Beriringan ke Syurga~

Thursday, December 5, 2013

Oh hujan- Mari berkawan denganku





Pagi ini ada mentari tersenyum padaku
Namun mendung masih memberat di menara- menara batu
Marilah hujan mari kemari
Mari berkawan denganku
Mari berteman denganku



Pagi semalam, dari beranda saya menegadah wajah ke langit, tiba- tiba sahaja ada rangkap puisi diatas menerjah ke minda, kadang- kadang saya sendiri pelik dengan diri, selalunya saya akan mempertahankan diri untuk berkata saya bukan lah gadis yang 'berbunga-bunga' tapi saya hanya cinta pada sastera, yang boleh melembutkan hati kononnya (hehe).

Hai kawan yang baik hati, hari ini mahu bercerita sesuatu. Kisah tentang semalam.
Asal dari rangkap itu, saya bagai menjemput hujan membasahkan bumi Bangsar dengan bahagianya, walaupun semestinya kehendak Allah lah yang akan menurunkan hujan atau tidak sesuai yang terbaik untuk hamba-Nya, hampir tengahari membawa ke petang, hujan turun selebatnya, sejuk, dan seperti biasa, saya akan berjalan kaki dari stesyen LRT hingga ke rumah, memakan masa 20 minit perjalanan (aceceh).

Saya dan adik beradik dibesarkan di satu kawasan perumahan yang berblok, rumah- rumah sederhana yang dibina dalam bentuk memanjang, ditengah- tengah antara blok ke blok biasanya akan ada jalan bertar, tempat laluan kereta dan ditepi- tepinya adalah tempat pertemuan mak cik- mak cik di kawasan kejiranan itu di waktu petang.

Sehinggalah setiap dari kami berumur 13 tahun, kami dihantar berhijrah menuntut ilmu ke Kelantan, di Sekolah Tok Guru Nik Abdul Aziz, Seorang demi seorang sehinggalah Mak Abah pernah tinggal dirumah hanya berdua. Sehinggalah tamat sekolah menengah barulah kami merasa tinggal dirumah, itupun sekejap kemudian beransur- ansur pergi menuntut ilmu di peringkat pengajian tinggi.

Kisahnya sewaktu kecil kalau waktu hujan tanpa kilat, kami akan merengek- rengek untuk mandi hujan (beramai-ramai) di luar rumah, biasanya di tengah jalan bertar tersebut, ikut 'mood' mak, biasanya hasrat kami tergendala dihalang kerisauan mak -_-'.

Semalam waktu pulang, saya meredah hujan sambil tersenyum, mengingat kembali kisah- kisah kami di waktu kecil, sarat dengan kegembiraan, semoga kebahagiaan ini berkekalan hingga ke Syurga Amin..

Bukan tak mahu naik Teksi atau Bas, Cuma waktu itu teksi terlalu ramai yang menunggu dan bas pula seperti biasa ramai yang berhimpit- himpit untuk masuk, saya mengejar masa, tak mahu menunggu lebih lama, bimbang petang makin lewat, maka terhasillah semua perjalanan kaki yang mengembirakan.

Kawan kau tahu, semakin lama semakin saya rasakan bahawa berjalan kaki itu menyeronokkan, disebaliknya ada sikap berhati- hati, mata sentiasa memandang orang sekeliling, mengajar menjadi prejudis bertempat,  jalan kaki perlahan- lahan, biar lambat sampai asalkan selamat, jangan berlari, seperti mana juga dalam kehidupan, kadang- kala ramai manusia nak 'cepat sampai' ke destinasi, hingga terlepas banyak perkara dan pengalaman indah.

Ramai orang yang cepat kaya, hingga tergendala waktu penting melihat anak- anak membesar di depan mata, ada manusia nak cepat pandai, hingga diabaikan orang sekeliling yang masih merangkak mencari ilmu tak dibantu, ada manusia nak cepat naik nama, hingga dicantas rakan dan teman. Ada manusia nak cepat kenyang, hingga terlupa ramai yang kelaparan. Jangan suka berlari sangat, nanti banyak yang berciciran.

Juga dalam usaha dakwah dan tarbiyah dalam perjuangan, ada juga manusia yang berlari terus dan laju dan ada yang masih berjalan bahkan ada yang masih merangkak.

Jika kita mudah faham dengan cepat apa sahaja jenis ilmu yang diterima, jangan tinggalkan sahabat sekeliling yang masih berusaha untuk faham, ramai yang jemu dengan perjuangan kerana dia merasa rendah diri dengan sahabat sekeliling yang ternyata lebih pantas dalam memberi idea dan menyimpulkan pergerakan tindakan. Yang perlu kita tahu dan ingat adalah, dalam dakwah dan perjuangan, kita bergerak dalam jemaah, yang isinya adalah ramai dan bukannya individu, ketika para sahabat yang menerima Islam dari Rasulullah pun punya tahap kefahaman yang berbeza, inikan pula kita dan sahabat- sahabat kita.

Ketika kita yang menjadi si lemah dan lambat faham, jangan jadikan alasan teman kita terlalu laju pula tanpa sebarang tindakan, jika yang laju terus berlari dan yang perlahan terus merangkak, maka tak tercapailah segala perancangan yang disusun. Berjalanlah, jangan ditinggalkan, jangan terlalu diperlahankan. Kalau berjalan ramai- ramai seiringan, lagi kuat, boleh banjir 'al-haq', langgar semua anasir kebathilan, macam hujan, turun ramai- ramai, bukan satu- satu, bila kat bumi kena badan manusia sakit, boleh banjir, meh meh hujan, pukul diri saya yang banyak dosa ni *sambil jalan dalam hujan lebat.


*Ya Allah, jadikan ia Hujan lebat yang bermanfaat buat kami, andai ia ujian, jadikan ia penguat hati kami untuk mendekati-Mu, ya Allah jadikan kami dapat melihat keindahan dan pengajaran dari setiap ujian dan nikmat yang engkau kurniakan.Amin.








0 comments:

Powered by Blogger.
=)

Followers

Search This Blog

© Nessa Syahirah, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena