terhempas kuat, meskipun sudah besar panjang, mencecah umur 27 tahun, dia masih anak kecil ibu yang manja dan seringkali akan diperingatkan.


Pipi dan kening ibu dikucup, usai mengakhiri bacaan doa selepas bacaan mathurat bersama, pagi ini dia harus segera ke Kolej, ada kerja tertangguh yang harus diselesaikan.

“Abang long kirim salam semalam, dia ada datang singgah sekejap..petang dah balik, kerja malam katanya” kata ibu, telekung dilipat dan disangkut di ampai kayu jati sebelah almari.

“ Oh ye.., tak tnggu in pun..” dia buat- buat mencebik, satu-satu abangnya yang kini bertugas sebagai doktor pakar rawatan kanak- kanak di Hospital Kuala Lumpur.

“ Dah nak tunggu macamana, bukan nak telefon ibu sampai rumah pukul berapa..” luah ibu, terkena lagi dirinya, dia terlupa sangat untuk menghubungi ibu, siap- siap berkemas usai program pun dah agak lewat, terus saja dia memandu ke rumah.

“ Cepat- cepat bersiap, lewat nanti, ibu nak panaskan spaghetti yang ibu buat semalam, jom sarapan sekali” ajak ibu.

“Ibu.., sori tau, sori tau..ye?” lengan ibu dipaut, disandarkan dagunya ke bahu ibu, manja.
“Iye, lain kali call ibu, risau ibu dibuatnya” jawapan untuk sindiran ibu malam semalam terungkai, ibu terasa dengan sikapnya semalam.

Cepat- cepat dia bersiap, menyarungkan blouse muslimah paras lutut berwarna putih dan tudung berwarna peach, palazzo hitam dipadankan dengan blouse tampak kena dengan gayanya, dia mencapai beg tangan dan berlari menuruni anak tangga. Harum semerbak bau spaghetti ibu dari dapur mempercepatkan langkahnya.

"So macamana dengan plan anak angkat Palestin tu?" Ibu membuka bicara, dia yang baru mahu menyenduk mee spaghetti ke pinggan terhenti langkah seketika.

"Oh yang tu, InsyaAllah ibu, I will fight for it, in akan setelkan surat menyurat, pergi jabatan pendaftaran semua, then kawan in yang jadi Lawyer kat United Nation tu pun ready je nak tolong apa yang patut.." dia menyambung semula menyenduk kuah dari mangkuk kaca sederhana besar.
" In dah fikir masak- masak..?" Ibu duduk berhadapan, memandang ke dedalam anak mata anaknya itu.

"Ibu..kita dah bincang haritu kan.." sampai ke lewat malam dia berbincang dengan Ibu, dan waktu itu sebelum melelapkan mata ibu berkata, baiklah ibu setuju.

"Okey, Ibu doakan berjaya dan dipermudahkan, ibu pun tak pernah tengok lagi budak tu, tak tahu sejauh mana kasihnya In pada dia, mungkin ibu tak faham lagi sebab ibu tak pernah jumpa dia" Farihin senyum, sudah dua suap spaghetti dikunyah dan ditelan, kelaparan dari semalam yang dia tahankan sahaja dan tidur.

" Baru dua hari ni In tak pergi jenguk dia, dah rasa rindu semacam bu" sambungnya, Ibu menggeleng kecil, angau anaknya ini lain dari yang lain, angaukan anak kecil Syria yang dibawa ke Malaysia oleh NGO keamanan yang berpusat di Malaysia, masih berstatus 'pelarian', justeru masih banyak prosedur perundangan yang Farihin perlu selesaikan.

"InsyaAllah petang ni In nak pergi jumpa dia, mesti dia pun rindukan in, Ibu nak ikut..?" dia tahu ibunya berat untuk  membenarkannya, tapi mungkin selepas melihat anak kecil itu Ibu akan lembut hati.

"Ibu ada usrah petang ni..InsyaAllah next time okey" Farihin sekadar mengangguk, sedaya bermanis wajah untuk ibu tersayang, dia makan dengan pantas dari kebiasaan, tidak mahu lewat masuk ke kelas berbanding para pelajarnya. Usai membasuh pinggan, dia mencapai beg tangan dan beberapa buah buku yang diletak diatas kerusi sebelahnya, bersalam cium ibunya dan berlari pantas keluar, Hujan masih renyai- renyai. Farihin tersengih, ada cahaya buat dirinya menanti petang ini, cahaya dari Palestin.

" Assalamualaikum Puan Farah, Mohamed ada?" dia menanggalkan kasut di muka pintu, disambut Puan Farah selaku penjaga amanah kanak- kanak Palestin yang dibawa ke Malaysia dan dilindungi di sebuah Pusat NGO kemanusiaan, suara riuh rendah kanak- kanak didalam menambahkan kerinduan Farihin buat anak kecil berumur kira- kira 4 tahun itu.

" Ada.., masuklah, lama dia tunggu Farihin datang tu, dua hari duduk je makan pun kurang, tak nak main dengan kawan- kawan yang lain" Senyum Puan Farah sampai ke telinga, gembira ada insan- insan prihatin yang sudi melawat anak- anak pelarian Palestin ini disini.

Seorang kanak- kanak keluar, tersenyum, dia berjalan perlahan- lahan menuju ke Farihin, masih malu- malu. Mohamed masih belum mampu bertutur bahasa Melayu, anak kecil si yatim piatu ini masih trauma, menurut wakil NGO yang membawa mereka ke Malaysia dengan susah payah, Kedua ibu bapa Mohamed dibunuh di depan matanya sendiri, Allahu Rabbi.

Farihin meriba Mohamed, mengusap kepalanya dan mencium kepala kanak- kanak itu dari belakang, entah dia serta merta sebak, Mohamed bersandar pada Farihin manja. Kemudian mencari tangan Farihin dan digengam dengan kuat, seakan- akan tidak mahu melepaskan Farihin pergi, air mata Farihin tumpah, perasaan kasih, kasihan, sayang bercampur baur. Kanak- kanak ini luar biasa, saat pertama kali dia bertemu Mohamed ketika menghantar sedikit sumbangan di Pusat ini pun dia sudah jatuh kasih, tumpah sayangnya, ketika itu Mohamed sedang duduk memeluk lutut di hujung dinding, hanya memandang kanak- kanak yang lain bermain dengan girang. Ketika itu Farihin mendekati Mohamed perlahan- lahan dan turut duduk memeluk lutut di sebelah Mohamed. Tidak lama kemudian, selepas beberapa kali Farihin ke situ, dia mengambil keputusan untuk mengambil Mohamed sebagai anak angkat.

Agar sukar pada mulanya, kerana Farihin masih belum berkahwin,  dan Mohamed pula seorang kanak- kanak lelaki, apakah yang akan berlaku ketika Mohamed semakin meningkat dewasa nanti, bolehkah Mohamed menyentuh bersalaman dengannya, akan adakah kesukaran ketika dia perlu menutup seluruh tubuhnya nanti, adakah bakal suaminya akan menerimanya sekiranya tahu Farihin menjaga seorang anak angkat, ah, semakin difikirkan semakin rumit, akhirnya dia bertekad menghadapinya. Biarpun keputusan ini adalah keputusannya seorang, Farihin sudah tidak mampu lagi melihat Mohamed berdiam diri kesedihan dan tidak mahu berbicara dengan sesiapa pun kecuali dirinya, ketika pertama kali dia memberikan Mohamed coklat, barulah hari itu dia mendengar suara Mohamed memanggilnya 'mama'. Hancur luluh hatinya, rupa- rupanya Mohamed ingin berbicara dengannya kerana menyangka Farihin adalah ibunya.

" Nak ambil anak angkat ni tak mudah Farihin, macam- macam yang kita kena tempuh, ha itu belum belanja dia di masa depan lagi, sekolah dia, universiti dia macam mana, semua tu nak kena fikir, nanti Farihin ada anak nanti mesti lagi susah, budak- budak ni, suka membeza- bezakan, aurat dengan adik- beradik angkatnya lagi nanti, tapi jangan risau, kalau Farihin ikhlas semuanya Allah permudahkan, lagipun Farihin dah buat kan istikharah, InsyaAllah ketenangan Farihin untuk tempuhi semua ujian ni itulah petanda Allah redha dengan apa yang Farihin buat, membantu anak yatim piatu ni banyak pahalanya tau" Puan Farah berbicara panjang lebar, dia mengusap bahu Farihin lembut, menyuakan secawan Teh kepada Farihin.

"andai apapun yang berlaku di masa hadapan, saya akan jaga dia macam anak saya sendiri Puan.." setitik air jernih menitis lewat pipinya, sayu.
Jari jemari kecil Mohamed semakin erat menggenggam erat tangannya, seolah- olah mengerti, seolah-olah tidak mahu berpisah lagi, seolah- olah dialah ibunya kini. Allahu Rabbi, anak kecil teristimewa dihatinya ini, bakal dijaga dengan penuh kasih dan sayang insyaAllah.

Benarlah atas apa yang dia yakini, Allah Maha tahu akan apa yang berlaku kepada terhadap hamba-Nya, jika hingga ke umur 27 tahun ini dia masih belum berumah tangga, mungkin inilah jawapan dan hadiahnya, mungkin agak sukar untuk dia menerima Mohamed sekiranya dia telah berkahwin dan mempunyai anak- anak, Allah menyusun yang terbaik buat dirinya, cuma apapun yang terjadi selepas ini dia akan melalui dengan kuat dan perlahan- lahan.

Farihin memberhentikan kereta jauh sedikit dari kebiasaan dia memakir keretenya, ada dua buah kereta, kedua- dua kereta yang dikenalinya, kereta Nissan Almira Along, serta kereta Proton perdana  milik Farid, tunangannya kini. Biasanya Farid akan hadir kerumah bersama along jika ada hal yang ingin dibincangkan, Farihin mula tidak sedap hati, perlahan- lahan dia berjalan, dia pasti, insan- insan di  dalam rumah pasti sedang menanti dirinya.

"Assalamualaikum" perlahan dia masuk mengucapkan salam.
Ibu,  Abang long dan Farid sudah menantinya di ruang tamu, berbual- bual mesra dan terhidang sepiring kek dan sepiring pisang goreng dilengkapi air kopi, buat santapan sambil- sambil berbual, perbualan mereka terhenti,  masing- masing menjawab salam yang dihulurkan Farihin. Farid tersengih malu- malu.

" lambat anak dara balik hari ni" usik Abang long nya.
" Ada hal sikit tadi long" tangan Abang Long disambut dan dicium hormat.
"penat ke?" sambung Abang long, Farihin menggeleng kecil sambil tersenyum, dia agak segan sebenarnya, lantas dia duduk disebelah Ibu.

" Abang Long datang bawak Farid ni ada hal nak bincang, semalam Ibu ada bagitahu yang In nak ambil anak angkat ya? Dengarnya dari Palestin? Abang Long ada beritahu pada Farid pagi tadi, jadi Farid datang nak berbincang dengan In lah ni.." Lembut sahaja Abang Long nya berbasa basi, bimbang hati Farihin terguris mungkin, sedaya upaya diperhalusi ayatnya.

" erm, In nak ambil anak angkat, minta maaf in tak berbincang dengan semua, in buat keputusan sendiri dulu, sebab in bimbang semua tak setuju dengan keputusan in" Farihin masih menunduk.
" Siapa sebenarnya budak tu ya?" Farid menyoal, ini soal masa depan yang dia dan Farihin perlu berbincang sedalam- dalamnya.
" Dia kanak- kanak dari Palestin, ada satu Badan kemanusiaan yang bawa dia dengan kanak- kanak lain yang dah jadi yatim piatu ke sini, untuk dijaga dengan baik di Malaysia" terang Farihin.
"Baiklah, kalau dia jadi anak angkat Farihin, ada kemungkinan tak akan timbul masalah dari sudut undang- undang selepas ni?" 
" InsyaAllah In akan cuba selesaikan semua masalah tu sebelum dia jadi anak angkat in, ramai kawan- kawan in yang boleh bantu" Farihin memandang Abang Long, memberi keyakinan kepada semua, dia malu bertentang mata dengan Farid.
"Alhamdulillah, setakat ni saya tak ada masalah, Cuma saya agak terkilan sebab Farihin tak berbincang dengan saya sedangkan ni kan tentang masa depan kita, lagipun tinggal lagi beberapa bulan sahaja kita akan bernikah, sepatutnya Farihin tanyakan saya tentang hal ni.." Farid juga sedayanya menyusun ayat yang sesuai untuk dilontarkan, Farihin masih menunduk, seolah- olah memohon simpati.

" Baiklah, In minta maaf pada semua, tapi izinkan In untuk ambil Mohamed jadi anak angkat In ya" Farihin mengalah, dia amat berharapkan sokongan dari semua, Ibu dan Abang Long tersenyum.

" InsyaAllah Ibu akan bantu In, Ibu tahu anak ibu ni lembut hati orangnya, Cuma, sepatutnya in kena bincanglah dengan Farid dulu, takut timbul apa- apa masalah nanti ya" Ibu mengusap belakang Farihin.

" Adik Abang Long kan dah besar, kenalah dewasa sikit berfikiran, soal besar macam ni tak boleh dibuat keputusan sendiri faham" Farihin mengangguk, patuh pada nasihat abangnya nan seorang itu, bersyukur dia sedalam- dalam hati, hasrat nya di fahami, Alhamdulillah, terima kasih ya Allah..


" Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Agung. Maha suci Tuhan, segala keberkatan milik Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Aku berserah pada-Mu Tuhanku yang maha hidup dan tidak mati. Ya Allah Tuhan yang Maha Hidup, Maha kekal selama- lamanya, dengan rahmat-Mu kumohon pertolongan-Mu ya Allah, tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha suci Engkau, aku sebenarnya orang yang zalim, tiada daya dan tiada kuasa melainkan hanya pada-Mu ya Allah.." Farihin duduk berteleku di kaki sejadah, air matanya mencurah- curah, jam 4.00 pagi, dia diselimuti kedukaan yang mencengkam jiwanya, sehingga terasa sesak salur pernafasannya.

Mohamed- kini setelah hampir 8 tahun dia menjaganya, kenangan sewaktu pertama kali bertemu dengan Mohamed tetap bertahan dan segar di mindanya, dikasih dengan sepenuh jiwanya, dialah abang terbaik buat anak- anaknya yang lain seramai tiga orang, dialah pengarang jantungnya, Mohamedlah yang sering sahaja datang memanggilnya mama dan memegang tangannya dengan mengeluarkan perkataan lembut "sabarlah mama, Allah sayang mama, sebab tu Allah bagi mama penat", ah, Mohamed yang sering memujuknya ketika dia lelah jika dihinggap keletihan dan mendiam, dia bagai air sejuk yang membawa ketenangan di tengah sahara yang kering kontang.

Dan kini Mohamed harus pergi, keputusan dia dan suaminya, Dr. Farid, telah diputuskan dengan berat, walaubagaimanapun ia adalah tetap keputusan, Mohamed bakal di hantar ke Turki untuk belajar di Madrasah Tahfiz disana. Dari semalam Farihin di temani air mata, kalaulah suatu masa dahulu dia tidak mengambil Mohamed sebagai anak angkat, pastinya dia tidak perlu melalui berat dan sukarnya melepaskan Mohamed pergi setelah bertahun Mohamed tidak pernah berenggang dengannya.

" sudahlah In, dari semalam In asyik menangis, kalau macam tu kita batalkan sahajalah hasrat kita nak hantar Mohamed kesana" Farid berpaling ke belakang, mendengar sendu Farihin pun sudah mengundang pilu di hatinya, dia faham, jantung hati isterinya si Mohamed itu adalah kesayangan yang tidak betah dipisahkan, naluri ibu yang kuat didalam hati isterinya itu bukan biasa- biasa.

"tak apalah abang, kitakan dah buat keputusan semalam, ini demi kebaikan Mohamed juga, lagipun In lagi sedih bila dia dah tak boleh bersalaman dan berpelukan dengan In lagi, berbeza sangat dengan adiknya, diamnya dia dan sabarnya dia itulah yang buat in lagi menderita, In tahu dia faham dan terima dia adalah anak angkat kita, tapi in sedih sangat abang, kadang- kadang in sedih dia tak jadi anak kandung in, darah daging In sendiri" Farihin tersedu sedan, bila berbicara perihal peribadi Mohamed yang penyabar, sering sahaja dia menjadi sebak serta merta.

"Istighfar in, banyak hikmahnya bila In ambil dia jadi anak angkat kita kan, In ingatkan betapa banyak senyuman yang dia bawa pada kita, inikan demi kebaikan dia juga, In dah jadi ibu yang terbaik untuk dia, in bagi dia pendidikan yang cukup, kasih sayang yang cukup, insyaAllah ini terbaik untuk dia, lagipun nanti kita pergi melawat dia nanti ya, In jangan menangis depan dia nanti dia lagi sedih" pujuk Dr. Farid, memahami.


"Mama hantar Mohamed jauh- jauh sebab Mohamed anak angkat mama ke?" petang itu, tersentak Farihin, dia mengambil peluang makan berdua dengan Mohamed ketika adik- adiknya ke sekolah dan Dr. Farid ke tempat kerja, dia mengambil cuti, untuk menyediakan barang keperluan Mohamed persediaanya ke Turki tiga hari lagi.

"Astaghfirullah, kenapa Mohamed cakap macam tu..?" luluh hati Farihin, suapannya terhenti.

" Mohamed teringin nak tanya mama hal ni sejak pertama kali mama bagitahu mama nak hantar Mohamed pergi Turki.." Mohamed menunduk, air matanya bertakung, memang sejak awal lagi Farihin perasan Mohamed makan lambat- lambat, dan lebih diam dari kebiasaannya yang bercerita itu dan ini.

" Mohamed ingat lagi waktu Mohamed lari dari mama dengan Abi dulu?" ya, suatu ketika, Mohamed diterangkan tentang statusnya sebagai anak angkat seawall usianya 9 tahun lagi, mereka suami isteri serta ibu berbincang panjang, bagi mengelakkan apa- apa kerumitan di masa hadapan, petang itu Mohamed tiada dirumah, puas mereka mencari, Farihin apatah lagi, lemah tidak berdaya mengenangkan jika ada perkara buruk berlaku kepada Mohamed waktu itu, lewat malam mereka bertemu Mohamed di suatu taman permainan di bawah permainan gelonsor, sedang menangis teresak- esak, sebaik bertemu terus sahaja Farihin memeluk dan mendukung Mohamed dan membawanya kedalam kereta, tidak lansung melepaskan pelukan pada tubuh Mohamed yang sedia kecil itu walau sedikit, baginya waktu itu, dia tidak ingin sekalipun berpisah dengan Mohamed.

Mohamed mengangguk.

"waktu tu, mama sedih sangat, mama bisik pada Mohamed dalam kereta, mama cakap Mohamed adalah jantung mama, walaupun mama bukan mama kandung Mohamed, hati mama adalah hati Mohamed dan hati Mohamed adalah hati mama, kita tak akan melukakan hati satu sama lain, Mohamed adalah anak mama selamanya.." Mohamed masih diam.

" Mama hantar Mohamed ke Turki untuk kebaikan Mohamed, untuk Mohamed belajar pandai- pandai dan balik sebarkan ilmu disini pula, mama nak anak mama pandai, hafaz al- Quran, akhlak baik.." Farihin senyum, dia telah berjanji pada dirinya untuk tidak akan menangis di hadapan Mohamed lagi.

"Mama, kenapa mama bukan ibu kandung Mohamed?.." Mohamed mengesat air matanya dengan hujung lengan baju.

" Allah ada rahsia terbesar untuk ini sayang, insyaAllah suatu hari nanti kita akan tahu, sekarang pun Allah sudah hadiahkan hikmah yang banyak, Mohamed anak soleh mama dengan Abi, yang selalu sejukkan hati mama dengan Abi.." Farihin memujuk, pertanyaan itulah yang paling membuatnya luluh hati, soalan yang sama yang telah dia persoalkan kepada suaminya, sekali- kali bukan kerena mempertikaikan atas apa yang Allah kurniakan, tapi ia lahir dari hati yang ditelan kesedihan yang amat menyesakkan jiwa.

" Mohamed sedih sebab Mohamed tak boleh salam dan cium dahi mama lagi lepas kita solat sama-sama, macam yang adik- adik boleh buat.."


                                                                                  .....................

"Assalamualaikum, mama, Mohamed ni, mama apa khabar? Sihat ya? " Suara Mohamed dihujung talian, terbang segala rindu yang bertakung di danau hati.

" Waa'laikum salam anak mama, Alhamdulillah, mama sihat, Mohamed apa khabar? Mohamed belajar macamana?" Farihin duduk, ingin memanjangkan perbualan.

" Alhamdulillah ma, sihat, belajar okey Alhamdulillah, mama, insyaAllah Mohamed akan habis belajar dalam dua bulan lagi kan, mama nak Mohamed sambung terus master di Universiti sini atau Mohamed balik Malaysia ma, kalau disini Mohamed boleh mula cari- cari universiti dan course apa yang sesuai kan ma?"  lembut sahaja Mohamed menyusun ayat, hati mama perlu dijaga sebaik mungkin.

" Mohamed dah dua tahun ni Mohamed tak balik kan, Mohamed baliklah Malaysia dulu ya, nanti kita bincang sekali dengan Abi" balas Farihin, kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja semua anak- anaknya tinggal berdekatan dengannya.

" Baiklah ma, mama adik- adik macamana sihat ya, dah dua tahun Mohamed tak balik dan mama Abi dengan adik- adik pun tak datang Turki melawat Mohamed kan" sambung Mohamed.

"Alhamdulillah, insyaAllah minggu depan Mariam akan habis SPM, Sarah dengan Ayyash dah cuti sekarang ni, erm macam- macam lah permintaannya, adik- adik pun merungut juga ajak mama Abi ke Turki melawat Mohamed, tapi lagi dua bulan saja kan Mohamed nak balik dah, tunggu Mohamed balik kita pergi umrah sama- sama ya" sampai ke telinga senyum Farihin, tidak lama lagi mereka akan dekat kembali. Sekian lama Mohamed belajar di Turki, hampir 12 tahun lamanya, dia akan pulang ke Malaysia secara berkala, Alhamdulillah Mohamed pelajar yang luar biasa pintarnya, di Turki dia telah menyambung pelajaran dalam bidang undang- undang di Universiti Marmara Turki, dan telah lengkap 30 juzuk hafazan Al- Qurannya, bahkan dialah yang menjadi guru bagi pelajar- pelajar di Madrasah tempat dia belajar dahulu disana. Dia adalah anak istimewa yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai semangat jihad yang tinggi di bumi Palestin, dan terbangnya dia ke bumi Malaysia atas rahsia besar yang Allah simpan dalam perjalanan hidupnya, dan dia juga bakal pemimpin ummah insyaAllah, Farihin yakinkan itu.

" Mama, balik nanti ada perkara yang Mohamed nak bincangkan secara serius, mama doakan Mohamed cemerlang keputusan peperiksaan terakhir ni ya, kalau okey semuanya barulah tenang nak balik Malaysia kan ma" luah Mohamed, ada sesuatu yang terasa berat di hatinya untuk dilontarkan dalam bentuk bicara.

"herm apa yang serius sangat tu Mohamed, bagitahu sekarang lah, baru mama tenang hati nak tidur nanti, kalau tidak asyik terganggu nanti"

"ala mama, nanti Mohamed bagitahu mama ya, mama tidur lena- lena tau malam ni" Mohamed tergelak kecil, ibunya yang terbaik, dia mendekat dengan ibunya di Malaysia, jauh dibawa Allah dari Palestin untuk berada di bawah jagaan ibu terbaik di dunia ini, apakah lagi yang dia harus sedih dan sesalkan.

" Baiklah, mama tunggu, nanti telefon mama lagi ya" memang sering Farihin lah yang ternanti- nanti  dihubungi Mohamed, kerana bimbang Mohamed sibuk dan merasa bersalah kerana tidak menjawab panggilannya ketika kelas atau sebagainya.

"siapa mama, abang ke mama? nak cakap dengan abang ma" Ayyash yang berumur 10 tahun itu mendekat, Farihin mengangguk.

"Mohamed ni Ayyash nak cakap dengan Mohamed" telefon bimbit  beralih tangan.

"Assalamualaikum abang, abang balik bila, Ayyash rindu lah dengan abang" rengek Ayyash.
"waalaikumsalam Ayyash, InsyaAllah abang balik dua bulan lagi, nanti mama kata nak pergi buat umrah sekali satu family" adiknya Ayyash ini memang manja sungguh, adik bongsu yang paling rapat dengannya, kalau tiba saat Mohamed balik ke Malaysia, memang tidak berengganglah mereka, dengan adik- adiknya Mariam dan Sarah, Mohamed tidak rapat mana memandangkan mereka perempuan dan tiada pertalian darah, memang sengaja Mohamed tidak mengajar adik- adik perempuannya terlalu rapat dengannya.

"yeayy, Abang balik cepat tau, Ayyash nak ajak abang main sama- sama, main dengan kak Mariam dengan kak Sarah bosanlah abang" adu Ayyash.

"Iye.." tergelak Mohamed dibuatnya melayan keletah Ayyash.
"nah mama" talian diserahkan semula kepada Farihin.

"Okey ma, Mohamed nak pergi masjid ni, mama jangan lupakan doakan Mohamed Berjaya ya, setiap kali lepas solat mama kena doakan Mohamed, jangan lupa tau" pesan Mohamed, seperti pesan- pesannya yang lalu.

"iye, mama tak pernah lupa doakan Mohamed, insyaAllah..".

Talian ditamatkan, Farihin tersenyum bahagia, dikurniakan anak- anak yang sungguh menjadi anugerah terindah kepadanya, Allah tidak akan merugikan mereka yang sanggup menjaga anak- anak yatim piatu, bahkan keputusan Farihin berhenti kerja untuk memberikan sepenuh perhatian kepada anak- anaknya tidak pernah sia- sia. Menginjak umur ke angka hampir 45 tahun ini membuatnya semakin memberi perhatian penuh kepada pendidikan anak- anaknya kerana kadang- kadang merasa tidak cukup masa dengan usia yang semakin menginjak tua dengan cepat.


Mohamed terus ke dapur sebaik pulang dari tempat kerja, bau masakan mama menarik langkahnya bagaikan tarikan magnet.

"Assalamualaikum ma, mama masak apa tu..?" tangan mama disambut dan dahi mama dicium seperti setiap kali dia pergi dan pulang dari kerja sejak sebulan ini.

"waa'laikumsalam,ha..hari ni mama masak kari kepala ikan, kegemaran Mohamed" Farihin tersenyum lebar.

"eh mana Mariam, belum balik kelas lagi ke ma?" Mohamed memanjangkan leher melihat persekitaran yang sepi.
Telefon bimbit Mohamed serta merta berbunyi, segera diangkat, dan terangguk- angguk sehingga menamatkan talian.

"Mariam on the way lagi ma, pensyarah habiskan kelas lewat hari ni katanya" lapor Mohamed, perihal isterinya yang masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

"oh ye ke, baiklah, Mohamed dah lapar ke, nak makan dulu?" api di tungku dapur dimatikan.

"eh nantilah mama, Mohamed mandi dulu, kita tunggu semualah makan sekali ya" Farihin faham, waktu- waktu begini Mohamed akan bersiap- siap untuk ke Masjid.

"eh Sarah dengan Ayyash mana ma?"

"ada dalam bilik masing- masinglah tu, Mohamed ajak sekali Ayyash ke masjid ya nanti.." Farihin memotong bawang merah untuk menggoreng sayur kobis pula.

"Okey ma.." Mohamed senyum dan beredar.

Alhamdulillah, Maha suci Allah yang mengetahui segenap perihal baik dan buruk hamba- Nya, ya Allah sekalipun Mohamed bukan anak kandungku, sekalipun dia adalah kasturi yang yang wangiannya di akhirat berbentuk pahala seorang ibu kandung tidak dapat aku kecapi, sesungguhnya aku berusaha setakat apa yang aku mampu ya Allah, semoga aku menjadi perantaraan untuk kau melimpahkan rezeki dan kasih sayang-Mu kepadanya,  limpahan kasih sayang-Mu terhadapku dengan mengurniakan dia dalam hidupku adalah anugerah terindah yang kau kurniakan, Ya Allah aku serahkan anak perempuanku kepada Mohamed atas dasar kepercayaanku pada agama dan ilmunya dan rahmatilah pernikahan mereka, ya Allah peliharalah keluarga ini dari azab api neraka-Mu, jadikan kami suami dan isteri, ibu bapa dan anak- anak yang terbaik untuk keluarga kami, dan suburkanlah kasih sayang ini hingga ke syurga-Mu. Wahai Tuhan pemilik nyawa dan seluruh urusan kehidupan kami, berkatilah rezeki kami dan faqqihkan kami dalam ilmu agama-Mu. Amin..














0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena